Friday, May 25, 2012

Tidak sukar mengisi perut di Hong Kong



BAGI mereka yang kali pertama mahu menjejakkan kaki ke luar negara, ia pasti menjadi suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Banyak yang perlu diuruskan sebelum memulakan perjalanan ke sesebuah destinasi.

Daripada memikirkan tentang kos, perkara lain yang perlu dibuat adalah hal-hal seperti mengemas bagasi, pelan pengangkutan, penginapan hinggalah kepada mengenal pasti tempat makan bersesuaian.

Sewaktu Kosmo! mengikuti lawatan media ke Hong Kong anjuran syarikat Alfio Raldo pada 15 Mei lalu, timbul sedikit perasaan bimbang dalam kalangan peserta lawatan terutamanya mengenai isu mendapatkan makanan halal sepanjang berada di situ.

Bagaimanapun, selama tiga hari empat malam menikmati makan tengah hari dan malam di bandar Kowloon, Kosmo! sempat menemui beberapa pengusaha makanan Muslim di situ.

Pada mulanya, agar sukar untuk bertemu dan berurusan dengan pemilik restoran makanan di situ memandangkan kunjungan ke restoran mereka tidak disertai temu janji terlebih dahulu.

Bagaimanapun, pemilik Islam Food Restaurant, Tong Wai Man, 46, yang cukup terkenal di bandar Kowloon sudi berkongsi cerita tentang operasi bisnesnya.

Wai Man ramah menceritakan mengenai salasilah kewujudan restoran milik arwah bapa mertuanya, Ma Yan Fui itu. Premis niaga di Lung Kong Road itu, menurutnya, sudah menapak di bandar berkenaan sejak tahun 1950.

Ia menyediakan kira-kira 200 jenis makanan Cina halal antaranya seperti dim sum, pau, bebola daging, sup masam, veal goulash (ban berinti daging), kari ayam dan sayur-sayuran.

Turut mendapat permintaan popular ialah menu seperti ikan goreng yang dihidang bersama daun saderi, daging kicap dan mi goreng.

Harga berpatutan

Menyentuh mengenai menu di situ, Wai Man memberitahu, setiap tahun dia akan mengubah seleksi menu di restorannya supaya para pelanggan tidak berasa bosan.

Makanan yang dijual di Islam Food Restaurant itu boleh dinikmati pada harga serendah HKD5 hingga HKD70 (RM2 hingga RM28) sehidang.


KEBANYAKAN warga Pakistan membuka perniagaan menjual daging.


Memandangkan harganya yang berpatutan, baik bagi bajet pelancong luar mahupun orang tempatan, bisnes Wai Man mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk daripada pelanggan bukan Islam.

Rata-rata daripada mereka berkunjung ke restoran semata-mata mahu menikmati fried beef dumpling (ladu daging goreng) atau fried beef cake (potongan daging goreng).

Jika dilihat pada setiap meja pelanggan, pasti kedua-dua jenis hidangan itu disajikan.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 45, berkata, dia kerap mengunjungi restoran tersebut untuk menikmati fried beef cake yang menjadi kegemarannya.

“Makanan tersebut sememangnya tiada tolok bandingan dengan restoran lain. Saya sudah berkunjung banyak kedai makanan yang menjual makanan ini, tetapi rasanya tidak seenak seperti di sini,” ujarnya.

Restoran berkenaan mempamerkan logo bintang dan bulan serta tulisan jawi yang menunjukkan status halalnya. Diperoleh daripada pertubuhan Islam Hong Kong, logo itu ternyata menjadi pemangkin kedatangan pelanggan yang tidak putus-putus daripada pelanggan tanpa mengira latar etnik, budaya dan agama.

Tinjauan yang sama juga mendapati terdapat logo yang menunjukkan bahawa restoran itu tidak menyediakan minuman beralkohol kepada pelanggannya.

“Kami tidak menyediakan apa-apa jenis minuman yang mengandungi alkohol dan 100 peratus makanan di sini adalah halal,” tegas Wai Man, namun tidak menafikan terdapat segelintir restoran halal yang masih menawarkan pilihan minuman berkenaan untuk pelanggan bukan Islam.

Prosedur

Ketika ditanya mengenai prosedur mendapatkan status pengesahan status makanan halal, Wai Man mengakui prosedur untuk mendapatkan sijil halal daripada pihak Pemegang Amanah iaitu sebuah pertubuhan Islam di Hong Kong tidaklah terlalu sukar.

Syarat utama untuk membuka perniagaan makanan halal di Hong Kong, pemiliknya mestilah beragama Islam.

Namun demikian, untuk mendapatkan bekalan daging halal pula, ia tidak semudah yang disangkakan.

Di seluruh Wilayah Pentadbiran Khas China itu, hanya terdapat sebuah gerai penjual daging halal yang sah di pasar basah yang berlokasi di Haiphong Road.

Dia yang kini menguruskan operasi sebuah cawangan restoran lagi di Tak Ku Ling Road (juga di Kowloon) menjelaskan, dia menghadapi kerumitan kerana bergantung kepada gerai tersebut sahaja.


WAKIL-WAKIL media cetak tidak melepaskan peluang bergambar di hadapan Islam Food Restaurant yang terletak di Jalan Lung Kong, Bandar Kowloon.


“Sejak membuka perniagaan ini, kesemua daging dibeli dari kedai berkenaan, manakala bekalan ayam pula di sekitar Kowloon.

“Dengan bergantung kepada satu tempat sahaja, ia nyata membebankan para peniaga. Sebagai alternatif, ramai pengusaha makanan mengimport daging segar halal mereka dari China dan Brazil,” katanya.

Sementara itu, lain pula bagi pemilik Ma’s Restaurant, Ricky Lau.

Dia yang kurang fasih berbahasa Inggeris mengakui, restoran di Cheung Sha Wan Road itu menyediakan minuman alkohol kepada para pelanggan walaupun memiliki sijil halal daripada pertubuhan Islam.

Kosmo! difahamkan penyediaan minuman tersebut memandangkan terdapat pelanggan bukan Islam yang mengunjungi restoran berkenaan.

Ricky yang memiliki lebih 10 pekerja di restoran itu berkata, dia menyediakan makanan dengan menggunakan daging dan ayam yang halal sahaja.

Dia yang beragama Islam memberitahu, cara masakan tidak mempunyai sebarang perbezaaan dengan restoran bukan Islam.

“Semuanya sama, cuma ia halal dan para pelanggan kami dari pelbagai latar agama dan bangsa menyukainya,” jelasnya sambil mengakui bahawa kadar sewa sebuah premis niaga di Hong Kong sememangnya mahal.

Jangan bimbang

Pelancong beragama Islam yang berkunjung ke Hong Kong tidak perlu gusar untuk mendapatkan makanan halal.

Menurut seorang jurupandu, Lau Kwok Foo, 52, perkara tersebut bukanlah satu perkara yang susah kerana makanan halal boleh didapati di sekitar Ashley Road, Wan Chai Road dan Nathan Road.

Apa yang menarik, di kawasan itu bukan sahaja terdapat makanan Cina, malah terdapat makanan India dan Pakistan.

“Jadi, jika anda mengunjungi bandar ini (Hong Kong), pergilah ke jalan-jalan tersebut untuk mendapatkan makanan halal,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: