Thursday, May 3, 2012

Permainan plot Dragon Age 2


DRAGON AGE 2 merupakan permainan video yang sangat menarik dan mencabar.


PEMINAT setia Bioware pasti akan tertunggu-tunggu pelancaran permainan video terbaharu mereka iaitu Dragon Age 2.

Dengan kejayaan siri sebelumnya, Dragon Age 1 dan Mass Effect, Bioware kini kembali membawa francais terbaharu mereka dan menjanjikan plot cerita lebih mendalam berbanding sebelumnya.

Mekanisme permainan yang dinamik dan persembahan lebih bagus telah berjaya menarik lebih ramai peminat. Dragon Age 2 yang dilancarkan pada 8 Mac tahun lalu boleh didapati pada platform Microsoft Windows, MAC OS X, PlayStation 3 dan XBOX360.

Pengembaraan pemain bermula apabila watak utama, Garret Hawke dan keluarganya terpaksa melarikan diri daripada ancaman askar-askar Darkspawn.

Bagaimanapun, usaha mereka menemui jalan buntu dan terpaksa berjuang berdepan askar-askar tersebut.

Dalam ketegangan berdepan dengan musuh, pemain akan dipaparkan dengan cut scene menunjukkan ketibaan ahli sihir bernama Flemeth, yang membantu pemain sekali gus menggondol kejayaan.

Kejayaan tersebut hanya sementara kerana Darkspawn berdekatan akan pasti tiba pada tempat tersebut. Dengan bantuan Flemeth, pemain berjaya melarikan diri ke bandar berdekatan iaitu Kirkwall.

Serangan Darkspawn ke seluruh Ferelden telah menyebabkan pelbagai malapetaka dan ramai orang terkorban.

Dengan pergolakan pelari-pelari yang cuba memasuki bandar Kirkwall, pemain tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada menggunakan taktik kotor.

Bagaimanapun, pemain akan bertemu dengan lebih banyak masalah dan menyedari kebangkitan Darkspawn tidak terbanding dengan masalah yang bakal menimpa Kirkwall.

Dragon Age 2 menawarkan mekanisme permainan yang dinamik dan mutu permainan mudah difahami pemain-pemain.

Pemain diberikan kemampuan untuk mengubah pandangan daripada pandangan orang ketiga kepada overhead view apabila setiap pandangan memberi kelebihan dan kekurangan tersendiri kepada pemain.

Pertempuran dengan pihak musuh sangat mudah dan beberapa pertempuran pula adalah sedikit sukar dimainkan pemain.

Bagi memudahkan pemain, Dragon Age 2 membolehkan pemain untuk menghentikan masa bagi menganalisis medan pertempuran dalam mengatur strategi memusnahkan musuh-musuh.

Buat masa ini, pemain boleh menetapkan pergerakan untuk setiap karakter selain boleh memilih untuk menyerang musuh berlainan ataupun menumpukan serangan pada satu musuh.

Talent Tree


PEMAIN boleh menghentikan masa jika mahu menganalisis permainan semasa pertempuran.


Sepanjang permainan, pemain akan diberi beberapa pilihan kemahiran yang boleh dipilih untuk tujuan penggunaan.

Sesetengah kemahiran boleh didapati pada setiap watak, sebahagian pula hanya boleh diperoleh pada watak tertentu sahaja.

Terdapat kemahiran yang aktif dan pasif. Kemahiran yang pasif akan membekalkan stamina karakter tersebut untuk digunakan.

Dalam permainan Dragon Age 2, pemain akan berjumpa dengan pelbagai karakter yang akan turut serta dalam pengembaraan pemain.

Interaksi pemain

Dragon Age 2 menawarkan perbualan dan interaksi yang sangat mendalam serta membuat pemain berasa seolah-olah berinteraksi secara terus dalam permainan.

Setiap perbualan akan mempunyai pilihan jawapan yang berbeza dan setiap jawapan dipilih pemain akan menentukan kebanyakan kejadian dalam permainan.

Justeru itu, amat penting bagi pemain untuk memilih jawapan tepat apabila bermain permainan terbaharu itu. Jawapan yang tepat akan memberi affection point kepada pemain oleh karakter lain.

Dragon Age 2 merupakan permainan video yang sangat menarik. Dengan cabaran yang sangat sukar, ganjaran diterima pemain adalah sangat besar dan memuaskan.

Pembikinan grafik yang terperinci menjanjikan pengalaman tiada tolok bandingan apabila bermain permainan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: