Monday, May 7, 2012

Terbuka selera di Nyaman Kafe

SET asam pedas ikan pari, ikan kembung atau ikan tongkol ini antara hidangan istimewa di Nyaman Kafe.

UNIK, menarik dan lain daripada yang lain. Itulah keistimewaan Nyaman Kafe yang terletak betul-betul di tepi jambatan Sungai Malim di Pulau Gadong, tidak jauh dari Pantai Klebang, Melaka.

Pemiliknya, Harun Yusof yang berasal dari Pantai Puteri, Melaka mengilhamkan konsep tradisional dan rumah untuk kafenya itu.

Jika anda melewati Jalan Pulau Gadong dan terlihat Nyaman Kafe, pasti anda akan menyangka ia hanya sebuah rumah yang comel. Hakikatnya, rumah kecil yang dicat putih dan dihiasi atap rumbia itu adalah sebuah kafe yang menyediakan makanan yang enak.

Terletak berhadapan Pusat Pertanian Melaka di Pulau Gadong, restoran ini menyediakan hidangan seperti set asam pedas, gulai itik, sandwich berulam, sirap magik, jus mangga pudina, jus alpukat, jus nangka dan banyak lagi.

"Di kafe ini saya tidak menjual mi goreng, mihun goreng, tomyam ataupun nasi goreng. Saya inginkan kelainan dan ada di antara resipi saya ilhamkan daripada buku resipi saya, Uniknya Rasa Penambat Selera-Nyaman.

"Selain itu, saya juga menggunakan perkakas pinggan hidang jenis ayan. Ayan banyak digunakan sebelum merdeka sehingga 1980. Kebetulan saya dapat mencarinya di sebuah kedai Cina di Bandar Hilir.

"Ayan banyak memberi kenangan nostalgia kepada saya dan kepada ramai orang yang membesar di zaman selepas dan sebelum merdeka," terang Harun yang mendirikan rumah tangga dengan Cheriah Abdul Rahman ini dengan yakin.

Jika anda ke Nyaman Kafe, anda harus merasa masakan asam pedasnya yang istimewa. Set asam pedas ikan pari, ikan kembung atau ikan tongkol ini disaji dengan ulaman, ikan masin dan sambal belacan.

Menurut Harun lagi, sekarang ini menu yang paling popular adalah gulai itik dan daging goreng petai.

Restoran yang dihiasi dengan pokok sirih yang ditanamnya sendiri menjalar di dinding dan tiang, membuatkan suasana sekitarnya redup dan menarik.

Harga makanan yang dijual juga tidak mahal iaitu sekitar RM2 hingga RM20 bergantung pada pesanan.

Selain gulai itik, belut goreng istimewa juga antara menu yang harus anda cuba. Anda tidak perlu risau kerana belutnya tidak hanyir.

Stew daging ala Turki juga unik. Ia dimakan dengan roti dan sesuai bagi mereka yang menjaga diet.

"Di sini saya juga menyediakan jus buah binjai mengikut musimnya. Buah binjai biasanya kita buat sambal belacan, tapi di sini saya juskan. Kami juga ada cendol dan tauhu bakar.

"Satu lagi resipi istimewa saya adalah pisang emas yang dibakar dan dihidangkan dengan jus buah naga dan lemak santan,''katanya lagi.

Nyaman Kafe juga menitikberatkan konsep hijau dan tidak hairanlah jika Harun dan isteri rajin mengusahakan tanah di sekeliling dengan menanam pokok cili, bunga matahari, palma, kacang bendi dan pokok pisang selain membela ayam dan itik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: