Saturday, August 11, 2012

Enam pelajar wakili negara ke cabaran perdagangan dunia

Peserta akhir Cabaran Perdagangan Antarabangsa (ITC) FedEx Express/Junior Achievement 2012 bergambar kenangan bersama barisan juri pertandingan itu di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

ENAM pelajar tingkatan empat mewakili tiga sekolah sekitar Lembah Klang menggalas harapan negara setelah terpilih menyertai Malaysia Cabaran Perdagangan Antarabangsa (ITC) FedEx Express/Junior Achievement 2012 yang berakhir di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada wakil pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat bandar Puchong 1, Vienoth Segar dan Tan Khai Wen; See Pei Er dan rakannya, Yovisha Vijayakumar (SMK Seafield) manakala SMK Bandar Utama 3 pula diwakili Tan Lu Ping dan Lee Nao JIN.

Pada pertandingan peringkat akhir kali kelima ini, mereka menewaskan 14 pelajar lain untuk membawa pulang hadiah berupa piala dan baucer buku MPH bernilai RM1,000 setiap pasukan.

Kesemua peserta mengambil masa selama tiga minggu untuk melengkapkan persiapan menjadi pasukan yang paling bijak mengetengahkan strategik pemasaran yang baik dalam aspek pengeluaran, eksport barangan dan pemasaran barangan ke destinasi pasaran luar negara.

Pelajar diadili barisan hakim profesional bagi memilih pasukan yang layak mewakili negara menyahut cabaran 24 pasukan lain dari Hong Kong, Jepun, Korea, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam di Hong Kong dari 27 hingga 29 Ogos ini.

Seramai 536 pelajar mewakili 29 sekolah menyertai pertandingan tersebut dengan memfokuskan aspek pembelajaran mengenai strategik dan menghasilkan perniagaan yang berkesan.

Penganjuran ITC FedEx Express/ Junior Achievement bertujuan membentuk fikiran pemimpin perniagaan pada masa hadapan dan menyedarkan mereka mengenai kemungkinan yang terdapat dalam ekonomi global.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: