Thursday, May 24, 2012

Pendatang ugut terjun bumbung

PUJUK...lelaki terbabit ditenangkan isterinya.
PUJUK...lelaki terbabit ditenangkan isterinya.

KLANG: Seorang lelaki warga Indonesia mengugut untuk terjun dari bumbung rumah jirannya bagi mengelak ditahan ketika pemeriksaan Jabatan Imigresen Selangor di Sungai Udang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, pihak imigresen terpaksa menghubungi pasukan bomba dan penyelamat bagi memasang tilam angin untuk mengelak lelaki berusia 42 tahun itu cedera selepas cubaan memujuknya, gagal. Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, lelaki terbabit lembut hati selepas berjaya dipujuk isterinya, dua jam kemudian. Katanya, sebelum kejadian pihak imigresen membuat pemeriksaan ke atas rumah lelaki terbabit dan sejurus menyedari pihak berkuasa itu membuat pemeriksaan di rumahnya, dia bangun dan melompat ke atas atap rumah jirannya mengelak dirinya daripada dicekup.


Othman berkata, sebaik saja pihak imigresen naik ke atas bumbung lelaki itu mengugut pegawai imigresen supaya tidak mendekatinya.

“Sebaik mendengar ugutan itu, pihak imigresen cuba menenangkannya dan memintanya supaya menyerahkan diri, tetapi lelaki itu enggan bekerjasama.


“Selepas hampir dua jam, pihak imigresen berjaya memujuk lelaki terbabit dengan bantuan isterinya sebelum dia menyerah diri,” katanya.


Dalam operasi itu, Othman berkata, seramai 22 orang warga asing yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki, 10 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan kerana pelbagai kesalahan imigresen.

Semua yang ditahan berusia satu hingga 52 tahun dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, untuk siasatan lanjut. Jika sabit kesalahan, semua mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: