MASA LAPANG...bekas pesakit yang berkemampuan turut dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti, termasuk berkebun.
RUPA hodoh, tidak mempunyai hidung atau telinga serta cacat anggota badan itu kesan penyakit kusta satu ketika dulu hingga menakutkan masyarakat.
Beberapa dekad berlalu, stigma dan persepsi masyarakat terhadap pesakit kusta boleh dikatakan belum berubah meskipun kini kusta tidak lagi berjangkit dan ada pelbagai antibiotik khas untuk mengawalnya.
Ini jelas kelihatan apabila pesakit kusta disisih dan terpaksa tinggal berjauhan daripada masyarakat.
Malah, ketika penulis melawat mereka di Kompleks Kediaman Dormitori, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sungai Buloh, bekas pesakit kusta masih menghuni pusat itu walaupun mereka disahkan sembuh sepenuhnya.
Difahamkan, kebanyakan bekas pesakit tidak diterima keluarga disebabkan penyakit yang pernah dihidapi. Pendapat bahawa penyakit ini masih berbahaya turut membelenggu fikiran keluarga mereka.
Penulis beranggapan, sedangkan ahli keluarga sukar menerima kekurangan yang ada pada mereka, inikan pula jiran dan masyarakat setempat yang pasti memandang serong bekas pesakit ini.
Kini jumlah bekas pesakit dan pesakit kusta yang menghuni PKKN semakin berkurangan. Disebabkan tiada kes berbahaya direkodkan mengenai kusta, mereka yang menghuni pusat ini seawal ia dibuka pada 1926 adalah penghuni tetapnya.
Jumlah penghuni PKKN kini hanya 204 dan majoritinya kaum Cina. Ia merangkumi 59 lelaki, 44 wanita dan selebihnya pula ditempatkan di kawasan lain kerana mereka mampu berdikari dan bekerja.
Seramai 103 pesakit di wad PKKN adalah bekas pesakit yang tidak mampu berdikari. Kebanyakan mereka cacat atau lumpuh secara kekal kerana kusta.
Malah, rata-ratanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak dan
segelintirnya masih memerlukan perhatian jururawat dan bantuan perubatan.
Begitupun, selama empat hari berulang-alik ke sana, hati penulis diraut pilu kesedihan. Sekali imbas, penulis tidak melihat PKKN sebagai pusat pesakit kusta, jauh sekali sebagai hospital.
Bagi penulis, PKKN kini hampir sama tarafnya dengan rumah kebajikan orang tua.
Masakan tidak, hampir semua bekas pesakit yang ditempatkan di wad berkenaan disahkan sembuh bertahun-tahun lamanya.
Kenapa mereka masih menghuni pusat berkenaan? Di manakah keluarga mereka?
Tidakkah mereka ada anak, adik-beradik atau saudara mara yang boleh menjaga mereka?
Persoalan demi persoalan bermain di fikiran. Namun, semuanya terjawab apabila penulis mendekati seorang demi seorang bekas pesakit yang jelas mempunyai pelbagai cerita tersendiri.
Rata-rata tidak diterima keluarga. Malah, ada yang dibuang sanak saudara kerana penyakit mereka. Selain itu, ada yang tidak mengenali keluarga kerana ditempatkan di pusat berkenaan sejak kecil.
Di sebalik senyum dan tawa penghuni PKKN, pelbagai kisah sedih disembunyikan.
Tidak hairan kenapa mereka masih berada di situ walaupun disahkan sembuh daripada kusta.
Walaupun dibuang keluarga serta tiada saudara mara di luar, kehidupan mereka di PKKN sebenarnya tidak seperti pesakit lain yang ditempatkan di wad kerana penyakit kronik.
Membabitkan bekas pesakit berumur awal 50-an sehingga paling tua iaitu 90 tahun, kehidupan mereka di sini tidak membosankan.
Bagi yang sembuh dan tidak mengalami kesan atau kecacatan teruk akibat kusta, mereka dibenar melakukan pelbagai aktiviti, antaranya berkebun, bercucuk tanam dan membuat pelbagai hasil kraftangan yang kemudian dijual kepada orang luar.
Kerana tiada kerja, aktiviti sampingan disediakan PKKN sedikit sebanyak dilihat sebagai cara memberi pendapatan kepada bekas pesakit. Pada masa sama, ia dilihat sebagai aktiviti sampingan untuk mengisi masa lapang penghuni.
Selama ‘berkampung’ di PKKN, penulis mendapati hampir setiap hari warga PKKN menerima lawatan daripada masyarakat luar.
Penulis difahamkan, mereka daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat lawatan dan memberi bantuan kepada bekas pesakit di sini, selain mengadakan pelbagai aktiviti untuk menghiburkan mereka dan jururawat bertugas.
Selain aktiviti NGO, PKKN menyediakan pelbagai aktiviti untuk penghuninya, termasuk proses pemulihan di pusat fisioterapi selain ceramah agama khas setiap malam Isnin dan Khamis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: