Wednesday, August 22, 2012

Tulip mekar di KEUKENHOF

Terusan dalam bandar satu keunikan di Belanda.

TAMAN bunga Keukenhof dibuka pada tahun 1840 oleh pereka landskap, Zocher & Son. Taman yang dahulunya digunakan untuk menyimpan benih spesies tulip kini menjadi tempat popular untuk dikunjungi terutama dari Mac hingga Mei setiap tahun.

Terletak di bandar kecil Lisse, bahagian Selatan Belanda, ia merupakan taman bunga yang terbesar di Eropah.

Sejak 1949, Keukenhof menganjurkan pameran bunga empat musim dan begitu terkenal dengan pameran bunga tulip - bunga kebangsaan negara Belanda.

Lebih sejuta pelancong mengunjungi taman bunga ini terutamanya semasa pameran bunga.

Perjalanan dari KLIA ke Amsterdam dengan penerbangan KLM mengambil masa 12 jam. Rombongan kami tiba di lapangan terbang Schiphol pada pukul 6 pagi dan terus dibawa bersarapan di The Hague, yang mengambil masa lebih kurang 50 minit dari lapangan terbang.

Selepas menghirup kopi dan teh serta roti, kami terus melawat sekitar The Hague. The Hague dalam bahasa Belanda dikenali sebagai ’Den Haag’ dan kedudukan bandarnya begitu tersusun dengan bangunan pejabat.

Di sinilah pusat pentadbiran Netherlands selain tumpuan perniagaan bank dan syarikat besar dunia antaranya Toyota, Samsung dan yang berkaitan negara luar.

Kebanyakan pejabat kedutaan asing beroperasi di sini termasuk Malaysia. Beberapa tempat yang mesti dilawati ketika berada di The Hague termasuklah istana Noordeinde, kediaman Puteri Beatrix dan Istana Kehakiman (International Court of Justice).

Selesai menjelajahi The Hague, kami mendaftar masuk ke Hotel Mercure.

Keesokan hari, kami memulakan lawatan yang begitu mengujakan ke Keukenhof untuk menyaksikan pameran bunga tulip Belanda.

Di pintu masuk Keukenhof, terpampang slogan ’Present Poland’ yang mengingatkan pengunjung tentang asal usul bunga tulip dari Poland, walaupun sebenarnya bunga tulip telah dijumpai lebih awal di negara sebelah Asia Barat iaitu Turki.

Lebih tujuh juta pokok tulip dipamerkan pada tahun ini dan terdapat pelbagai spesies yang baru serta lebih menarik.

Terdapat spesies seperti Blenda, Sahara Rally, Flair Fringe, Flaming Purissima, Brown Sugar, Kiwanis, Drumline, Lilac Wonder, White Touch dan Freeman.

Keindahan bunga tulip boleh dihayati melalui warna dan bentuknya yang menarik.

Kebanyakan bunga tulip tidak mengeluarkan bau tetapi teknologi moden dan terkini dalam bidang pertanian kultur tisu Belanda telah menghasilkan kombinasi warna yang begitu indah, terang dan mempunyai seribu warna gabungan pelangi.

Hampir semua warna ada pada bunga tulip dan sehingga hari ini lebih 3,700 spesies tulip telah didaftarkan dengan 15 jenis yang berbeza berasaskan kelopak serta warna bunga.

Bunga tulip menjadi bunga yang melambangkan kekayaan rakyat Belanda sekitar abad ke-17 dan ke-18.

Semakin banyak bunga tulip ditanam di pekarangan rumah, semakin kaya pemilik rumah itu berbanding dengan orang lain.

Namun perubahan zaman dan masa telah menukar bunga tulip sebagai tanda penghargaan kasih sayang selain lambang romantis daripada pengirim kepada penerimanya.

Sesuai dengan warna dan juga bentuk bunga, tulip menjadi bunga pilihan yang pertama di dunia menurut laman web carian Google.

Seharian di taman bunga Keukenhof memberikan kepuasan menikmati keindahan bunga tulip dengan reka bentuk susunan warna dan jenis yang mengagumkan.

Pengunjung dapat membeli cenderamata seperti baju, rantai kunci, lukisan, gambar dan poskad bunga tulip.

Benih tulip dalam pelbagai warna dan spesies boleh dibeli pada harga 5 Euro, tetapi sayangnya tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia.

Hari ketiga, rombongan kami berpeluang menyusuri bandar Amsterdam dengan menaiki bot menerusi terusan.

Pengalaman menyusuri terusan itu selama hampir satu jam memberikan peluang untuk melihat bangunan dan rumah kediaman yang bersejarah serta masih kekal terpelihara di seluruh bandar Amsterdam.

Cuaca yang sejuk dan hujan renyai dengan ketulan ais mempercepat langkah kami sebelum singgah menunaikan solat di Masjid Fatih Cammi yang terletak di tengah bandar Amsterdam di Jalan Rozengracht Centrum.

Hari terakhir di Amsterdam, kami berpeluang melawat perkampungan Zaanes Chaan untuk melihat keluaran unik Belanda iaitu kasut klog atau terompah kayu dan pengeluaran keju.

Kasut klog terkenal di Belanda kerana mutu, bentuk, warna dan ketahanannya. Keju adalah sumber eksport utama Belanda.

Menjejakkan kaki di Belanda, memberikan peluang kepada kami untuk melihat lebih dekat teknologi kincir angin dan kincir air yang menjadi sumber tenaga kepada penduduk Belanda.

Sehingga kini lebih 1,300 kincir angin dan kincir air telah dibina di Belanda untuk membantu penduduk terutamanya menjalankan aktiviti pertanian.

Belanda merupakan negara yang kecil tetapi menjadi pengeksport makanan yang besar untuk Kesatuan Eropah.

Dengan cuaca kurang 15 darjah Celcius, muka bumi yang landai, penduduk kreatif, aktiviti pertanian yang menghijau dan berwarna-warni, penggunaan bahasa Inggeris yang mudah, persekitaran yang segar serta kedudukannya di tengah-tengah Eropah menjadikan Belanda sebuah negara yang cukup mengujakan.

Keadaan ini ditambah pula dengan keunikan tulip yang sentiasa mekar di Keukenhof.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: