Saturday, August 18, 2012

Istirehat dalam gaya sihat


TETAMU bersantai di pantai buatan sambil menikmati keindahan kolam dan tasik.


SEBELUM pergi bercuti, adalah lebih baik untuk mengetahui terlebih dahulu maklumat tentang kedudukan lokasi, penyediaan kemudahan serta serba-serbi aspek keperluan penginapan yang ditawarkan.

Hal itu penting bagi memastikan percutian itu berlangsung dengan dipenuhi aktiviti yang menyeronokkan tanpa berlaku perkara yang mampu menjejaskan mood.

Sekiranya anda merancang bercuti di sekitar Lembah Klang, terdapat pelbagai pilihan hotel atau resort boleh dipertimbangkan.

Kebiasaannya, orang ramai pasti inginkan suasana persekitaran hotel yang damai dan kemudahan terbaik.

Kunjungan ke Mines Wellness Hotel yang terletak di Seri Kembangan, Serdang, Selangor. Tetamu bukan sahaja disajikan pemandangan indah berhadapan tasik yang berkeluasan 60 hektar malah hotel berkenaan agak unik kerana berasaskan kesihatan.

Naik taraf

Lebih menarik, pengendali hotel berkenaan, Country Heights Holdings Bhd. (CHHB) telah menaik taraf hotel tersebut membabitkan nilai RM1.3 juta yang dilancarkan baru-baru ini.

Sebelum ini hotel berkenaan dikenali sebagai Palace Beach & SPA,

Sebanyak 168 bilik terdapat di hotel ini yang berkonsepkan reka bentuk tropika dengan pemandangan berlatarbelakangkan tasik.


SEBAGAI hotel berasaskan kesihatan, turut disediakan bantal organik dan katil sabut kelapa yang baik untuk postur badan.


Perubahan tersebut bagi meningkatkan imejnya sebagai hotel berasaskan kesihatan sekali gus menjadi satu-satunya hotel yang menawarkan perkhidmatan itu di Lembah Klang.

Antara perkhidmatan dan pakej kesihatan yang disediakan adalah hipnoterapi, pengurusan tekanan, terapi yoga, terapi sukan serta lengkap dengan penyediaan menu makanan yang menyihatkan.

Justeru, melalui penggabungan hospitaliti dengan program penyembuhan kesihatan alternatif, para tetamu dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan ini selain dapat mengambil berat tentang kesihatan masing-masing.

Selain kemudahan itu, tetamu hotel turut disediakan bantal organik, katil sabut kelapa yang baik untuk postur tubuh, lampu garam kristal dan laluan refleksologi di balkoni hotel.

Pastinya, segala kemudahan itu dapat membebaskan penginap daripada tekanan kerja sekali gus menjadikan percutian mereka lebih bermakna.

Pusat rawatan

Selain itu, para tetamu juga boleh menikmati perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Golden Horses Health Sanctuary seperti kemudahan Pusat Perubatan Tradisional Cina, pusat Ayurvedic (sistem penyembuhan penyakit dan pelanjutan usia purba) dan pusat pemulihan kesihatan.


MINES WELLNESS HOTEL yang telah dinaik taraf membabitkan nilai RM1.3 juta dilancarkan baru-baru ini.


Di pusat Ayurvedic yang terletak di tingkat satu, para tetamu akan menerima minyak Shirodara yang mampu menenangkan fikiran dan merehatkan badan. Terdapat juga pakej urut, rawatan muka dan menguruskan badan.

Pihak hotel juga tidak melupakan tanggungjawabnya dalam memelihara alam.

Sehubungan itu, langkah Amalan Hijau telah dipraktikkan dan para tetamu dapat sama-sama menyumbang dalam memelihara bumi.

Kesemua itu dapat disaksikan apabila mentol-mentol lampu lama digunakan semula sebagai pasu bunga, tong sampah untuk aktiviti kitar semula, penanaman pokok-pokok dan lain-lain aktiviti.

Pendekatan yang diambil pihak hotel turut mendapat penghargaan apabila dianugerahkan Asean Green Hotel Recognition Award 2012, yang merupakan kali kedua dimenangi hotel berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: