Saturday, May 5, 2012

Teknologi Jerman pada harga bawah RM100,000



KATAKAN anda cuma ada RM100,000 untuk membeli sebuah kereta. Dengan wang itu, memang banyak pilihan yang boleh dibuat sekiranya anda tidak kisah untuk memandu kereta buatan tempatan, Jepun, Korea atau China. Masalahnya, citarasa anda sedikit tinggi, mahu kereta Eropah atau lebih tepat lagi dari Jerman.

Jadi apa pilihan yang ada? Kalau model terpakai, ada banyak. Sekiranya kereta baharu, ia kedengaran mustahil sebelum sedan jenama Volkswagen ini tampil di bilik-bilik pameran di seluruh negara.

Dilancarkan pada pertengahan bulan lalu di Pulau Langkawi, Polo Sedan menjawab keinginan golongan berpendapatan sederhana yang mahukan sebuah kereta dengan DNA Eropah. Ia ditawarkan pada harga cuma RM99,888 seunit (tidak termasuk insurans).

Perlu tahu bahawa model itu bukan hasil kerjasama antara Volkswagen dengan pihak DRB-Hicom. Sebaliknya ia dibawa masuk dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari kilang Volkswagen di India.

Benar, sebelum ini memang ada desas-desus bahawa Polo Sedan mungkin menjadi salah model yang dipasang dalam negara (CKD), namun langkah itu bergantung kepada sejauh mana bagusnya sambutan daripada pengguna tempatan.

Harus diakui bahawa Volkswagen menerusi Volkswagen Group Malaysia (VGM) cukup aktif menawarkan pelbagai model demi memenuhi kehendak pengguna di Malaysia. Buktinya, dalam tempoh hanya 12 bulan, VGM sudah melancarkan 12 model signifikan.

Ini merangkumi model Eos, Polo GTI, Polo TSI Sport, Golf TSI, Tiguan, Jetta, Cross Touran, Passat, Sharan, Passat 1.8TSI (CKD), Golf R, Passat CC R-Line dan Scirocco R. Polo Sedan dan kenderaan penumpang lain dipasarkan oleh anak syarikat baharu VGM iaitu Volkswagen Passengers Cars Malaysia (VPCM).

Perkembangan itu nyata selari dengan penerimaan positif jenama Volkswagen oleh orang ramai sejak kebelakangan ini. Tahun 2011 menyaksikan lebih 7,200 unit kenderaan Volkswagen berjaya dijual. Angka itu mewakili peningkatan sebanyak 160 peratus!

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa jumlah itu sedikit sebanyak telah mengubah landskap automotif negara. VGM dilihat kian komited untuk mengukuhkan jenamanya menerusi pengembangan rangkaian di seluruh negara.

Langkah itu sekali gus mampu membawa produk dan perkhidmatan Volkswagen lebih hampir kepada para pelanggannya. Matlamat VGM hanya satu, mahu menjadikan Volkswagen sebagai jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia.


PAPAN pemuka Polo Sedan dibina menggunakan plastik berkualiti tinggi dan tidak nampak murah.


Baiklah, apa istimewanya Polo Sedan? Jika dilihat dari segi penampilan luaran, ia bukanlah sedan yang terlalu cantik rekaannya. Seperti biasa, VW mengekalkan garis-garis tubuh yang ringkas dan tidak dramatik ke atas Polo Sedan.

Jadi, saya tidak hairan jika ramai yang tidak kagum dengan reka bentuknya. Malah ada rakan yang menyatakan ia kelihatan seperti Proton Saga.

Ia menggunakan rim aloi bersaiz 15 inci. Di samping kemasan krom pada gril hadapan dan perumah lampu kabus. Sementara bahagian belakang pula dihiasi oleh sepasang lampu, tiada LED. Anda boleh memilih enam warna luaran iaitu putih, merah, emas, biru, perak dan hitam.

Enjin MPI 1.6 liter

Lupakan sebentar tentang bentuk luarannya dan fokus kepada kelebihan yang mungkin boleh membuatkan anda bertukar fikiran. Biarpun Polo Sedan dikilangkan di India, ia tetap menepati standard Volkswagen yang tinggi. Maka, anda boleh mengharapkan kualiti dan kejuruteraan Jerman yang meliputi aspek enjin, transmisi, pengendalian, dan keselamatan.

Kalau dilihat dari segi keselamatan, ia dilengkapi empat beg udara, sistem brek ABS, Electronic Brake Pressure Distribution (EBD) dan Intelligent Crash Response System (ICRS).

Menjadi model paling murah yang ditawarkan oleh VGM, maka janganlah anda mengharapkan semua ciri terbaik Volkswagen ada padanya. Maknanya, ia tidak dijana oleh unit enjin twincharged TSI atau menggunakan kotak gear berkembar DSG.

Sebaliknya, tugas menggerakkan Polo Sedan diserahkan kepada unit enjin Multi Point Injection (MPI) bersesaran 1.6 liter. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 105PS dan tork 153Nm, antara yang tertinggi dalam kelasnya.

Peluang memandunya dalam tempoh beberapa jam membuktikan bahawa kuasa enjin itu membolehkan tugas untuk memotong atau menyusuri laluan berbukit menjadi mudah dan tetap menyeronokkan.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi jenis torque converter konvensional enam kelajuan bersama ciri Tiptronic. Kombinasi itu membolehkan ia bergerak sejauh setiap 100 kilometer dengan hanya 6.5 liter petrol untuk gabungan perjalanan di bandar dan lebuh raya.

Jika dinilai dari segi prestasi, Polo Sedan berupaya memecut dari titik pegun ke kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 12.3 saat. Kelajuan maksimum pula mencecah 183km/j. Pendek kata, jentera itu masih berupaya menawarkan pemanduan mengujakan dan bertenaga. Biarpun maklum balas enjin serta transmisinya tidaklah sebagus padanan enjin TSI dan DSG.

Tipikal sebuah Volkswagen, ruang kabin polo Sedan direka dengan kemas dan ringkas. Masih boleh dianggap sebagai bergaya dan selesa, kemasan krom menghiasi bahagian sisi corong pendingin hawa, butang kawalan dan stereng. Walaupun papan pemukanya dimonopoli oleh plastik, material kulit tetap digunakan untuk membalut stereng, tuil gear dan brek tangan.

Kalau anda berharap Polo Sedan ditawarkan pada harga lebih murah, mungkin dalam lingkungan RM80,000, anda sebenarnya tidak keseorangan. Sebelum harga sebenar Polo Sedan diumumkan, ramai yang meletak harapan agar ia berada pada takat harga seperti sebuah Honda City atau Toyota Vios.


PEMANDU dibekalkan dengan maklumat pemanduan yang penting menerusi paparan digital dan meter analog.


Volkswagen memberi maksud kereta rakyat. Namun, nilai itu nampaknya sukar untuk direalisasikan di sini. Saya percaya, tidak ramai yang sedia untuk melabur wang hampir RM100,000 untuk sebuah sedan segmen B. Bukan pengeluar dari Jerman itu tidak mencuba untuk menawarkan produk lebih murah, tetapi disebabkan oleh polisi industri automotif negara yang kurang mesra jenama luar, tugas itu menjadi bertambah susah.

"Sedan terbaharu ini dijangka dapat menarik minat mereka yang mahukan sebuah kereta Eropah mampu milik. Polo Sedan memenuhi segala standard tertinggi kejuruteraan automotif moden menerusi sistem keselamatan aktif dan pasif, teknologi bercekapan tinggi dan kualiti kejuruteraan Jerman.

"Bukan itu sahaja, ia juga ditawarkan pada harga yang cukup berpatutan," kata Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: