KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak menegaskan perubahan drastik pada fizikalnya sejak kebelakangan ini bukan berpunca daripada masalah hubungan cinta dengan aktres Tiz Zaqyah.
Menurut pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, 30, tubuh badannya yang sasa sebelum ini menjadi semakin susut kerana komitmen sebagai watak komando dalam filem terbaru Bravo 5.
“Hubungan saya dan Tiz berjalan lancar dan tiada sebarang masalah. Kalau ada hal pun, perkara remeh-temeh yang biasa dihadapi oleh pasangan bercinta.
“Badan saya semakin susut demi menjayakan watak komando dalam filem Bravo 5,” jelasnya ketika ditemui mStar Online selepas pelancaran treler filem 29 Februari di GSC Pavilion Bukit Bintang, di sini, Khamis.
Remy berkata, perubahan fizikal itu adalah bagi membolehkan dia melakonkan watak Leftenan Azri dalam Bravo 5 itu dengan selesa dan lancar.
Katanya, sepanjang seminggu menjalani latihan di Kem Sungai Udang, Melaka, sebelum ini dia melihat majoriti anggota tentera memiliki susuk tubuh yang kecil tetapi lincah.
“Bravo 5 adalah filem epik peperangan mengenai perjuangan askar Melayu dalam menentang kemaraan Komunis. Secara tidak langsung, saya perlu cergas dan lebih berstamina seperti tentera sebenar.
“Ia menuntut komitmen yang tinggi termasuk kekuatan mental dan fizikal seperti meredah hutan, mengangkat senjata dan aksi lasak.
"Sebab itu saya mengambil inisiatif sendiri untuk mengecilkan tubuh badan agar lebih ringan dan lincah ketika penggambaran,” terangnya yang sedang menjalani penggambaran filem arahan Yeop Hitler itu.
Beralih kepada pembabitannya dalam 29 Februari arahan Edry Abdul Halim itu, Remy berkata watak sebagai Budi sangat mencabar kerana menuntut permainan emosi dalaman dan luaran.
“Watak Budi ini mengalami perubahan usia mengikut peralihan pelbagai era dan detik-detik bersejarah.
"Saya perlu memaparkan permainan emosi dalaman yang berbeza-beza pada setiap perubahan usia Budi. Ia sangat mencabar tetapi saya suka pada penceritaan dan konsep filem ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: