Wednesday, August 22, 2012

Cuti raya di A’Famosa Resort

DENGAN keluasan 520 hektar, A’Famosa Resort Hotel, Alor Gajah, Melaka menjanjikan pengalaman percutian yang berbeza kepada setiap pengunjung.

BERCUTI raya sambil beriadah dalam satu destinasi akan memberi lebih banyak masa dan kemudahan kepada mereka yang mahukan percutian yang menepati cita rasa seisi keluarga.

Bagi yang mengimpikan percutian seperti ini, pilihan resort yang lengkap dengan taman tema dengan pelbagai aktiviti adalah pilihan yang tepat. Selain beriadah, percutian di resort mampu menenangkan fikiran daripada kesibukan dan hiruk-pikuk kota raya.

Dengan keluasan 520 hektar, A’Famosa Resort Hotel, Alor Gajah, Melaka menjanjikan pengalaman percutian yang berbeza kepada setiap pengunjung. Resort itu menampilkan tiga buah taman tema serta menawarkan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi.

Terletak tidak jauh dari bandar Melaka, resort itu hanya mengambil masa 15 minit memandu dari Plaza Tol Alor Gajah, serta satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan ia sebuah lokasi tumpuan warga kota untuk beristirehat.

Setibanya di resort ini, pengunjung akan disambut dengan kehijauan pohon-pohon rendang di sepanjang jalan serta tasik yang dikelilingi padang golf dengan landskap yang memukau pemandangan.

Bukan itu sahaja, resort yang dinamakan sempena sebuah kubu peninggalan sejarah zaman penjajahan Portugis itu turut mempunyai padang golf dengan 27 lubang yang pernah memenangi anugerah ‘Padang Golf Terbaik’ serta dikenali sebagai antara 10 padang golf terbaik di negara ini.

Antara kelebihan resort itu adalah ia menyediakan empat jenis pilihan penginapan iaitu hotel dengan 217 bilik, kondominium dan pangsapuri (545 unit) serta vila (100 unit) yang boleh disewa pada harga serendah RM158.

Penginapan di resort itu memberi keselesaan kepada pengunjung terutama kepada keluarga yang lebih gemar tinggal di kondominium, pangsapuri dan vila. Ini kerana jenis penginapan itu boleh memuatkan lebih ramai orang.

Selain itu, kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan menjadikan resort tersebut memenuhi permintaan setiap golongan dan lapisan masyarakat, sama ada bagi mereka yang mahu meluangkan masa lapang dengan keluarga ataupun melakukan urusan bisnes.

Eksekutif Pemasaran, A’Famosa Resort Hotel Sdn. Bhd., Z. Azurin Jantan berkata, tarikan utama pengunjung ke resort tersebut adalah tiga buah taman tema iaitu Water World, Animal World Safari dan Cowboy Town.

Katanya, Water World merupakan taman tema air terbesar di Malaysia dan mempunyai pelbagai permainan air termasuk gelongsor kelajuan tinggi, gelongsor dalam tiub, rakit keluarga dan kolam kanak-kanak.

“Animal World Safari juga tidak kurang hebatnya dengan tarikan Safari Adventure iaitu menaiki trak untuk melihat haiwan liar seperti harimau, singa dan zirafah.

“Selain itu, pengunjung juga boleh menaiki bot untuk ke Monkey Island yang menempatkan beberapa spesies monyet. Jika penat berjalan, pengunjung boleh melihat pertunjukan burung dan Wild Wild West Show yang pasti mencuit hati," katanya.

Apa yang membezakan resort ini dengan tempat lain adalah pada waktu malam, pengunjung bagaikan berada di pekan cowboy apabila taman tema Cowboy Town dibuka pada pukul 6 petang.

Keunikan pertunjukan Red Indian pada pukul 9 malam dengan aksi bahaya bermain api berjaya membuatkan penonton terhibur dan kagum.

Menurut Z. Azurin, pengunjung yang hadir bukan sahaja dari dalam negara, malah terdapat juga pelancong dari luar negara.

“Ada juga pelancong dari luar seperti Korea yang datang bercuti di sini dalam jangka masa agak lama dalam bulan Jun dan Julai untuk bermain golf," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: