Monday, August 27, 2012

Anak angkat jadi kekasih

"HAMPIR setahun lamanya saya memendam rasa, menyimpan perasaan geram, dendam dan marah terhadap diri sendiri. Tetapi sebaik saja terbaca curahan hati Nur Aquila 12 Ogos lalu, saya beranikan diri menulis di ruangan ini dan menghubungi puan. Semuanya berpunca kerana kecurangan isteri saya Khaty.

‘‘Kalau selama ini saya mendengar rintihan wanita yang kecewa kerana suami curang, kini baru saya rasakan betapa pedihnya hati mereka. Tetapi kepada kaum lelaki penderitaannya lebih teruk lagi kerana mereka rasa tercabar,’’ itu cerita Nazary ketika kami berbual di telefon setelah mendapat nota dan e-melnya minggu lalu.

‘‘Saya benar-benar tak sangka isteri yang amat saya sayang, cinta dan setia dengannya, setelah lebih 20 tahun berkahwin, sanggup main cinta dengan lelaki lain sehingga terlanjur tanpa rasa berdosa.

‘‘Malu sungguh, anak-anak dah besar panjang, dah masuk kolej, malangnya Khaty sanggup main cinta dengan jantan yang hampir sebaya dengan anak sulung kami. Mana muka saya nak letak kalau cerita buruk ini terbongkar. Bukan setakat Khaty saja malu, saya lebih lagi.

‘‘Semuanya bermula apabila jiran saya buat rumah baru. Oleh kerana kawasan rumah kami bertentangan, adalah seorang pekerja kontrak Indonesia, Anto yang amat peramah menegur Khaty. Mula-mula minta air nak sejukkan tekak, lepas tu pandai-pandai tumpang berteduh di belakang rumah kami. Saya pernah ternampak dia menegur Khaty dan berbual.

‘‘Fikirkan sesekali Anto minta air, saya diam sahaja, rupanya selalu, saya tak nampak. Mula-mula minta air sejuk kosong, kemudian Khaty tambah perisa siraplah, manggalah, laici dan entah apa-apa saya tak tahu. Yang saya sedar seminggu sekali Khaty akan beli bahan minuman tersebut atau minta saya belikan. Pelik juga kerana kami sekeluarga tak berapa suka minuman manis.

‘‘Begitulah hubungan mereka lebih tiga bulan, lama-lama tentulah jadi mesra. Sudah tidak ada segan silu lagi. Malah Anto boleh berbual hingga ke tingkap belakang rumah tanpa hormatkan saya yang ada di dalam. Bila-bila suka dia panggil Khaty minta bawakan air. Macam Khaty kuli dia.

‘‘Saya pernah tegur dan nasihatkan Khaty supaya jangan terlalu baik dengan pekerja tersebut, bukan apa takut sesuatu yang buruk berlaku, maklum kami ada anak gadis. Lagipun saya dah baca banyak berita tentang anak-anak gadis dibawa lari atau kahwin lari dengan lelaki seberang. Jadi lebih baik kita cegah sebelum terjadi.

‘‘Namun Khaty kata saya tak perlu risau, Anto sudah dianggap seperti anak angkatnya. Dia kesian tengok Anto bekerja keras cari wang untuk dikirim kepada ibunya di kampung. Konon Anto seorang anak baik budi bahasa, hormat orang tua dan memanggil Khaty ‘mama’.

‘‘Walau apa pun cerita Khaty membela Anto, saya tetap tidak setuju dan nasihatkannya jangan terlalu rapat. Lepas rumah itu siap dibina, Anto berpindah ke tempat kerja lain. Sejak itu cerita baru timbul. Khaty sering telefon Anto, katanya tanya khabar, nasihatkan dia supaya rajin solat, jaga kesihatan supaya tidak sakit.

‘‘Cara Khaty ambil berat tentang Anto amat berlebihan. Nasib Khaty bekerja, jika tidak tentu dia sanggup hantarkan nasi untuk Anto makan, begitulah sayangnya Khaty pada Anto. Diam tak diam saya dapati Khaty sering belikan top-up telefon Anto. Awalnya saya tak perasan hinggalah saya lihat Khaty berjalan kaki ke kedai depan rumah kami untuk beli top-up. Ini sudah lebih!

‘‘Melihat eratnya hubungan antara emak dan anak angkat ini hati saya mula timbul syak. Nak jadikan cerita, satu hari Khaty minta belikan telefon baru, nak yang canggih katanya. Saya belikan dan saya sertakan software spy call. Dari situlah saya dapat kesan perbualan dan hubungan mereka.

‘‘Dari apa yang dirakamkan itu juga saya dapat tahu Khaty telah keluarkan sejumlah duit yang banyak kepada Anto. Tapi tak pernah bayar. Bab tolong bayarkan top-up sudah jadi perkara biasa. Boleh dikatakan selang sehari Khaty belikan top-up RM20.

‘‘Hasil siasatan saya, Khaty telefon Anto dalam sehari dua tiga kali. Ada bual kosong, ada juga manja-manja. ‘Pernah satu ketika melalui spy call, terkejut saya dengar perbualan mereka. Bukan bunyi antara emak dan anak angkat tetapi macam kekasih.

‘‘Saya mula syak benda tak baik bila Anto kata dia rindu kehangatan tubuh Khaty dan kemesraan layanannya. Apa benda ni? Ini dah jadi lain? Apa lagi bila semua bukti sudah dalam tangan, saya tanya Khaty. Pastilah dia nafikan. Tapi bila saya suruh dia dengar suaranya memadu asmara melalui rakaman komputer, dia terkejut. Barulah menangis, menyesal dan minta ampun. Khaty janji akan putuskan hubungan dengan Anto.

‘‘Khaty nafikan mereka terlanjur tetapi saya tanya berkali-kali dan suruh dia bersumpah, kalau tipu maka gugurlah talak ke atasnya. Barulah Khaty mengaku. Apa lagi untuk lepaskan geram, saya pukul Khaty di dalam bilik supaya tidak diketahui oleh anak-anak.

‘‘Bila saya tanya berapa kali dan di mana dia buat projek, katanya cuma sekali di hotel. Saya tak percaya dan tanya lagi, Khaty mengaku dua kali. Saya masih tak percaya. Saya minta nasihat pegawai kaunseling di Mahkamah Syariah. Kalau ikutkan hati mahu saya ceraikan Khaty tetapi fikirkan anak-anak yang masih belajar, saya terpaksa telan. Akibatnya jiwa saya terus menderita kerana tak mahu anak-anak sedih dan malu dengan perangai buruk emak mereka yang dah tua tak sedar diri ini.

‘‘Kini walaupun peristiwa keji ini sudah berlalu hampir setahun tapi saya tak boleh kawal perasaan marah saya. Mangsanya pastilah Khaty. Bila angin amarah saya datang, tangan saya cepat singgah ke badan Khaty. Saya pukul dia tetapi rasa marah ini tidak pernah surut apa lagi padam.

‘‘Saya pernah ugut kahwin lagi, Khaty tak marah, katanya kahwinlah jika itu boleh menebus dosanya terhadap saya. Saya bukan kejam, apa lagi kaki perempuan tapi mengapa Khaty sanggup curang terhadap saya.

‘‘Saya tak tahu berapa lama mesti sabar tapi saya terpaksa telan demi anak-anak,’’ luah Nazary dengan suara tersekat-sekat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: