|
SEBELUM ini, peminat muzik di Semenanjung Malaysia tidak kenal dengan nama Jimmy Palikat. Namun, selepas single versi dialek Dusun yang berjudul Tanak Kampung (kini dijadikan versi bahasa Melayu dengan tajuk, Anak Kampung) mula dimuat turun di laman sosial YouTube selepas dia berduet dengan penyanyi Aizat Amdan pada konsert Aizat Amdan Borneo Tour yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada tahun lalu, populariti Jimmy mula meledak .
Percaya atau tidak, di YouTube, lagu tersebut berjaya meraih tontonan lebih sejuta peminat dalam tempoh hanya sebulan!
Menyedari fenomena lagu tersebut di Sabah dan Sarawak, juga di Brunei dan kini di Semenanjung Malaysia, kumpulan hip hop One Nation Emcee (ONE) yang terkenal menerusi lagu Raja Gelek telah mengundang Jimmy untuk berkolaborasi dengan mereka.
Tuah Jimmy dan One Nation Emcee apabila lagu Anak Kampung kini menjadi fenomena dan mula diputar di stesen-stesen radio.
Menurut vokalis One Nation Emcee, Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 26, biarpun lagu tersebut kini berjaya memikat hati peminat di Semenanjung Malaysia tetapi ia mendapat tindak balas yang negatif daripada peminat lagu tersebut di Sabah dan Sarawak.
“Mereka tak suka apabila kami (One Nation Emcee) cuba mengubah susunan muzik lagu Anak Kampung menjadi rentak reggae hip hop. Sebelum susunan lagu tersebut diubah, One Nation Emcee, Jimmy dan syarikat Nova Music sudah duduk berbincang.
“Kami bukan sesuka hati mengubah lagu tersebut tetapi mengikut selera peminat di Semenanjung Malaysia,” ujarnya ketika ditemui selepas sesi fotografi yang berlangsung di studio Utusan Malaysia, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Luah Mimi lagi, mereka turut dikecam peminat-peminat Jimmy apabila sengaja mengambil kesempatan dan menumpang populariti lagu bapa saudara kepada penyanyi Nikki Palikat itu.
“Saya dengar lagu ini dah lama. Ketika itu, saya pergi ke sebuah kelab di Sabah pada tahun 2010. Saya terus suka dengan lagu tersebut.
PERANCANGAN rapi dibuat terlebih dahulu sebelum keputusan diambil untuk menggabungkan One Nation Emcee dan Jimmy Palikat menerusi lagu Anak Kampung. |
“Kalau ikutkan saya bercadang mahu bikin lagu balas untuk Anak Kampung tetapi versi wanita pula tetapi One Nation Emcee dan Jimmy sudah tentu tak boleh bekerjasama.
“Jadi, selepas berbincang dan mengambil kira manfaat yang akan diperoleh kedua-dua belah pihak, akhirnya One Nation Emcee dan Jimmy nekad berkolaborasi menyanyikan Anak Kampung. Bagaimanapun, saya ubah sedikit liriknya agar sesuai untuk saya menyanyikannya,” jelas Mimi mewakili One Nation Emcee yang cukup sinonim dengan lagu lama yang disuntik nafas baharu.
Balas Jimmy pula, memang sudah lama dia berniat untuk membawa masuk Anak Kampung ke Semenanjung Malaysia tetapi dia ingin fokus dulu di Sabah dan Sarawak. Akhirnya, selepas dua tahun lagu itu dihasilkan, ia akhirnya dibawa ke Malaysia.
Ditebak soalan kenapa memilih Nova Music untuk memasarkan lagu tersebut ungkap Jimmy, itu adalah kerana Nova Music terlebih dahulu membuat tawaran berbanding syarikat rakaman lain.
“Memang banyak syarikat rakaman yang buat tawaran kepada saya selepas Anak Kampung popular di Sabah dan Sarawak tetapi Nova Music yang tawar dulu. Disebabkan itu saya memilih syarikat itu. Mereka juga yang mencadangkan kumpulan One Nation Emcee untuk berkolaborasi bersama saya untuk lagu tersebut.
“Saya setuju sebab memang saya suka dengan kumpulan ini sejak mereka menyertai Gangstarz lagi. Mereka ada kelebihan dan ahli-ahli One Nation Emcee juga kebanyakannya dari Sabah. Mudah untuk saya berkomunikasi,” ujarnya yang tidak kisah lagunya itu diubah mengikut rentak reggae hip hop.
Berani suntik kelainan
Dikenali dengan tarian yang rancak dan bertenaga, One Nation Emcee yang turut dianggotai dua lagi anak muda iaitu Mohd. Norzaidi Edris atau Zydee dan Nur Hasan Baias atau Jojofly mengakui tidak dapat menarik peminat yang ramai untuk menyukai muzik mereka kerana keberanian mereka dalam melakukan eksperimental pada lagu-lagu lama.
“Kami tak fikir pasal glamor. Asalkan minat yang amat mendalam dalam muzik dapat direalisasikan. Kami juga merupakan kumpulan yang berani untuk menyuntik kelainan pada muzik lama. Bukan tujuan untuk merosakkan lagu lama tetapi kami suka pada muzik yang berbeza.
PENGGERAK nadi One Nation Emcee terdiri daripada (dari kiri) Zydee, Mimi dan Jojofly. |
“Sekadar memberi nafas baharu pada lagu tersebut tetapi dalam masa yang sama tidak merosakkan lagu tersebut. Kami juga buat susunan lagu yang berbeza untuk disesuaikan mengikut tarian yang dibawa di atas pentas,” ujar Jojofly.
Diajukan persoalan sampai bila One Nation Emcee boleh bertahan dengan karya muzik sebegitu, jelas Mimi, dia percaya muzik yang dibawa mereka akan matang bersama mereka.
“Kami tak rasa mahu berhenti daripada membawa muzik sebegini dan beraksi di atas pentas. “Ini adalah minat kami. Mungkin sampai satu tahap bila dah tak boleh menari selincah hari ini, kami akan melatih anak-anak muda untuk menjadi seperti kami,” ujarnya yang sudah memikir jauh mengenai masa depan kumpulannya.
Tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, sambung Mimi lagi, One Nation Emcee akan muncul dengan album kedua mereka tetapi terpaksa menangguhkannya kerana terikat untuk mempromosikan Anak Kampung yang sudah diedarkan di stesen radio sejak 12 Mac lalu.
Menurutnya, dia tidak mahu mengambil mudah sebaliknya bersikap lebih teliti untuk menghasilkan album kedua mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: