|
MAHU menjamah makanan Arab, tetapi tidak tahu di mana lokasi yang terbaik? Apa kata anda singgah ke restoran Alkhidmah Salam yang terletak di Jalan Batu Caves, Kampung Simpang Tiga, Gombak, Selangor.
Ia bukan sahaja menyajikan sajian Arab yang lazat, bahkan sedang mempromosikan pelbagai jenis hidangan pada harga berpatutan sehingga 10 Mei ini.
Pada harga promosi RM11 ke atas, orang ramai boleh membawa keluarga, rakan-rakan mahupun pasangan masing-masing menikmati hidangan masakan Asia Barat itu.
Apa yang lebih menarik lagi, semua menu tersebut akan disediakan oleh Chef Hatim Salleh yang dibawa khas dari Palestin.
Restoran yang boleh memuatkan hampir 500 orang itu menyediakan menu-menu utama seperti nasi ayam mandy dan nasi Kabsah dengan pilihan sama ada ayam atau kambing.
Tidak ketinggalan roti Arab yang menjadi antara menu wajib dicuba di Alkhidmah Salam.
Kesemua rempah-ratus dan herba yang disediakan dalam masakan jelas Pengurus Alkhidmah Salam, Mohd. Sulaiman Mohamad Yahya adalah sama seperti yang digunakan di Asia Barat.
Ini memandangkan bahan-bahan berkenaan diimport khas dari sana.
Mohd. Sulaiman berkata, ini merupakan julung-julung kali pihaknya mengadakan promosi hidangan masakan itu.
Menurutnya, orang ramai berpeluang menikmati masakan tersebut pada harga yang berpatutan bermula daripada RM11.
Malahan, restoran berkenaan juga dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) secara percuma, berhawa dingin dan dewan seminar.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya turut menerima tempahan untuk majlis kenduri kahwin atau makan malam.
Belajar masakan Arab
Mohd. Sulaiman memberitahu, pihaknya turut membuka peluang kepada orang ramai yang mahu belajar memasak hidangan masakan Arab pada Mei ini.
Yuran penyertaan sebanyak RM600 sahaja dikenakan dan para peserta akan disertakan dengan bahan-bahan masakan.
Para peserta boleh memasak sendiri apabila pulang ke rumah nanti dengan bahan-bahan tersebut.
Kelas tersebut akan diadakan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang di restoran tersebut yang diajar oleh Chef Hatim.
Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk mengikuti kelas masakan berkenaan boleh menghubungi talian 012-296 0776.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: