Siapa sangka, perbualan di lokasi penggambaran, ‘Antara Kita’ awal Januari lalu, menjadi titik tolak terjalinnya persahabatan di antara aktres, Anne Ngasri dan penyanyi dari Singapura yang terkenal menerusi lagu Sayang Sayang, Aliff Aziz.
Tidak menafikan mahupun mengiakan hubungan mesra yang terjalin, Anne dan Aliff lebih senang menyerahkan kepada takdir sejauh mana perjalanan hubungan mereka.
Namun, dari karakter bersahaja mereka, terlihat wajah bahagia yang mula melingkari kehidupan dua figura ini.
“Alhamdulillah, hubungan kami berjalan dengan lancar dan kami menyerahkan kepada takdir serta jodoh yang ditentukan kepada Allah SWT.
“Namun buat masa ini, kami sama-sama meletakkan karier sebagai fokus utama dan kami berharap tiada pihak yang memberi tekanan untuk mengetahui bila kami akan menamatkan zaman bujang.
“Bagi kami ruang yang sewajarnya dan bila tiba masa sesuai, barulah kami bersedia untuk bercakap lebih dari itu,” kata Aliff mengenai hubungannya dengan aktres berusia 28 tahun itu.
Manakala Anne berkata, dia seboleh-bolehnya enggan lagi ‘menjaja’ cerita mengenai hubungannya dengan Aliff kerana bimbang peminat dan masyarakat akan muak dengan cerita mengenai hubungan mereka.
“Sejujurnya, saya enggan terus memperkatakan tentang hubungan kami. Saya bimbang ada yang tersalah tafsir dan menganggap kami sengaja menunjuk-nunjuk kepada umum.
“Sebelum ini, saya mendedahkan kepada umum sebab orang nak tahu. Bila masyarakat dah sedia maklum, jadi saya rasa tidak perlulah untuk saya terus-terusan memperkatakan tentang hubungan ini. Kalau boleh, biarlah ada hadnya,” jelasnya.
Doa yang terbaik - Anne
Anne berkata, keputusan untuk tidak lagi memperkatakan tentang hubungan ini bukan kerana hubungan mereka berantakan tetapi khuatir jika ada pihak yang mendoakan perkara tidak baik.
Katanya, dia juga perlu memikirkan perasaan anak-anaknya dan bimbang akan memalukan mereka pada masa akan datang.
“Saya bimbang nanti bila orang menyampah, orang akan mendoakan perkara yang tidak baik. Jadi, biar kami jalani hubungan ini dengan cara kami dan dalam masa yang sama, kami harap orang akan doakan yang terbaik.
“Lagi pula, saya bukan lagi membawa nama saya seorang, saya kini membawa nama dan maruah tiga anak saya di belakang saya. Jadi, saya perlu fikirkan perasaan mereka juga bila ada pihak yang mungkin akan mengata ibu mereka nanti,” katanya.
Malah, kata Anne, apa yang penting, hubungannya dengan Aliff sudah mendapat restu keluarga dan anak-anaknya juga menerima Aliff seadanya.
“Buat masa ini, keluarga tidak ada masalah dengan Aliff dan mereka menerima hubungan kami. Anak-anak juga begitu, mereka memanggil Aliff dengan panggilan ‘daddy’,” katanya.
Bukan merajuk
Menyentuh mengenai perkembangan terkininya, Anne berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Opah dan Cinta Vilog.
Namun, di sebalik itu, ada beberapa pihak mengatakan, Anne kini jarang muncul di kaca televisyen kerana merajuk setelah beberapa pihak mempertikaikan keikhlasannya bertudung.
“Saya rasa tidak ada sebab untuk saya merajuk. Malah, ia juga isu lama yang tak perlu lagi untuk diperkatakan. Sebenarnya saya masih aktif, cuma saya jarang muncul di media massa.
“Malah, ada kalanya, saya juga memenuhi beberapa undangan mengacarakan majlis korporat. Jadi, cakap-cakap orang yang mengatakan saya merajuk tidak benar,” katanya yang kini turut sibuk menguruskan perniagaan yang masih dirahsiakan.
Selain berlakon dan mengacara, Anne juga baru sahaja menyambung kontrak sebagai duta produk Alima dan Frozen Food selama setahun lagi.
Anne banyak ubah hidup saya - Aliff
Jika selama ini, dia dikenali sebagai lelaki romeo, namun segalanya berubah setelah dia mengenali wanita bernama Nasriah Ngasri atau Anne.
Menurut Alif, Anne banyak mengubah hidupnya dan mengajar tentang norma-norma hidup seorang manusia yang baik.
“Sejak saya kenal dengan dia, dia banyak mengubah dan mengajar saya untuk ke arah yang lebih baik. Malah, saya juga banyak mengubah tabiat buruk saya yang tidak elok sebelum ini.
“Jika ada masa terluang, saya lebih senang duduk di rumah dan berlatih menyanyi dan sebagainya,” katanya.
Namun, apabila menyentuh tentang perancangan masa depannya, sama ada Aliff mahu berhijrah ke Malaysia sama seperti Aaron Aziz, jejaka berusia 21 tahun ini lebih selesa untuk tidak memberi komen tentang perkara itu.
“Bagi saya, ia masih terlalu awal untuk saya perkatakan tentang perkara ini. Selain itu, saya rasa isu ini sangat sensitif untuk saya perkatakan,” katanya.
Selain bakal melancarkan album ketiganya minggu depan, Aliff juga turut sibuk dengan bidang lakonan di negara ini dan kini sedang menjalani penggambaran Cinta Vilog.
Elak kontroversi
Menyentuh mengenai kontroversi yang sering mengiringi kariernya sebelum ini, Aliff mengakui kesilapannya sebelum ini dan seboleh-bolehnya enggan melalui apa-apa lagi kontroversi selepas ini.
“Saya tidak salahkan mana-mana pihak bila mereka memperkatakan tentang perkara negatif yang pernah berlaku kepada saya.
“Tapi ingin saya tegaskan, hal-hal kontroversi itu tidak pernah saya fikirkan akan menjadi perkara yang besar.
“Cuma selepas ini, saya akan pastikan tidak lagi terlibat dengan hal yang boleh memburukkan nama saya,” katanya.
Saturday, May 5, 2012
Serah pada takdir Anne, Aliff serasi bersama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: