MASJID AGUNG...seakan-akan Masjid Nabawi di Madinah dengan enam payung gergasi.
SEMARANG sinonim dengan gelaran ‘kota batik’, namun sebenarnya ia turut memiliki pelbagai keistimewaan lain yang pasti memikat hati pelancong.
Apatah lagi ibu kota Jawa Tengah, Indonesia ini yang mempunyai 1.5 juta penduduk lebih tenang dan nyaman berbanding bandar lain di Indonesia, terutama Jakarta, Surabaya dan Bandung yang terkenal dengan kesesakan jalan raya dan kesibukan penduduknya sepanjang masa.
Penulis yang berpeluang mengikuti rombongan ‘Fam Trip to Semarang’ anjuran AirAsia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Jawa Tengah pada mulanya beranggapan bakal melihat suasana hiruk-pikuk seperti itu, namun ternyata tanggapan itu meleset.
Sebaik menjejakkan kaki ke Semarang, suasananya tenang dan nyaman. Walaupun bahasa digunakan berbeza sedikit berbanding komuniti Indonesia lain, masyarakatnya peramah, sopan-santun dan tidak lokek dengan senyuman serta sentiasa menghulurkan bantuan jika diperlukan, menyebabkan pelancong tidak kekok berada di kota ini.
Majoriti penduduknya Islam, tetapi mereka tetap bertolak ansur dengan penganut agama lain.
Malah, bertitik-tolak daripada silaturahim yang erat sesama penduduk menjadikan Semarang terkenal dengan kota keamanan, malah penduduknya dikatakan tidak pernah mengadakan rusuhan, tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan seperti di beberapa wilayah lain.
Suasana aman itu menjadikan kemajuan ekonomi dan taraf hidup penduduknya lebih tinggi, menyebabkan kota ini maju dengan industri batik, perindustrian kecil dan sederhana serta pembuatan jamu.
Mempunyai keluasan 373,67 kilometer persegi, ia dianggap istimewa kerana terletak di sebuah teluk, selain mempunyai dua bahagian dikenali sebagai ‘Kota Atas’ dan ‘Kota Bawah’.
Kota Atas lebih dikenali dengan penempatan golongan atasan kerana di situ tersergam pusat pentadbiran dan banglo mewah milik usahawan berjaya, manakala Kota Bawah pula sering dilanda banjir hinggakan penduduknya lali dengan masalah banjir.
Ia turut dikenali sebagai kota ilmu kerana memiliki banyak pusat pengajian tinggi terkemuka yang dihormati di seluruh Indonesia.
Berikutan majoriti penduduknya beragama Islam, masjid terbesar di Asia Tenggara dibangunkan di Jalan Gajah Semarang yang pastinya menjadi kebanggaan masyarakat setempat, khususnya Jawa Tengah.
Masjid Agung yang dibina pada 2001 dan siap lima tahun kemudian tersergam
di kawasan seluas 10 hektar dan memiliki pelbagai kemudahan lengkap.
Menariknya, masjid ini seakan-akan Masjid Nabawi di Madinah dengan
enam payung gergasi yang dikawal secara elektronik. Masjid Agung dirasmikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 14 November 2006.
Selain dijadikan tempat ibadah, di kawasan itu dibina sebuah bangunan yang dijadikan hotel, pejabat dan pusat jualan cenderamata.
Lebih unik, bangunan utama masjid adalah menara setinggi 99 meter, bersesuaian dengan 99 nama Allah. Menara itu sering digunakan untuk melihat anak bulan bagi menentukan tarikh awal Ramadan dan Syawal.
Pengunjung hanya dikenakan bayaran RM2 (Rp3,000) untuk naik ke tingkat sembilan menara yang dilengkapi kafe berputar untuk menjamu selera dan menikmati pemandangan Kota Semarang.
Di atas menara itu juga, pengunjung yang mahu melihat Kota Semarang lebih jelas boleh menggunakan teropong dengan hanya memasukkan syiling Rp500.
Pengunjung turut berpeluang melihat sejarah peradaban Islam di Semarang dengan mengunjungi muzium di tingkat satu menara itu.
Pelancong juga berpeluang melihat Gedong Batu, iaitu sebuah kuil atau Kelenteng Cina. Dikenali sebagai Kelenteng Gedung Batu Sam Po Kong, ia menjadi tempat pendaratan pertama Laksamana China Islam Cheng Ho yang terletak di daerah Simongan.
Ia digelar Gedong Batu kerana bangunan di kuil berkenaan sebenarnya adalah gua batu.
Selepas ke kuil, penulis berpeluang ke Candi Gedong Songo atau rumah sembilan iaitu sebuah kompleks candi peninggalan tamadun Hindu di lereng Gunung Ungaran.
Candi ini terletak pada ketinggian 1,200 meter dari aras laut dengan suhunya sejuk.
Tempat bersejarah yang ditemui Stamford Raffles pada 1804 ini sebenarnya peninggalan zaman Wangsa Sailendra sejak abad kesembilan.
Kompleks yang mempunyai sembilan candi itu memiliki pemandangan indah yang dijaga rapi selain mata air mengandungi belerang.
Pengunjung pasti tidak mahu melepaskan peluang ke lereng bukit untuk melihat peninggalan candi yang masih kukuh selain menikmati cuaca sejuk seakan-akan
Cameron Highlands. Mereka boleh berjalan atau menunggang kuda yang disediakan.
Tidak lengkap berkunjung ke Kota Semarang jika tidak singgah ke Lawang Sewu atau dikenali Seribu Pintu, iaitu sebuah pejabat peninggalan penjajah Belanda.
Bangunan yang dibina pada 1904 dan siap sepenuhnya pada 1907 ini terletak berhampiran Tugu Muda atau Wilhelminaplein.
Lawang Sewu pernah menjadi lokasi pertempuran pemuda Angkatan Muda Kereta Api (AMKA) dengan tentera Jepun, menyebabkan pemerintah Kota Semarang memilihnya sebagai satu daripada 102 bangunan bersejarah di Kota Semarang yang patut dilindungi.
Bangunan dua tingkat yang mampu menggamit memori pengunjung ini memiliki dua menara yang menempatkan tangki air. Setiap satu menara mampu menampung 5,000 liter air.
Selepas penat berjalan, pasti tekak haus dan perut berkeroncong minta diisi.
Tidak rugi jika singgah sebentar ke Kampung Laut yang dikenali sebagai rumah makan terapung terbesar di Semarang.
Restoran itu menawarkan pelbagai menu seperti bandeng saus kampung laut, cah baby kailan, salad buah dan minuman jus jagung. Sambil makan, pengunjung boleh menikmati pemandangan laut yang indah.
Pada akhir lawatan, tidak rugi membeli pelbagai makanan popular di sini seperti wingko babat, lumpia, tahu serasi, bandeng presto, moci yang dibungkus kemas dan boleh dibawa pulang ke Malaysia, selain beberapa cenderamata popular seperti kain batik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: