BERANI.. baju bercorak harimau bintang tampil menarik digayakan bersama seluar palazo.
WARNA memainkan peranan penting bagi memberi kelainan pada penampilan seseorang. Pemilihan warna yang terang dan yakin dalam bergaya akan memberi tafsiran berbeza kepada si pemakai.
Tidak kira anda bertubuh langsing mahupun besar, pemakaian fesyen dengan warna terang dapat menarik perhatian mata memandang.
Bagi pemilik butik pakaian secara dalam talian, The Lalapop, Khazylah Fhadylah Hussin, 25, pemilihan warna haruslah mengikut bentuk badan agar tidak nampak pelik pada pandangan orang lain.
“Sebenarnya, sesiapa saja boleh memilih untuk menggunakan atau menggabungkan warna terang asalkan mereka berani dan yakin.
“Pilihan warna terang seperti biru, merah serta kuning melambangkan pemakai yang ceria dan tampak manis digayakan mereka yang bertubuh langsing atau tinggi.
“Ini kerana mereka yang memiliki saiz sebegini nampak menarik dan cantik dengan pelbagai gaya manakala bagi mereka yang bertubuh besar pula, seeloknya pilih warna gelap atau hitam pada salah satu pakaian yang dipakai.
“Misalnya, jika memilih warna terang pada baju, maka rona hitam untuk skirt atau seluar boleh digayakan bagi menutup tubuh yang besar,” katanya mengenai cara mengadun warna agar sentiasa tampil anggun.
Tidak hanya berkongsi memilih warna terang bersesuaian untuk penampilan menarik, Khazylah juga memberi panduan kepada mereka yang baru ingin membuka butik secara dalam talian.
Penggunaan teknologi yang berkembang pesat hari ini memudahkan sesiapa saja menjalankan perniagaan melalui Internet seperti laman sosial facebook atau blog.
“Jika ingin memulakan perniagaan secara dalam talian khususnya berkaitan fesyen, kita harus mencari pengikut sendiri seramai mungkin sebelum bertindak.
“Caranya mudah saja, setiap kali mengenakan gaya baru, saya akan muat turun gambar ke dalam facebook bagi meminta pandangan rakan.
“Melalui cara berkenaan, saya dapat mengumpul ramai pengikut yang gemarkan fesyen digayakan dan ada yang bertanya di mana untuk mencari pakaian yang ditampilkan.
“Terdetik di hati untuk mencuba membuka tempahan kepada mereka yang berminat dan tindak balas daripada rakan juga begitu menggalakkan,” katanya.
Baginya, mengusahakan perniagaan juga harus disertai semangat yang kuat dan berusaha bagi mengekalkan permintaan.
“Selain itu, minat dalam bidang yang diceburi akan membuatkan kita berusaha untuk berjaya dalam kerjaya yang dipilih,” jelasnya yang membuka perniagaan pada Mac 2011.
Tambahnya, butik The Lalapop turut menampilkan koleksi gaun maksi, blazer serta baju dan Khazylah akan menambah himpunan aksesori serta kasut bagi menambah pilihan kepada penggemar butik ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: