Wartawan Sinar Harian terima sijil penghargaan KPN
Shaiful Azhar (kanan) menerima sijil daripada Ismail.

KULIM - “Saya tidak menyangka dipilih menerima surat penghargaan Ketua Polis Negara daripada Tan Sri Ismail Omar kerana membantu menurunkan kadar jenayah,” kata wartawan Sinar Harian Utara, Shaiful Azhar Ahmad Ali.

Skuad Cakna Kulim itu adalah satu-satunya wartawan yang menerima surat penghargaan berkenaan bagi aspek pengurusan jenayah dan kejayaan menurunkan kadar jenayah di Kulim untuk tempoh tiga tahun.

Beliau terharu kerana secara tidak langsung dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengurangkan kadar jenayah melalui penulisan jenayah yang dihasilkan untuk akhbar Sinar Harian.

“Pelbagai pengalaman pahit manis dilalui sepanjang menghasilkan berita jenayah termasuk menerima ugutan serta pernah beberapa kali ditahan orang yang tidak dikenali ketika keluar mencari berita.

“Menghasilkan berita jenayah satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan kerana kita dapat mengambil pengajaran berhubung sesuatu kes jenayah, serta mendidik masyarakat melalui bidang penulisan,” katanya.

Menurutnya, selepas ini beliau akan meningkatkan kualiti penulisan dan memastikan kerjasama erat dengan PDRM terus berkekalan.