SEPANJANG Ramadan kita berjuang, hari ini umat Islam di seluruh dunia meraikan hari kemenangan. Pastinya di sini, 1 Syawal disambut meriah di samping keluarga dan sanak saudara. Tidak ketinggalan rakan taulan. Kebiasaan amalan kunjung-mengunjung menjadi agenda berterusan bagi mengeratkan silaturahim sepanjang sebulan hari raya.
Kemesraan dan usaha mengeratkan persaudaraan turut dirasai tiga bintang yang semakin menyinar dalam industri hiburan tempatan, Nur Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah, Izreen Azminda Aznam (Izreen) dan Hanez Suraya Abd Aziz (Hanez).
Mereka bertiga berbesar hati untuk memeriahkan majlis rumah terbuka yang dianjurkan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara (JMD) Sdn Bhd, SM Gadaffi Syed Ali atau Habib di kediaman barunya di Beverly Hills, Hulu Klang.
Pelbagai hidangan tersedia di atas meja bagi meraikan tetamu dan menikmati juadah istimewa disediakan Habib tidak dilepaskan peluang oleh Shila, Izreen dan Hanez.
Dalam kehangatan berbual dan bertanya khabar, ketiga-tiga mereka sempat berkongsi cerita istimewa sempena sambutan Aidilfitri. Yang pasti, Hanez dan Shila mahu mengeratkan lagi persaudaraan yang sedia terjalin dengan ahli keluarga kekasih hati.
Khabarnya, Hanez yang popular menerusi drama bersiri Suri akan ke Singapura untuk melawat keluarga Awi Rafeel dan Shila pula akan melawat keluarga kekasih hatinya juga pelakon popular, Sharnaaz Ahmad di Pulau Pinang.
Berbeza Izreen, Syawal tahun ini sangat istimewa apabila dia bakal bergelar raja sehari. Sepanjang Ramadan lalu, Izreen tidak menang tangan menguruskan segala persiapan diperlukan bagi memastikan majlis pernikahan dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos di tanah kelahirannya di Alor Setar, Kedah dan diikuti majlis persandingan keesokan harinya berjalan lancar.
Kata Izreen, dia bertuah apabila bakal suami, Muhamad Riza Baharudin (Riza), videografer turut membantu melaksanakan apa yang patut bagi memastikan apa dirancang direalisasikan.
“Tarikh 30 Ogos dipilih memandangkan ia ulang tahun kelahiran saya. Ia secara tidak langsung memudahkan saya mengingati ulang tahun perkahwinan selepas ini.
“Saya teruja tetapi dalam waktu sama, bimbang juga memikirkan persiapan hinggakan setiap malam saya tidak dapat tidur lena.
“Ibaratnya, selagi majlis tidak selesai, selagi itu saya berasa tidak tenang.
Mujur keluarga membantu dan mengenai konsep pula, saya serahkan segala-galanya kepada bakal suami.
“Sekali fikir, saya memang bertuah kerana bakal suami sangat bagus. Maklumlah orang kreatif, mata lebih tajam. Dia yang tentukan hiasan dewan dan pelamin bagaimana yang dimahukan. Saya pula sebaliknya dan tidak suka pening-pening kepala. Yang penting, majlis cepat habis,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai hari bersejarahnya, kata Izreen, majlis nikah diadakan secara kecil-kecilan di kediamannya dengan dihadiri keluarga dan sanak-saudara kedua-dua pihak, sementara majlis persandingan pula dibuat di dewan sebuah hotel di Alor Setar berkonsepkan tradisional dan sedikit sentuhan Inggeris.
Mendirikan rumah tangga di saat nama berada di puncak, tegas Izreen, dia akur dengan jodoh dan ketentuan, walaupun sudah bernikah, kerjaya seni tetap berjalan seperti biasa.
“Sejak merancang untuk bernikah, rezeki saya melimpah ruah hinggakan tawaran untuk berlakon drama dan filem datang tidak putus-putus.
“Harap selepas berkahwin, rezeki saya tetap murah seperti sebelum kahwin. Saya tiada masalah untuk terus aktif kerana bakal suami juga terbabit dalam bidang sama. Jadi kami faham kerjaya masing-masing,” katanya.
Shila nafi bertunang Aidilfitri ini
SAAT fotografi ini dijalankan, penyanyi muda yang popular dengan lagu Patah Seribu ini belum membuat keputusan untuk menutup rambut. Dia memakai tudung pada pertengahan Ramadan lalu, sedangkan sesi fotografi dilaksanakan awal sebelum itu.
Seperkara menarik mengenai Shila Amzah, apabila dia mengambil keputusan bertudung, ada yang cuba mengaitkannya dengan soal nikah dan kahwin. Apatah lagi sebelum ini Sharnaaz pernah membuat kenyataan bersedia untuk bertunang dengan kekasihnya itu pada akhir tahun ini dan rancang bernikah tahun depan.
Sebelum ini, Shila mengaku sewaktu mengadakan persembahan di Pulau Pinang baru-baru ini, dia dan ibunya sempat bercuti beberapa hari di sana dan mengunjungi keluarga Sharnaaz.
Ibaratnya, hubungan kedua-dua keluarga terjalin baik. Jadi jika mereka mahu mengambil keputusan selangkah ke depan iaitu bertunang dan bernikah, rasanya tidak ada banyak masalah.
Kenyataan Shila bagaimanapun membuatkan ramai pihak membuat andaian, keputusan untuknya dinikahi Sharnaaz semakin hampir, apatah lagi keluarga kedua-dua pihak akan saling berkunjung sempena Aidilfitri ini. Bertudung juga sebahagian langkah membuat persiapan untuk bergelar isteri.
“Semua itu tidak ada kena mengena dengan soal bertunang atau bernikah. Saya bertudung kerana menjadi tanggungjawab untuk menutup aurat. Ia bukan disuruh sesiapa, sebaliknya hati terbuka untuk melaksanakan suruhan-Nya.
“Setakat ini tiada pula kami merancang untuk bertunang pada hari raya ini.
Khabar angin dihebohkan itu tidak benar. Memang hubungan keluarga saya dan Sharnaaz baik, jadi tidak salah kalau kami saling kunjung mengunjungi.
“Bukankah dalam meraikan Syawal, kita memang dituntut untuk kunjung mengunjungi bagi mengeratkan silaturahim. Ibarat yang jauh didekatkan, dan dekat dirapat-rapatkan. Saya senang kerana hubungan kami merapatkan lagi persaudaraan dua keluarga. Alhamdulillah,” katanya.
Tegas Shila, dia tidak menolak jika ditakdirkan jodohnya tiba dalam masa terdekat dan menganggap sebagai manusia biasa, dia tidak mampu menolak takdir dan segala yang bakal berlaku dalam hidupnya tertulis di Loh Mahfuz.
Hanez rapat dengan ibu Awi Rafael
Cinta yang terjalin enam bulan lalu semakin erat, malah pelakon utama drama bersiri Suri, Hanez Suraya Abd Aziz dan penyanyi lagu popular, Bila Aku Jatuh Cinta, Awi Rafael tidak boleh dipisahkan lagi.
Buktinya, kebelakangan ini mereka sering dilihat menghadiri majlis iftar bersama. Malah, lebih membanggakan apabila mereka menemukan peminat dalam satu majlis berbuka puasa, baru-baru ini.
Yang bagusnya, hubungan mereka turut diterima baik peminat dan kebanyakannya memberi komen positif bahawa Hanez dan Awi adalah pasangan secocok, ibarat pinang dibelah dua.
Akui Hanez, dia malu apabila ada yang memuji sedemikian rupa. Katanya, mereka memang rapat tapi kalau boleh tidak mahu hubungan itu menjadi bahan tatapan keterlaluan kerana takut ia memberi kesan kepada kedua-dua pihak.
“Setakat ini hubungan saya dan Awi baik dan masih dalam proses mengenali.
Hubungan kami juga diketahui keluarga kedua-dua pihak dan saya juga membawa Awi bertemu ibu bapa saya.
“Bagi saya, untuk berkawan, penting untuk seseorang lelaki itu bertemu ibu bapa saya supaya jika ada apa-apa berlaku, mama dan babah senang nak cari orang yang sepatutnya bertanggungjawab.
“Selain itu, dalam berkawan, restu ibu bapa juga penting. Kalau ibu dan ayah tidak suka, saya tidak akan berkawan dengan lelaki itu,” katanya.
Hanez tidak menafikan, ibu bapa menyenangi Awi, begitu juga sebaliknya, pelakon yang memulakan karier dengan filem Bicara Hati itu juga bertemu keluarga Awi.
“Saya juga rapat dengan ibu Awi, malah ada ketika ibunya menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai peribadi mahupun kerjaya.
“Pada saya, syukur kerana persahabatan terjalin juga diterima baik keluarga kedua-dua pihak.
“Bagaimanapun, tidak bermakna kami mula memikirkan soal kahwin. Sebaliknya, kami mahu berkawan terlebih dulu di samping mengukuhkan kedudukan kerjaya serta kewangan,” katanya yang akan melawat keluarga Awi di Yishun, Singapura.
Hanez juga akan terbang ke Kedah bagi menghadiri majlis persandingan Izreen.
Untuk peminat, sempena Aidilfitri ini Hanez banyak membintangi drama yang bersiaran, antaranya Raya Tanpa Wayar yang akan disiarkan pada raya pertama di TV9 dan 48 Jam di TV3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: