Felda Keratong jadi sasaran pencuri
Jawatankuasa masjid menunjukkan kesan sebuah tabung masjid yang gagal ditebuk pencuri dalam kejadian itu

KUALA ROMPIN - Kes pecah ­rumah dan curi motosikal serta wang tabung masjid di sekitar Felda Keratong, Bandar Tun Razak se­makin menjadi-jadi hingga mengundang ­ketakutan dalam kalangan pen­duduk yang tinggal di kawasan itu.

Dalam tempoh dua bulan lalu, sebanyak tiga kes pecah ­rumah ­dilaporkan berlaku di kawasan ­gugusan Felda itu dengan modus operandi yang sama iaitu ­menyelinap masuk ke rumah mangsa pada awal pagi.

Laporan Sinar Harian pada 4 Mac lalu misalnya, seorang ­janda yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)‘berputih mata’ apabila wang itu ‘lesap’ sekelip mata, selepas ­rumahnya di Felda Keratong, 1, di sini, dipecah masuk.

Effarizah Sulaiman, 26, ­berkata, akibat daripada kejadian itu, dia kini semakin berhati-hati dengan ­memastikan rumahnya itu sentiasa diterangi dengan cahaya lampu ­s­­erta mengunci pintu depan dan belakang rumah.

“Kami berasa bimbang dengan kejadian ini dan berharap polis menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan keselamatan penduduk dapat diberi perhatian,” katanya.

Ketua Blok 18 Keratong 2, Mariam Khamis berkata, kejadian pecah ­rumah dalam masa sehari itu juga turut membabitkan kediamannya, apabila suspek dipercayai memecah masuk melalui tingkap dapur rumahnya.

Mariam menggesa pihak polis agar lebih kerap melakukan rondaan di kawasan itu kerana sudah banyak kali kes pecah rumah berlaku di ­­sekitar kawasan Felda berkenaan.

“Polis diminta sentiasa buat rondaan bagi memastikan kawasan ini tidak dicemari dengan kegiatan tidak bermoral seperti ini bagi memastikan kawasan ini lebih selamat pada masa akan datang,” katanya.

Pada 20 April lalu, Masjid At-Taqwa Felda Keratong 4, digemparkan dengan kes kehilangan wang tabung masjid apabila ia dipercayai dikebas pencuri sewaktu kesemua jemaah ­­selesai menunaikan solat Asar.

Lebih malang, kejadian itu ­berlaku sebanyak empat kali dalam tempoh dua tahun ini dan terbaru ia ­berlaku pada Khamis lalu apabila sebuah ­tabung masjid dipecah, manakala sebuah lagi tabung itu dibawa lari.

Jawatankuasa masjid tidak ­me­nolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan ‘mat gian’ yang terdesak ­untuk mencari wang hingga sanggup menjadikan rumah suci umat Islam beribadah sebagai tempat mereka melakukan tindakan terkutuk itu.

Dianggarkan dalam tempoh dua tahun lalu saja, lebih RM5,000 ­dikebas individu tidak bertanggungjawab t­ermasuk kes curi kipas kaki masjid dan paparan waktu solat.

Imam masjid itu, Jelani Mat Ya’, berkata, perbuatan yang dilakukan pihak terbabit disifatkan ­sebagai per­buatan terkutuk yang dilaknat ALLAH, lebih-lebih lagi perbuatan itu dilakukan di tempat mulia.

“Kita berharap agar pihak terbabit segera insaf kerana perbuatan yang dilakukannya itu dimurkai Allah dan duit hasil curi yang diperolehnya itu juga tidak berkat,” katanya.

Terbaru, Masjid Felda Keratong 5 pula menjadi sasaran ­seterusnya pencuri, apabila dua motosikal ­jemaah di situ dilarikan pihak tidak bertanggungjawab.

Pencuri terbabit dipercayai akan menjual motosikal itu kepada ­pembeli besi buruk agar mereka boleh mem­peroleh wang selain menyukarkan ­pihak berkuasa untuk mengesan ­tindakan ‘licik’ terbabit.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, sebanyak tujuh kes pecah rumah dilaporkan, manakala 18 kes curi motosikal direkodkan sepanjang Januari hingga April lalu.

Katanya, terdapat penurunan kes pecah rumah dan curi ­motosikal pada tahun sebelumnya, namun ­polis memberi amaran tegas tidak akan ­berdiam diri dengan gejala itu ­terutama di ­kawasan Felda.

“Kita ambil serius isu kes pecah ­rumah dan curi motosikal, namun berharap agar masyarakat dapat membantu polis melalui saluran ­maklumat agar mereka yang tidak bertanggungjawab ini dapat dicekup untuk ­tindakan selanjutnya,” katanya.