Solat Hajat di sawah
Penduduk Kampung Guchil, Jertih mengulangi nostalgia 40 tahun lalu apabila mengadakan solat Hajat di kawasan sawah padi sempena musim baru mengerjakan padi.

JERTIH - Nostalgia 40 tahun lalu bagi penduduk kampung ini dekat Jertih berulang kembali apabila penduduk sekali lagi beramai-ramai mengadakan solat Hajat sempena musim baru mengerjakan padi di kawasan sawah kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zahari Mat Din berkata, solat Hajat di kawasan lapang sawah padi anjuran Kumpulan Pengguna Air (KPA) Gong Guchil bersama JKKK itu kali terakhir diadakan 40 tahun lalu.

Menurutnya, usaha ini menggamit kenangan indah generasi tua sekarang ini yang ketika itu masih remaja dan melakukan solat Hajat di tengah sawah. “Solat Hajat adalah acara tahunan diadakan di kampung ini setiap kali petani ingin ke sawah mengerjakan padi musim baru namun lazimnya solat Hajat dilakukan di rumah atau surau tetapi kali ini diadakan berhampiran sawah,” katanya.

Beliau berkata demi­kian selepas solat Hajat melibatkan 60 ahli KPA Gong Guchil di atas tanah yang dialas dengan kanvas.

Menurutnya, musim baru penanaman padi seterusnya akan bermula pada 20 Mei ini dengan kerja menyemai namun sebelum itu kerja membajak dan mengapur sedang dilakukan diikuti air dilepaskan ke dalam petak sawah pada 10 Mei ini. “Solat Hajat di tapak tersebut akan diteruskan selepas ini kerana ia mendamaikan dan santai selain mereka menikmati jamuan ala kampung selepas selesai solat. “Tujuan solat Hajat diadakan bagi memohon agar urusan menanam padi pada musim akan datang berjalan dengan baik serta ditambahkan rezeki petani,” katanya.