Thursday, May 3, 2012

Jumaat khusus untuk wanita

GOLONGAN wanita tempatan yang mahukan privasi boleh berkunjung ke Global Fitness Centre setiap hari Jumaat.


MENURUNKAN berat badan dan mempunyai bentuk tubuh badan yang menarik merupakan idaman setiap wanita. Meskipun demikian, ramai pula wanita yang mencuba pelbagai produk pelangsing tanpa mendapat khidmat nasihat pakar dan akhirnya menanggung kesan sampingan.

Sebenarnya, rata-rata wanita tahu cara terbaik untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal iaitu melalui diet yang seimbang dan bersenam. Namun, akibat perasaan malu lebih-lebih lagi bagi wanita yang bertubuh besar, mereka enggan ke pusat-pusat kecergasan.

Perasaan malu itu juga berpunca daripada kesedaran mengenai batas aurat antara lelaki dan wanita.

Menyedari perkara tersebut, Global Fitness Centre yang terletak di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan, menyediakan satu hari khas untuk golongan wanita meningkatkan kecergasan tanpa bercampur dengan pengunjung lelaki.

Pengurusnya, Mohammad Ridzwan Hafizu, 26, memberitahu, ramai wanita di negeri itu tidak mahu bercampur dengan lelaki ketika bersenam.

“Oleh itu, kami mengambil inisiatif mengadakan satu sesi khas untuk pengunjung wanita. Kami akan membuka gim khas buat wanita setiap hari Jumaat dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.

“Pada hari yang sama juga, bermula pukul 9 malam hingga 11 malam, kami akan mengadakan kelas senaman aerobik khas untuk wanita yang akan dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Ridzwan, bagi operasi pada hari biasa, pelanggan wanita masih boleh mengunjungi Global Fitness Centre yang beroperasi tujuh hari seminggu dari pukul 5 petang hingga 12 malam.

Bagi kelas aerobik, yuran yang dikenakan cuma RM20 sebulan di samping yuran keahlian seumur hidup berharga RM10.

Mereka yang ingin menjadi ahli Global Fitness Centre, yuran keahlian seumur hidup ialah RM100 dan yuran bulanan pula cuma RM85.

“Buat masa ini, kami ada membuat promosi untuk wanita iaitu potongan 50 peratus untuk yuran keahlian sehingga penghujung bulan Mei 2012.

“Kami juga menerima pelanggan walk-in pada kadar bayaran RM5 sekali masuk,” katanya.

Kini, wanita di Kelantan sudah mempunyai pilihan untuk bersenam tanpa perasaan malu dengan bimbingan jurulatih berpengalaman.


JURULATIH kecergasan peribadi turut disediakan buat pengunjung Global Fitness Centre, Kota Bharu.


Rasa selesa

Dalam pada itu, Diana Mayadi, 26, yang merupakan salah seorang pengunjung memilih untuk bersenam di Global Fitness Centre kerana berasa selesa dengan persekitarannya.

“Apabila mereka mengadakan hari untuk wanita iaitu pada hari Jumaat, saya boleh bersenam dengan selesa tanpa kehadiran lelaki,” ujarnya sambil menambah bahawa dia kini tiada alasan malu lagi untuk berkunjung ke gim

Bagi seorang lagi pengunjung, Najwah Yusoff, 33, malu untuk bercampur dengan pengunjung lelaki bukanlah satu isu baginya cuma apabila diadakan sesi khas wanita, ia memberi ruang yang wanita untuk lebih serius bersenam.

“Cara dan tujuan lelaki dan wanita bersenam berbeza. Apabila hanya wanita bersenam di sini, kami dapat fokus dengan tujuan sebenar, sama ada untuk menguruskan badan atau meningkatkan kecerdasan diri.

“Selain itu, ia juga membuka peluang kepada wanita untuk bergaul sesama sendiri dan membesarkan jaringan perhubungan masing-masing,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai Global Fitness Centre, Ridzwan boleh dihubungi di talian 013-967 7656 tau Faiz 014-299 1126 untuk kelas aerobik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: