Friday, May 4, 2012

Ruang kenderaan hibrid terbuka luas

LANCAR...Mustapa (dari dua kiri)  bersama Dr Ang (kanan) pada pelancaran EV Nissan Leaf, semalam.
LANCAR...Mustapa (dari dua kiri) bersama Dr Ang (kanan) pada pelancaran EV Nissan Leaf, semalam.

KERAJAAN yakin segmen kenderaan hibrid dan elektrik yang ketika ini menguasai kira-kira satu peratus daripada jumlah pasaran kenderaan di negara ini akan menyumbang kira-kira 10 peratus kepada jumlah pengeluaran industri (TIV) automotif pada 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, segmen berkenaan berkembang setiap tahun walaupun secara relatifnya masih perlahan jika dibandingkan dengan negara membangun lain di dunia.


Beliau berkata, ketika ini, kira-kira 8,000 buah kereta hibrid dan 21 kereta elektrik berada di jalan raya di negara ini dan yakin terdapat ruang besar untuk pertumbuhan serta peningkatan bagi bahagian pasaran Malaysia dalam segmen berkenaan.

“Di peringkat global, terdapat kira-kira 80,000 kenderaan elektrik dan tiga bilion kenderaan hibrid namun Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam pembangunan yang menggalakkan kenderaan elektrik dan hibrid di seluruh dunia,” katanya selepas melancarkan program perintis ‘Journey to Zero Emission’ kereta elektrik (EV) Nissan Leaf di Petaling Jaya, semalam.


Sebelum ini, Proton Holdings Bhd (Proton) turut menawarkan sembilan buah kereta elektrik (EV) kepada agensi kerajaan untuk ujian manakala Mitsubishi mempunyai dua unit dan 10 unit lagi daripada program perintis Nissan Leaf.


Katanya, kerajaan juga memberi penekanan yang lebih kepada inisiatif kenderaan elektrik dan kenderaan hibrid dalam Dasar Automotif Negara (DAN) yang disemak semula dan akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

“Ketika ini, Malaysia menawarkan pengecualian duti import sepenuhnya sehingga Disember 2013 kepada pembeli kereta hibrid dan elektrik,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ECTM), Datuk Dr Ang Bon Beng berkata, pihaknya tidak menjual model Leaf atau mana-mana model kenderaan EV ketika ini kerana tumpuan utama ialah mewujudkan kesedaran ciri kelebihannya dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: