KEDUA-DUANYA mempunyai cerita yang sama iaitu bercerai dengan suami masing-masing pada tahun ini.
Biarpun bergelar janda namun perwatakan Raja Azmi Raja Sulaiman dan Sasha Saidin tetap ceria kerana mereka sentiasa berfikiran positif.
Bagi mereka apa yang berlaku adalah qada dan qadar yang tidak dapat dielakkan dan sebagai manusia mereka perlu meneruskan kehidupan.
Meskipun cerita mereka dijaja di dada akhbar dan Internet namun sebagai selebriti yang sudah terbiasa dengan berita sebegitu, ia sedikitpun tidak memberi kesan kepada Raja Azmi mahupun Sasha.
"Apa yang berlaku tidak dapat diundur semula. Hidup mesti diteruskan dan masa depan perlu diatur kerana tidak ada siapa yang akan menolong kita, selain diri sendiri," demikian kata Raja Azmi.
Beraya di Taiping
Setiap keluarga mempunyai cara tersendiri untuk merai Syawal. selalunya rumah ibu bapa di kampung yang sunyi sebelum ini akan menjadi riuh rendah dengan kepulangan anak cucu dari bandar.
Berkumpul adik beradik bersama keluarga masing-masing merupakan saat yang diidamkan kerana waktu raya sahaja suasana itu dapat dilihat kerana kebetulan semua dapat cuti serentak.
Namun cara penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, menyambut kedatangan Syawal berbeza kerana setiap kali raya dia sekeluarga mengambil kesempatan untuk bercuti.
"Setiap kali raya, kami sekeluarga akan bercuti di luar Kuala Lumpur. Bermula 2006, kami sekeluarga tidak balik kampung di Banting kerana ketiadaan arwah Haji Sidek (meninggal 17 Oktober 2005). Dulu masa arwah ada, memang tidak sabar-sabar untuk pulang ke sana.
"Tahun lepas kami sekeluarga beraya di Genting Highlands dan sebelum itu di Pulau Langkawi. Siapa kata tak seronok beraya di hotel, selain rumah. Bagi saya seronok lagi beraya di hotel kerana suasana raya tetap dirasa. Malah sebagai tetamu kita akan dilayan dengan istimewa. Lagipun makanan yang disajikan semua makanan raya," ceritanya.
Katanya, beraya di hotel bersama kakitangan hotel amat menyeronokkan kerana mereka seolah-olah berada di kalangan ahli keluarga yang besar.
Pada tahun ini, Raja Azmi bersama tiga anak-anaknya, Puteri Suraya, 27, bersama anak dan suami, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18 akan beraya di kampung halamannya di Kampung Jenna, Taiping, Perak.
"Tahun ini istimewa sikit sebab saya akan bawa anak-anak berkunjung ke rumah saya dibesarkan dulu di kampung.
"Kami akan bertolak dari Kuala Lumpur pada malam raya dan bermalam di chalet. Kiranya pagi raya kami berada di chalet dan selepas itu barulah ke rumah lama. Saya juga akan menziarahi kawan-kawan lama, Fauziah dan Zainab yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Treacher Methodist, Taiping, dulu," katanya tersenyum.
Ditanya, adakah bekas suami, Mohd. Jalani Mohd. Sidek, 49, akan turut serta beraya bersama mereka sekeluarga, katanya, walaupun sudah bercerai, Jalani tetap akan menyambut raya bersama dan bekas pemain badminton negara itu akan bersama pada hari raya.
"Saya sekeluarga bertolak pada malam raya dan mungkin abang Jack (Jailani) pergi bertemu kami selepas solat raya.
"Biarpun kami tidak ada ikatan tapi hubungan kami masih tetap baik dan sebab itulah apa-apa perancangan keluarga nama dia tetap ada," katanya jujur.
Jelas Raja Azmi, mereka sekeluarga tidak lama di Taiping. Pada hari raya kedua akan kembali ke Kuala Lumpur untuk bersama ahli keluarga lain.
Tumpu pada kerjaya
Jika selama ini kita mengenalinya sebagai penerbit tapi dalam diam Raja Azmi menyimpan impian untuk menjadi pengacara bual bicara seperti Oprah Winfrey.
Dia sudah ada judul untuk program yang bakal diterbitkan nanti iaitu Sembang Raja Azmi.
"Dah lama juga saya berhasrat untuk terbit program bual bicara. Jika tidak ada aral melintang program bual bicara yang turut mendapat kerjasama dari Signature Kitchen itu bakal dirakam hujung tahun ini.
"Untuk raya ini juga syarikat saya, Akid Production telah menghasilkan telefilem Aidiladha Baitulmaqdis untuk RTM atau Astro.
"Selepas raya nanti, saya akan mulakan sebuah lagi telefilem di Bali, Indonesia. Kalau tiada aral, penggambaran filem Anak Ikan akan menyusul pada hujung tahun," jelasnya.
Berubah demi kebaikan
KETIKA rambutnya didandan sewaktu sesi foto yang diadakan di kediaman Raja Azmi, Sasha tidak melepas peluang untuk membaca tafsiran Al-Quran.
Kata Sasha, sepanjang Ramadan ini, dia berazam membaca satu juz tafsiran untuk satu hari dan hingga penghujung Ramadan, dia berjaya melakukan misi tersebut.
"Semuanya bermula apabila Sha mengikuti siri ceramah Mufti Ismail Menk dari Zimbabwe yang kebetulan datang ke Malaysia.
"Sebenarnya waktu itu Sha dalam dilema tentang rumah tangga.
"Setelah mendengar ceramahnya dan Sha sendiri dengan ikhlas ingin belajar mendalami ilmu agama, jadi perkara itu membawa perubahan besar dalam diri Sha. Alhamdulillah, Sha sudah habis khatam Al-Quran tapi disebabkan nak tahu tafsirannya, itu yang Sha berazam untuk selesaikan dalam bulan Ramadan ini," ceritanya.
Jelas Sasha, Al-Quran tafsiran yang dibaca sepanjang Ramadan adalah pemberian daripada bekas mertuanya yang dijangka akang datang menziarahinya September ini.
"Hubungan Sha dengan bekas mertua di Indonesia memang rapat dan mereka sayang sangat pada Arya. Biarpun kali ini beraya sendirian, Sha tetap seronok kerana semua yang rapat dengan Sha sentiasa memberi sokongan," katanya tanpa berselindung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: