Saturday, August 18, 2012

AES bantu kurangkan kemalangan

JUMLAH kenderaan di atas jalan raya meningkat dengan mendadak sewaktu musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri.


SISTEM Penguatkuasaan Automatik (AES) yang hangat diperkatakan sejak tahun 2005 akhirnya memulakan operasinya pada Ahad lalu.

Idea penggunaan AES dilaksanakan memandangkan bilangan anggota penguat kuasa sedia ada tidak dapat ditingkatkan lagi semata-mata untuk menampung pertambahan volum trafik di jalan raya.

Untuk pengetahuan, jumlah terkumpul anggota penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terlibat dengan kawalan lalu lintas di Malaysia adalah seramai 24,000 orang.

Angka tersebut sudah pasti tidak mencukupi untuk mengawal aliran trafik harian di lebuh raya atau jalan raya, apatah lagi sewaktu musim perayaan seperti Aidilfitri.

Merujuk statistik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak satu juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya pada hari biasa. Jumlah itu melonjak kepada 1.4 juta kenderaan ketika Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri pada satu majlis pelancaran kempen keselamatan di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini menyatakan AES diperlukan demi keselamatan para pemandu dan orang ramai.

"Mereka (penguat kuasa) perlu mengawal sebanyak 22 juta kereta atas raya di seluruh negara. Ini merupakan satu tugas yang mustahil untuk disempurnakan," katanya.

AES membantu memainkan peranan penguatkuasaan menerusi kaedah automatik 24 jam sehari tujuh kali seminggu. Ia berupaya mengesan dan merakam kesalahan lalu lintas menerusi paparan gambar dan video.

Pengenalannya seiring dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010 yang bermatlamat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan. Tahun lalu sahaja, sebanyak 6,877 nyawa melayang dalam kemalangan jalan raya.

Tuan punya AES ialah Kementerian Pengangkutan. Tugas itu dikongsi oleh tiga agensi di bawahnya iaitu JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

JPJ bertanggungjawab melaksanakan AES secara langsung dan merupakan pengguna akhir sistem itu. JKJR memikul tugas menjalankan advokasi dan kempen kesedaran jalan raya mengenai AES.

Sementara Miros pula menentukan lokasi pemasangan kamera di kawasan blackspot (kawasan yang sering berlaku kemalangan) dan kajian keberkesanan sistem kamera berkenaan.

Kontrak lima tahun

Projek itu kemudian dianugerahkan kepada dua syarikat iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. (Beta Tegap) dan ATES Sdn. Bhd. (ATES). Kedua-dua syarikat tersebut berfungsi menyediakan kamera tetap serta mudah alih di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Beta Tegap dipertanggungjawab menyediakan kamera di kawasan selatan Semenanjung Malaysia. Sementara ATES pula menguruskan kawasan di negeri utara sehingga Sabah dan Sarawak.

Kedua-dua syarikat itu juga bertanggungjawab memasang, mengoperasi, menyelenggara semula peralatan dan sistem tersebut. Kontrak yang diberikan adalah selama lima tahun. Tempoh itu mungkin dilanjutkan atau diambil alih oleh kerajaan.

Kamera yang dibekalkan kedua-dua syarikat itu adalah jenis definisi tinggi 11 megapiksel dan menggunakan teknologi radar untuk mengesan pesalah-pesalah lalu lintas.


PENGGUNA jalan raya akan diberitahu terlebih dahulu bahawa di hadapan mereka ada kamera AES.


Sebagai permulaan, AES digunakan untuk mengesan dua kesalahan iaitu tidak mematuhi lampu isyarat dan pemanduan melebihi had laju.

Ejen pemerhati itu boleh ditingkatkan penguatkuasaannya bagi kesalahan-kesalahan lain pada masa hadapan.

Antaranya, memotong di garisan berkembar atau di sebelah kiri jalan, membawa lebih muatan, sekatan terhadap kenderaan berat memasuki kawasan bandar dan penguatkuasaan laluan bas.

Kamera AES tetap dipasang di jalan persekutuan, jalan negeri, lebuh raya dan persimpangan lampu isyarat seluruh negara

Bagi kamera mudah alih pula, ia digunakan JPJ di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai kemudahan elektrik atau kemudahan telekomunikasi.

Perlu diingat, sistem penguatkuasaan itu bukan bersifat hukuman. Ia lebih cenderung untuk memupuk kesedaran, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan serta kematian.

Buktinya, papan tanda peringatan ditempatkan pada jarak dua kilometer (km) sebelum lokasi kamera AES berada. Jika pemandu masih berdegil, silalah bersiap-sedia untuk membayar saman.

Maklumat menerusi AES akan dihantar ke Pusat Kawalan AES di bilik kawalan PDRM dan JPJ. Ia sukar diceroboh kerana memiliki kawalan ketat yang menepati standard global dalam industri.

Bagi memastikan kecekapan sistem berkenaan, kamera dengan alat-alat mengukur kelajuan itu telah menjalani pemeriksaan berdasarkan standard pengujian tertinggi yang ditetapkan SIRIM Berhad setiap lapan bulan sekali.

Penggunaan AES sudah terbukti keberkesanannya di beberapa negara luar. Contohnya, kadar kematian di Perancis menurun 27 peratus dalam tempoh tiga tahun. Di United Kingdom pula, kadar pelanggaran peraturan trafik menurun sebanyak enam peratus.

Ternyata pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar kematian dan kemalangan sudah diambil. Kini, hanya anda dan saya sebagai pengguna jalan raya yang menentukan sama ada sistem berkenaan berjaya atau sebaliknya. Sama-samalah kita menghargai nyawa yang dikurniakan Tuhan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: