Saturday, May 5, 2012

Susur hutan sambil mantapkan teknik



DERUMAN enjin daripada jentera pacuan empat roda (4x4) itu kedengaran sedikit memekakkan. Bagaimanapun, pemandunya dilihat tidak ambil peduli. Dia hanya memikirkan tentang cara untuk mengawal jentera itu ketika menuruni bukit curam di hadapannya.

Adha Kusno, 38, bukan tidak pernah memandu kenderaan sebelum ini. Sejak memiliki lesen kenderaan yang sah kira-kira 20 tahun lalu, boleh dikatakan hampir seluruh negara telah dijelajahinya sama ada atas urusan kerja atau bersantai bersama keluarga.

Namun, jentera jenama Land Rover Defender itu ternyata begitu asing bagi dirinya. Sudahlah reka bentuknya agak tinggi dan lebar, penggunaan gear, pedal minyak, brek serta stereng juga jauh berbeza dengan kenderaan biasa yang pernah dipandunya.

Adha mengesat butiran peluh yang mula mengalir di dahinya sambil ligat berfikir tentang perkara yang telah dipelajari sebelum memulakan aktiviti lasak itu.

Tangan kirinya pantas memegang tombol gear lalu menukarkannya kepada posisi gear rendah manakala sebelah lagi kejap memegang stereng.

Dalam situasi itu, dia tidak boleh menekan pedal minyak, bimbang jentera itu mudah hilang kawalan lalu merempuh pokok-pokok di sekelilingnya.

"Nampak macam mudah, tetapi selepas mencubanya sendiri barulah saya tahu betapa sukarnya memandu jentera ini," katanya merupakan salah seorang peserta yang berpeluang mengikuti kursus pemanduan 4X4 anjuran Outrecs Academy Sdn. Bhd. di Lubuk Kawah, Ulu Bernam, Selangor baru-baru ini.

Kursus selama dua hari itu disertai kira-kira 12 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad dan Mesiniaga Berhad.

Kakitangan syarikat Mesiniaga Berhad itu berkata, sebelum dibenarkan memandu jentera, peserta-peserta terlebih dulu diajar secara teori mengenai spesifikasi dan teknik pengendalian 4x4 yang betul.

Pada masa yang sama, katanya, peserta juga diajar kaedah-kaedah menggunakan peralatan recovery seperti hi-lift jack, strap, shackle dan electric winch.

"Selepas itu, barulah kami berpeluang memandunya mengikut halangan yang ditetapkan. Antaranya ialah melepasi halangan sungai, laluan berlumpur dan meniti atas kayu balak.

"Biarpun hanya di peringkat asas, namun ia tampak berbaloi, lebih-lebih lagi sebahagian besar daripada peserta baru kali pertama didedahkan dengan pemanduan yang agak ekstrem seperti ini," ujarnya yang menetap di Petaling Jaya.


TUNJUK ajar dalam kursus ini membolehkan para peserta bersedia ketika menghadapi situasi sebenar semasa memandu.


Cabaran semula jadi

Pengarah Outrecs Academy Sdn. Bhd., Riduwan Zanin berkata, kursus pemanduan asas profesional 4x4 itu bertujuan mendedahkan peserta terhadap aktiviti berkenaan dengan lebih dekat.

Lelaki yang mempunyai mempunyai lesen kejurulatihan profesional 4x4 dari Lantra Awards itu memberitahu, lokasi Lubuk Kawah dipilih kerana ia memberikan cabaran semula jadi kepada setiap peserta.

"Aliran sungai, cerun bukit, laluan berbatu dan berlumpur dilihat cukup lengkap dan menguji kemampuan mental dan fizikal peserta," jelasnya.

Kata Riduwan, antara perkara asas yang diajar dalam kursus itu adalah kaedah memegang stereng, mengawal pedal minyak, menukar gear serta pengetahuan mengenai peralatan recovery bagi memastikan keselamatan pemandu, kenderaan dan persekitarannya.

Jelasnya, pemanduan jentera itu sangat berbeza berbanding kenderaan biasa apatah lagi dalam persekitaran bentuk muka bumi yang serba mencabar seperti di Lubuk Kawah.

Katanya, pemahaman mengenai spesifikasi dan aspek teknikal kenderaan penting sebelum seorang itu mempelajari teknik memandu yang betul.

"Misalnya cara memegang stereng, ramai yang tidak tahu teknik memegang stereng yang betul ialah mengikut kedudukan waktu jam iaitu, pukul 2 dan 10 manakala ibu jari perlu berada pada posisi tegak bukan digenggam pada stereng.

"Ini kerana dalam situasi tertentu, stereng akan berputar laju. Jika ibu jari dipaut pada stereng, kecederaan boleh berlaku," ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya, peserta juga diajar teknik pemanduan dalam jenis situasi yang berbeza.

"Di sinilah kemahiran mereka diuji. Misalnya, ketika mendaki cerun, penggunaan gear mesti berada pada posisi rendah.

"Malah peserta juga tidak boleh mengimbangi kenderaan dengan menekan pedal minyak dan klac seperti yang lazim dilakukan di jalan raya. Cara itu akan menyebabkan klac mudah haus sekali gus merosakkannya," katanya.

Impak aktiviti

Riduwan berkata, konsep Treat No Trace yang diterapkan sepanjang kursus itu membolehkan peserta mengetahui kaedah mengurangkan impak aktiviti itu terhadap alam sekitar.

"Selama ini wujud persepsi bahawa peminat aktiviti ini sering merosakkan laluan atau menebang pokok hutan sehingga menimbulkan kemarahan beberapa pihak tertentu.

"Di sini, kami tunjukkan kepada para peserta bahawa aktiviti itu sebenarnya tidak memudaratkan alam sekitar asalkan ia dilakukan mengikut disiplin dan teknik yang betul," ulas Riduwan.


PARA peserta kursus pemanduan pacuan 4x4 anjuran Outrecs Academy Sdn. Bhd. melonjak kegembiraan tanda berpuas hati.


Bagi seorang peserta, Muhammad Hadzrin Mahdi, 34, kursus itu membolehkan dia mencuba sendiri pengalaman memandu jentera 4x4.

Ujarnya, biarpun meminati aktiviti itu, namun dia tidak berpeluang menerokanya dengan lebih dekat kecuali hanya menyaksikannya melalui kaca televisyen.

"Sebab itu, peluang ini ibarat bulan jatuh ke riba. Saya sangat teruja kerana berpeluang merasai sendiri cabaran semula jadi di sekitar Lubuk Kawah ini," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Selain berpeluang mengetahui teori dan teknik pemanduan, dia juga turut mempelajari teknik isyarat tangan yang digunakan oleh pemandu dan pembantu pemandu untuk berkomunikasi ketika melepasi sesuatu halangan.

"Saya sudah tahu isyarat ke kiri, ke kanan, lurus, undur, berhenti. Ia tampak remeh, namun ia merupakan disiplin penting yang perlu dipelajari oleh setiap mereka yang mahu mencuba aktiviti ini pada masa hadapan," katanya.

Uji kesabaran

Tambah Muhammad Hadzrin, selain faktor keberanian, aktiviti itu turut menjadi medan untuk menguji kesabaran serta semangat setia kawan yang ada pada diri setiap ahli kumpulan 4x4.

Katanya, sikap kerjasama antara ahli merupakan satu elemen yang wajib ada terutama semasa melakukan ekspedisi sedemikian.

"Sebagai contoh, apabila kita mendapati sebuah jambatan yang perlu diseberangi runtuh, maka kita kena bina jambatan tersebut. Kalau seorang, memang tidak boleh siap, jadi kerjasama adalah jalan penyelesaian," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Khair Abd Rashid, 39, pula berkata, pengalaman yang diperolehi amat berguna khususnya dalam menambah pengetahuan seseorang mengenai aktiviti lasak tersebut.

Menurutnya, aktiviti itu sebenarnya tidaklah mahal seperti yang disangkakan. Selain itu, peserta juga berpeluang meneroka keindahan alam yang menakjubkan.

Katanya, disebabkan hanya boleh diakses dengan menaiki 4x4, tidak ramai orang mengetahui bahawa Lubuk Kawah mempunyai lokasi air terjun yang menarik.

"Selain pemandangan indah di tengah hutan dan kesejukan air sungai di Lubuk Kawah, pengalaman mencabar ketika melalui jalan balak sangat menyeronokkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: