Thursday, August 9, 2012

Promosi mega raya Jakel

REKAAN eksklusif memberikan keistimewaan kepada si pemakai pada pagi Syawal.


KEMERIAHAN Syawal tidak sah tanpa promosi besar-besaran yang dicanang gedung-gedung kain. Pelbagai pendekatan digunakan bagi menarik perhatian orang ramai.

Seperti biasa, gedung tekstil Jakel mencuri tumpuan masyarakat tempatan dengan mudah. Saban tahun, Jakel tampil menarik menerusi tawaran yang diberikan dan kali ini, gedung 'syurga kain' itu menukar sasaran kepada penjualan pakaian siap (sedia pakai).

Pengunjung yang pening memikirkan tentang kain yang perlu dibeli dan kesuntukan masa menghantar material untuk dijahit boleh menukar rancangan tersebut dengan berkunjung ke Jakel. Pilihan baju kurung, baju Melayu dan pakaian kanak-kanak pada setiap tingkat gedung tersebut cukup mengundang rambang di mata.

Koleksi Syawal itu direka dengan sentuhan moden dan tidak terdapat di pasaran lain. Bermula dari serendah RM39 sepasang, mereka yang tidak mahu berbelanja besar disarankan membeli baju kurung fabrik kapas mudah basuh.

Baju eksklusif

Golongan wanita yang mahu melaram sakan pula bolehlah mencari-cari baju kurung eksklusif berharga RM800 ke atas yang menggunakan renda Perancis dan perincian swarovski.

Menariknya, setiap saiz item begitu eksklusif iaitu hanya terdapat sehelai yang seumpamanya. Baju kurung sutera sifon juga menjadi percaturan Jakel kali ini dan hanya dijual pada harga RM130 sepasang.

Kaum Adam dilihat beruntung pada promosi Jakel tahun ini. Pelaburan RM85 sudah memadai bagi melayakkan lelaki mendapat sepasang baju Melayu bersama sehelai songket percuma. Pilihan baju Melayu berharga RM300 ke atas turut disediakan.

Baju raya kanak-kanak di Jakel tidak ketinggalan hebatnya. Si cilik perempuan akan kelihatan anggun mengenakan baju kurung corak bintik polka dan perhiasan swarovski yang mewah. Ia dijual pada harga RM35 bagi jenis biasa dan RM69 ke atas untuk baju kurung berkualiti tinggi.

Begitu juga dengan baju Melayu kanak-kanak lelaki, ibu bapa hanya perlu berbelanja RM35 bagi mendapatkan sepasang baju Melayu beserta songket percuma.

Menjelaskan promosi Aidilfitri Jakel tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel menyatakan, sebanyak satu juta pasang baju raya disediakan di semua gedung Jakel.

"Orang ramai kurang membeli kain ela apabila raya menghampiri. Jadi kami memilih untuk fokus kepada pakaian siap dijual dengan keistimewaan terletak pada rekaan tersendiri.

"Sebanyak 80 peratus rekaan pakaian raya di kesemua gedung Jakel seluruh Malaysia sama dan perbezaan yang wujud cenderung kepada mainan warna dan corak. Di Lembah Klang, orang lebih suka baju raya berwarna terang dan cerah manakala di sesetengah tempat pelanggan lebih tertarik dengan rona pastel dan polos.

"Dua gedung Jakel di Shah Alam, Selangor dan Plaza Angsana, Johor Bahru menyediakan khemah besar di luar premis mereka bagi memberi pilihan yang lebih banyak kepada pengunjung," ujar Faroz yang memberitahu promosi lebaran itu dijalankan sehingga malam raya.

Permaidani

Selain pakaian, permaidani juga menjadi rebutan pengunjung. Sebanyak dua juta unit disediakan di kesemua cawangan Jakel dan dijual pada harga serendah RM29 seunit.

Pengunjung yang berbelanja pada amaun tertentu turut berpeluang menyertai cabutan bertuah bagi merebut hadiah lumayan seperti kereta Perodua Viva, motosikal dan televisyen LCD. Setiap jenis hadiah itu dicabut berdasarkan jumlah belanja pengunjung. Contohnya, mereka yang berbelanja RM1,000 ke atas diberi peluang menyertai cabutan bertuah hadiah kereta. Cabutan akan dilakukan pada 18 Ogos depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: