Keadaan rumah empat beradik yang siap dicat di bahagian luar rumah.
BATU KIKIR - Kediaman empat beradik yatim piatu yang tinggal di rumah usang kini berubah wajah apabila kakitangan Samsung Corning Precisian Materials (M) (SCPM) Sdn Bhd turun padang melakukan kerja baik pulih rumah pusaka berkenaan, di Kampung Guntur, di sini, kelmarin.
Syaiza Sazlin Safari, 17, bersama tiga lagi adiknya berumur antara 8 hingga 14 tahun, yatim piatu setelah ibunya meninggal dunia pada Februari lalu akibat barah payudara manakala ayahnya maut dalam kemalangan jalan raya pada 2008.
Biarpun terpaksa menjalani kepayahan hidup, namun Syaiza Sazlin tabah memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah dalam menguruskan adik-beradiknya.
Pembantu Pengurusan Sumber Manusia SCPM, Mohd Helmi Atimin berkata, usaha membaik pulih rumah empat beradik itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial pihaknya kepada masyarakat.
“Anak-anak ini yatim piatu, mereka tinggal di rumah itu dalam keadaannya begitu daif. Di sini, kita lakukan pendawaian semula, mengecat rumah serta menggantikan perabot.
“Mereka kelihatan begitu gembira dan ceria sebaik melihat rumah pusaka berkenaan berubah wajah menjadi lebih kemas. Selepas ini, kita harap mereka dapat tinggal dengan lebih selesa dan bersemangat untuk belajar.
“Bagaimanapun, masih ada lagi beberapa perkara lain perlu diperbaharui, tetapi akan dilengkapkan secara berperingkat,” katanya ketika ditemui di rumah berkenaan.
Hadir sama, Pembantu Tadbir Kanan Negeri Sembilan Investment Center, Siti Masitah Mohd Yusof.
Sinar Harian difahamkan, lebih 30 kakitangan syarikat berkenaan turun padang bagi membantu kerja baik pulih rumah terbabit yang bermula seawal jam 8 pagi.
Sementara itu, menurut Siti Masitah, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada empat beradik itu boleh menghubungi beliau di talian 013-2930881.
“Sehingga hari ini, segala keperluan berkaitan termasuk soal pendidikan kita uruskan yang mana kita akan pastikan mereka mendapat pendidikan sewajarnya dan menjalani kehidupan selesa sama seperti anak-anak orang lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: