DENGAN menyarung persalinan putih dan lengkap memakai topeng muka, seorang pakar hidupan liar meregangkan sayap pada bangkai seekor burung helang emas yang dihantar dari New Mexico.
Walaupun bau yang terhasil daripada unggas itu agak kurang menyenangkan, ironinya, lelaki tersebut tetap kelihatan gembira dengan apa yang telah dilihatnya.
"Ini adalah burung yang sangat hebat. Tidak banyak kerosakan yang berlaku pada fizikalnya. Ia sesuatu yang jarang terjadi," kata Dennis Wiist dari Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan Amerika Syarikat (AS).
Selepas memeriksa keadaan fizikalnya, Wiist membungkus bangkai helang tersebut untuk dibekukan sebelum dihantar kepada salah satu suku kaum peribumi India Amerika (Red Indian) yang telah memohon untuk mendapatkan 'barang berharga' itu.
Haiwan suci
Hakikatnya, helang dianggap sebagai haiwan suci bagi kebanyakan suku kaum peribumi di AS. Oleh itu, Wiist dan rakan-rakannya di Repositori Helang Kebangsaan (NER) telah biasa menyediakan kelengkapan seperti bulu, sayap dan kaki burung atau dalam kebanyakan kes, keseluruhan bangkainya yang digunakan untuk tujuan ritual.
Namun, permintaan yang diterima seringkali melebihi kapasiti pusat tersebut.
Setiap tahun, NER akan menerima kira-kira 2,300 ekor bangkai helang botak dan emas yang dikumpul oleh ejen-ejen hidupan liar mahupun individu perseorangan.
Tetapi, mereka menerima lebih daripada 3,000 permintaan setahun yang mahu mendapatkan keseluruhan bangkai burung atau hanya bahagian-bahagian tertentu. Pernah pada suatu ketika, terdapat kira-kira 6,000 permohonan berada dalam senarai menunggu.
"Kami memang tidak mempunyai bekalan yang mencukupi. Pusat kami sedaya upaya melakukan yang terbaik," jelas Bernadette Atencio yang merupakan penyelia Program Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan.
|
|
Terletak kira-kira 16 kilometer dari pusat bandar Denver, NER ditubuhkan pada tahun 1970-an untuk memenuhi keperluan suku kaum peribumi India Amerika terhadap burung pemangsa itu.
Ada juga sesetengah daripada mereka tidak mahu terlalu bergantung kepada pusat berkenaan, kerana tempoh masa untuk mendapatkan seekor burung adalah terlalu lama meskipun populasi helang botak dan helang emas sudah pulih daripada ancaman kepupusan.
Selain itu, kualiti bangkai burung yang diperoleh juga menjadi satu isu. Masalah ini disebabkan burung-burung yang dihantar ke pusat tersebut selalunya berada dalam keadaan yang sangat teruk. Malah, kadang-kadang ia langsung tidak sempurna sekali gus tidak sesuai digunakan untuk upacara keagamaan.
Bangkai tidak sempurna
Pada hari berkenaan, Wiist memindahkan bangkai seekor helang emas yang telah mereput daripada sebuah beg hitam. Ia turut disertakan dengan nota yang menyatakan bahawa burung tersebut ditemui di dalam sebuah tangki air. Ternyata bangkai burung itu tidak boleh digunakan langsung.
Bagaimanapun, seekor lagi helang botak dewasa yang diperiksa oleh Wiist berada dalam keadaan baik. Ia hanya mengalami kecederaan kecil iaitu retak di buku lali dan trauma di kepala. Secara keseluruhannya, ia boleh dikategori sebagai burung yang lengkap.
Suku kaum Arapaho Northern di Wyoming, AS contohnya, memerlukan burung helang yang sempurna bagi upacara tarian matahari musim panas, tetapi ketua agamanya, Nelson White memberitahu bahawa NER telah menghantar helang yang tidak sesuai. Lebih teruk, burung itu telahpun mereput.
Pada November 2011, suku kaum tersebut telah memfailkan tuntutan di mahkamah persekutuan yang mengatakan hak agama mereka telah dicabuli lantaran undang-undang yang digubal mengenai burung helang.
Ini kerana pada bulan Mac lalu, Jabatan Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS telah meluluskan permit yang kononnya membenarkan mereka untuk membunuh hanya dua ekor helang botak bagi tujuan spiritual.
Bagaimanapun, suku kaum Arapaho Northern mahu melakukan rundingan terlebih dahulu dengan pihak kerajaan bagi mendapatkan kelulusan untuk membunuh lebih banyak helang.
Begitupun, NER terus berusaha untuk memenuhi keperluan permohonan mendapatkan burung helang. Untuk itu, setiap hari Wiist akan memeriksa antara 25 hingga 30 ekor helang emas dan helang botak yang telah mati dan dihantar ke sana.
Pemeriksaan
Setiap burung tersebut akan diperiksa dengan teliti dari kepala hingga ke kuku dan dicatat ke dalam sebuah buku khas untuk mengetahui keadaan keseluruhan haiwan pemangsa tersebut.
Itulah rutin harian yang akan dilakukan Wiist di stesen kerjanya. Pemandangan bangkai helang yang bergantungan di dalam plastik lutsinar yang terletak di ruang sejuk beku, sudah sebati dalam jiwa Wiist. 'Koleksi' itu hanya menunggu masa untuk dihantar kepada pemohonnya.
Bersebelahan dengannya pula, dipenuhi dengan himpunan pelbagai bulu-bulu helang yang telah dipisahkan dari anggota badan.
"Saya sentiasa memeriksa bahagian tulang kepak untuk memastikan jika ia pecah atau rosak. Ini kerana sesetengah kaum India Amerika akan menggunakan tulang kepak untuk dijadikan wisel.
Ahli antropologi dari suku kaum Hopi, Micah Loma'omvaya berkata, kaumnya melihat burung helang sebagai haiwan suci yang membolehkan mereka berkomunikasi dengan tuhan-tuhan lain. Selain itu, ia turut mewakili semangat nenek moyang mereka.
"Secara keseluruhannya, helang adalah segala-galanya bagi kami. Ia bukan sekadar dijadikan subjek untuk upacara kerohanian, bahkan setiap helai bulunya mempunyai signifikan tersendiri.
"Malah, kami percaya ia sebagai lambang kesuburan, menurunkan hujan dan digunakan untuk berburu atau dalam erti kata lain semua perkara yang baik dalam kehidupan," ujar Loma'omvaya sambil menegaskan bahawa suku kaumnya telah menggunakan bulu-bulu helang sejak zaman dahulu kala.
Tambahnya meskipun kaum Hopi memiliki permit untuk membunuh helang emas, tetapi ketiadaan item-item yang diperlukan daripada NER akan membataskan kemampuan mereka untuk menyertai acara kebudayaan tertentu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: