Saturday, August 18, 2012

Ikan cantik redakan cemas



AKTIVITI menyelam merupakan suatu kegiatan yang asing bagi penulis. Namun baru-baru ini, Rakyat Travel Sdn. Bhd. (Rakyat Travel) yang menguruskan 10 peserta bagi mengikuti kursus PADI Open Water Diver telah mempelawa penulis menyertai aktiviti berkenaan bertempat di Pulau Redang, Terengganu selama empat hari tiga malam.

PADI (Professional Association of Diving Instructors) adalah organisasi terbesar di dunia yang menyediakan latihan kepada orang ramai khususnya bagi peminat aktiviti menyelam.

Ia ditubuhkan oleh John Cronin dan Ralph Erickson pada 1966. Di negara ini, aktiviti menyelam semakin berkembang dan terdapat banyak pihak yang menawarkan kursus berkenaan.

Penulis yang pertama kali bertandang ke Pulau Redang mengakui lokasi eksotik itu amat mempesonakan lebih-lebih lagi apabila melihat pasir pantainya yang memutih serta air laut yang membiru. Namun, tujuan utama ke pulau berkenaan bukanlah untuk menikmati keindahan di darat sebaliknya menyelami keindahan alam lautan.

Justeru, keputusan untuk menjadi penuntut dalam program ini amat tepat kerana penulis berpeluang menikmati keindahan alam laut ciptaan Allah yang tersembunyi pelbagai hidupan termasuk dunia kompleks terumbu karang.

Namun, bukanlah kerja mudah untuk mengambil lesen menyelam. Setiap orang perlu mengikuti kelas teori selain melakukan teknik-teknik tertentu ketika menyelam pada kedalaman yang berbeza.

‘Akuarium’ besar

Bagaimanapun, kesemua teori yang dipelajari itu amat berbaloi apabila seseorang dapat bernafas buat kali pertama di dalam laut menggunakan kelengkapan menyelam.

Ketika itu, sukar hendak menggambarkan perasaan yang bermain dalam fikiran. Memang ada rasa cemas, namun ia segera hilang apabila dapat melihat suasana menakjubkan dalam laut yang seumpama sebuah akuarium besar.

Dengan penglihatan yang agak terhad, mata penulis meliar mencari hidupan lain terutama ikan-ikan cantik yang berada dalam jarak yang dekat dengan kumpulan kami. Semua itu cukup meredakan perasan cemas pada awal rutin menyelam tadi.

Jurulatih kami dari Scuba Amigo, Eric Liow Sin Yuu sebelum itu mengingatkan perkara paling penting ketika berada di dalam laut iaitu jangan berhenti bernafas.


SEBELUM melakukan selaman, penyelam perlu memastikan peralatan berfungsi dan selamat untuk digunakan.


Selepas pertama kali berjaya bernafas di dalam air, masih banyak perkara yang perlu dipelajari tetapi dengan mengikut petunjuk dan bantuan jurulatih agar ia menjadi lebih mudah.

Akhirnya, kumpulan kami mampu menyelam sehingga paras 18 meter di dalam laut sekali gus menikmati keajaiban suasana yang sebelum ini hanya dapat disaksikan di televisyen, akhbar atau buku.

Keterujaan itu lebih bermakna apabila rakan-rakan senior merakamkan aksi-aksi kumpulan kami menggunakan kamera dan kamera video kalis air.

Apabila kembali ke daratan, kegembiraan dan kepuasan terpancar pada wajah masing-masing. Meskipun baru berkenalan, kami tidak kekok berkongsi pengalaman masing-masing hingga mengundang hilai tawa.

Rakan sekelas, Shahriman Azmi, 31, seorang pegawai bank memberitahu, menyelam skuba merupakan impiannya sejak kali pertama menyertai simulasi menyelam di Pulau Tioman, Pahang, tiga tahun lalu.

“Sejak itu, saya terus jatuh cinta dengan aktiviti ini sehingga mendorong saya mengambil lesen Open Water Diver di sini. Walaupun tidak berapa pandai berenang, saya gagahkan hati dan segalanya menjadi lebih mudah dengan sokongan rakan serta bantuan jurulatih.

Pengalaman

“Tidak dinafikan, saya pernah berdepan kesukaran, antaranya ketika membuka dan memasang kembali topeng muka di dalam laut dan membuka BCD (Buoyancy Control Device) di permukaan laut,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjan Muda Perbankan dari Universiti Malaya.

Sepertimana penyelam lain, Shahriman yang masih bujang turut terpukau dengan keindahan alam laut dan berhasrat meneruskan aktiviti menyelam pada masa akan datang.

Menurut Mohamad Haniz Mohd. Yusoff, 23, selepas dirinya tahu berenang, dia berhasrat mencuba aktiviti lain berkaitan dengan air. Akhirnya, dia tertarik untuk mengikuti aktiviti selaman skuba.

“Bagi saya, tidak susah belajar menyelam. Yang penting, ikut prosedur dan teknik yang diajar jurulatih serta jangan panik.

“Jadi, saya rasa berbaloi belajar dan mengambil lesen menyelam, selepas ini hendak menyelam di Mabul, Sabah,” katanya yang bekerja sebagai pembantu pegawai teknik.

Seorang peserta wanita, Hirtine Yasim, 25, yang berasal dari Kota Belud, Sabah pula tidak dapat menyembunyikan perasaan takut apabila kali pertama hendak turun ke laut.


ERIC memberi taklimat kepada para pelatih sebelum aktiviti menyelam dilakukan.


Ia gara-gara hanya ada sedikit pengalaman berenang, ditambah pula tong skuba yang digunakan mempunyai berat 17 kilogram (kg).

Kemudian, dia menukar tong tersebut kepada yang lebih kecil iaitu tong seberat 10kg.

Ketika berada di laut, Hirtine turut berdepan beberapa insiden antaranya apabila orang lain sudahpun berada di dalam laut sedangkan dirinya masih terapung-apung di permukaan.

Masalah tersebut dapat diatasi apabila jurulatih memberi bantuan dan selepas itu ia menjadi lebih mudah dan menyeronokkan baginya.

“Tangki skuba rasa sangat berat di darat tetapi sebaliknya di dalam laut tidak rasa apa-apa. Saya juga ada terminum air laut tetapi biasalah bagi yang baharu belajar, ia satu pengalaman berguna.

“Ketika di dalam laut saya tidak dapat melupakan saat bermain-main dengan pelbagai jenis ikan terutama ikan anemone yang popular dalam filem Finding Nemo. Teruja sangat!” Katanya.

Perkhidmatan menyelam

Menurut Pengurus Operasi Cawangan Rakyat Travel, Wan Azwan Amin Wan Fakhruddin, agensi pelancongan tersebut mempunyai bahagian pengurusan aktiviti selam skuba. ia merupakan satu-satunya agensi pelancongan di negara ini yang terlibat secara langsung dengan aktiviti tersebut.

Sebelum ini, ia dikenali sebagai Shahaz Travel and Tour Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 1993 sebelum ditukar kepada Rakyat Travel pada 2007.

Sejak itu, agensi pelancongan itu menyediakan perkhidmatan seperti mengambil lesen menyelam skuba, aktiviti menyelam skuba selain menjual peralatan berkaitan aktiviti berkenaan.

“Kami menyediakan pakej-pakej bermula RM1,200 dan ke atas yang merangkumi penginapan, makan minum, mengambil lesen atau menyelam skuba dan pengangkutan.

“Ketika ini, sambutan terhadap aktiviti menyelam skuba agak menggalakkan dan kami tawarkan pakej secara berkumpulan kerana ia lebih menyeronokkan selain peserta dapat menambah kenalan baharu,” katanya.

Setiap peserta kemudiannya didaftarkan sebagai ahli kelab agensi tersebut dikenali sebagai Scubarac sekali gus membolehkan mereka mendapat maklumat atau kemudahan tertentu berkaitan aktiviti menyelam skuba.

Bagi yang berminat untuk mengambil lesen atau mengikuti aktiviti menyelam skuba boleh menghubungi talian 03-2681 2761 atau e-mel kepada info@rakyatravel.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: