SEMPENA sambutan Hari Ibu pada 13 Mei lalu, Resorts World Genting dengan kerjasama akhbar Kosmo! telah menganjurkan peraduan Warkah Buat Ibu bagi meraikan golongan berkenaan.
Melalui peraduan yang berlangsung dari 6 hingga 30 April lalu, para peserta dikehendaki menulis sepucuk surat tidak melebihi 200 patah perkataan berdasarkan mana-mana enam tema yang disediakan penganjur.
Sebanyak 703 coretan warkah telah diterima dalam e-mel pihak penganjur dan setelah dinilai kesemuanya, sembilan pemenang telah terpilih untuk menikmati pakej melancong tiga hari dua malam serta sesi spa di Awana Porto Malai, Langkawi bermula 18 hingga 20 Mei lalu.
Semua sembilan pemenang tersebut bersama ibu masing-masing telah mengikuti percutian itu yang turut diselitkan aktiviti-aktiviti menarik bagi merapatkan hubungan antara ibu dan anak.
Aktiviti pertama yang mereka sertai pada petang 18 Mei itu ialah belayar dengan bot Katamaran untuk menyaksikan keindahan detik matahari terbenam sambil menikmati jamuan ringan yang disediakan pihak penganjur.
Pada sebelah malam pula, para pemenang diminta membacakan warkah kemenangan mereka kepada ibu masing-masing sambil menikmati makan malam di pekarangan resort berkenaan.
Suasana sayu mengiringi para pemenang tatkala mereka membacakan warkah kemenangan tersebut dalam aktiviti yang berlangsung kira-kira sejam.
Aktiviti diteruskan keesokan harinya seawal pukul 10 pagi dengan para pemenang dibawa menikmati keindahan Tasik Dayang Bunting sebelum belayar di sekitar Pulau Singa Besar untuk menyaksikan gelagat helang-helang Langkawi.
Mereka juga dibawa ke Pulau Beras Basah bagi melakukan aktiviti bebas selama sejam di pulau berkenaan. Ada yang mengambil peluang itu untuk bersantai di ruang redup dekat hamparan pantai yang berpasir putih dan halus.
Ada juga yang memanfaatkan peluang itu untuk menyempurnakan tugasan fotografi yang diberi bagi melayakkan mereka memenangi hadiah.
Melalui pertandingan itu, setiap pasangan ibu dan anak dibekalkan sebuah kamera Fujifilm Instax Mini '7s' dan mereka perlu mengambil 10 keping gambar di sekitar kawasan yang telah dibawa beserta aksi-aksi tertentu.
Antara contoh gambar yang perlu diambil adalah aksi peserta memakai jaket keselamatan, helang-helang Langkawi serta papan tanda di sekitar Pulau Beras Basah.
Mereka kemudian bebas untuk melakukan aktiviti bersama ibu masing-masing pada sebelah petang, termasuk merehatkan diri di spa, sebelum menghadiri majlis penyampaian hadiah pertandingan fotografi dan penerima Like terbanyak di akaun Facebook Awana Hotels & Resorts dan Kosmo! Online.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang turut menginap di Hotel Awana Porto Malai telah meluangkan masa meraikan pemenang peraduan tersebut di majlis berkenaan.
Aktiviti bebas diteruskan pada hari terakhir Ahad lalu sebelum semua pemenang berangkat pulang kira-kira pukul 3.20 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: