Monday, May 7, 2012

Menghibur penduduk Bumi Kenyalang



SETELAH 16 tahun beroperasi, stesen radio swasta pertama di Sarawak, Cats FM, milik Kristal Harta Sdn. Bhd. tidak pernah gentar untuk bersaing dengan mana-mana stesen radio di negara ini.

Meskipun mendapat saingan hebat daripada pelbagai stesen radio komersial termasuk stesen-stesen yang berpangkalan di Kuala Lumpur, namun Cats FM masih menjadi radio yang dekat di hati rakyat di Bumi Kenyalang.

Bahkan, Cats FM merupakan sebuah stesen radio paling popular di Sarawak iaitu suatu kedudukan yang dicapai kerana petugas stesen radio itu mengutamakan kepuasan pendengar setia mereka.

Biarpun menyedari Cats FM menjadi pilihan ramai rakyat Sarawak ketika ini, namun itu bukan alasan untuk stesen radio itu berasa selesa. Sebaliknya, mereka merasakan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk terus maju.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Unit (Program) Cats FM, Harniza @ Hani Ahmad yang mahu terus memantapkan kedudukan stesen radio itu. Harniza atau lebih mesra dipanggil Hani mahu menampilkan variasi yang seiring dengan kehendak pendengar radio semasa.

Bukan itu sahaja, kata Hani, kewujudan radio Cats FM di Sarawak yang dikendalikan dalam dua bahasa iaitu bahasa ibunda Sarawak (bahasa Melayu) dan bahasa Iban adalah untuk membantu membangun dan meningkatkan imej industri hiburan tempatan di samping menyalurkan maklumat kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.

"Semua warga Cats FM melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pendengar yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap program-program kami yang telah bersiaran selama 16 tahun ini.

Hiburkan pendengar

"Apa yang kami lakukan sepanjang tempoh tersebut adalah untuk menghiburkan pendengar dan menepati cita rasa mereka menerusi program yang kami tampilkan," katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabat Cats FM di Jalan Bako di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Hani menambah, pihaknya juga berbangga kerana apa yang mereka tampilkan selama ini semuanya diterima dengan baik. Begitu juga dengan kritikan yang diberikan oleh peminat. Kritikan terhadap stesen radio itu bermakna para peminat prihatin kepada Cats FM.

Selain muzik dan program bual bicara yang ditampilkan, Hani percaya kejayaan yang dikecapi stesen itu adalah hasil kerjasama seluruh warga kerja Cats FM.

Lagu-lagu yang dimainkan pula terdiri daripada lagu dendangan artis popular Malaysia dan tempatan (penyanyi Sarawak) serta koleksi lagu-lagu Inggeris yang menjadi siulan ramai.

Selain segmen Kak Lehot, segmen Cats Xposed yang ke udara setiap hari Sabtu pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari turut mendapat perhatian pendengar. Melalui segmen itu, golongan remaja terutamanya yang mempunyai band sendiri dijemput menghantar lagu mereka untuk dimainkan di radio tersebut.

Menarik pendengar

"Radio Cats FM mempunyai kelebihan dalam menarik para pendengar tempatan kerana ia dikendalikan 100 peratus menggunakan bahasa ibunda Sarawak selain bahasa Iban.

"Dari segi putaran lagu-lagu, Cats FM menggabungkan lagu lama dan terkini bagi menarik pendengar daripada pelbagai peringkat usia," ujar Hani.

Hani memberitahu, Cats FM dibahagikan kepada empat segmen iaitu bahasa Melayu bermula dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari, bahasa Iban (dari pukul 12 tengah hari hingga 6 petang), bahasa Melayu (dari pukul 6 petang hingga 12 malam) manakala selepas 12 tengah malam adalah siaran rakaman.

Sebagai Ketua Unit (Program) Cats FM, Hani berperanan mengawal selia dan memantau program-program radio tersebut terutamanya pada waktu perdana iaitu dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan dari pukul 6 petang hingga 10 malam.

Antara program yang bersiaran dalam radio Cats FM ialah Antap Breakfast, Cats Music Express, Rentak Ruai, Pemerindang Lemai, Cats Ujung Minggu, Cats 69, Cats Rima, Cats Lounge, Cats Music Non-Stop, Cats R&R dan Tripzone.

Barisan penyampai radio Cats FM pula terdiri daripada Zaza, Wan Anisa, Fuzz, Wayne, Budd, Yasz, Cassie, Irin, Faez, Nezz dan Zue bagi siaran berbahasa Melayu. Untuk siaran bahasa Iban ia dikendalikan oleh Ann, Emma, Freddy, Ijau, Mathew Abu dan Ivy.

Hani sendiri juga tidak kurang hebatnya. Beliau mempunyai pengalaman sebagai seorang penyampai pada awal penubuhan Cats FM sebelum berhijrah menyertai Astro di stesen radio Sinar FM pada tahun 2004.

Program Kak Lehot


ENAM penyampai Cats FM bagi segmen bahasa Iban sentiasa komited dengan tugas masing-masing untuk menghiburkan para pendengar setia stesen radio tersebut.


Hani kemudian berhijrah ke Time Highway (2006) sebelum kembali semula ke Cats FM setahun setengah yang lalu.

Pengalaman bertugas dengan pelbagai stesen itu diaplikasikannya untuk meningkatkan kesegaran program di radio Cats FM. Antaranya, memperkenalkan Carta Cats Expose dan yang paling hangat ialah program Kak Lehot.

Hani tidak menafikan bahawa rating Cats FM turut meningkat ekoran populariti program Kak Lehot yang bersiaran pada awal pagi setiap hari dan menyentuh pelbagai isu masyarakat tempatan.

"Karakter dan gelagat Kak Lehot yang menggunakan bahasa ibunda Sarawak yang lebih tradisional menyebabkan ramai pendengar teruja malah isu-isu yang diperkatakan begitu dekat dengan masyarakat.

"Maka, tidak hairan program Kak Lehot mendapat sambutan paling hangat. Namun, ia bukan bermakna program-program lain kurang mendapat sambutan kerana masing-masing mempunyai kekuatan sendiri," kata Hani.

Cats FM dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Ogos 1996. Stesen radio itu beroperasi 24 jam sehari.

Para pendengar Cats FM pula kebanyakannya terdiri daripada remaja dan belia dalam lingkungan antara 14 hingga 45 tahun.

Apa yang menarik, radio Cats FM boleh didengar di hampir seluruh Sarawak, sebahagian Brunei, Sabah dan Kalimantan di Indonesia.

Siarannya turut dapat diakses melalui Internet oleh pendengar di seluruh dunia menerusi www.catsfm.my.

Pada masa ini, stesen radio itu diterajui oleh Mohd. Iskandar Mohd. Nawawi yang bertindak sebagai Pengurus Besar Cats FM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: