|
Dyesebel, MariMar, Ang Babaeng Hinugot sa Aking Tadyang dan kini Endless Love antara naskhah drama yang menggandingkan pasangan merpati dua sejoli, Dingdong Dantes dan Marian Rivera.
Cinta mereka tidak hanya terikat dalam naskhah yang dimainkan, sebaliknya juga diulit kemas sehingga dalam dunia realiti.
Pertemuan pertama dengan Rivera menurut kata Dantes adalah ketika sesi uji bakat drama MariMar pada tahun 2007 di sebuah syarikat penerbitan di Quezon City, Filipina.
"Saat pertama kali melihat dia, (Rivera) hati saya kuat menyatakan bahawa dia adalah MariMar yang sempurna! Akhirnya dia berjaya memegang watak itu," laju bicara Dantes atau nama sebenarnya Jose Sixto Raphael Gonzales Dantes III mengenai kekasihnya, Rivera atau Marian Gracia Rivera.
Dantes yang ditemui ketika sesi ramah mesra di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini mengakui bahawa dia juga kini sedang menantikan detik yang tepat untuk melamar Rivera.
"Saya sedang menantikan waktu yang sesuai untuk melamar Rivera memandangkan dia juga sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaharunya.
"Memang, sejak mengenalinya dari drama MariMar, saya sudah jatuh hati dengannya. Buat masa sekarang kami lebih selesa untuk kekal dalam perhubungan sebegini," ujar Dantes yang menyifatkan Rivera seorang wanita yang sentiasa membuatnya ceria.
Dalam pada itu, Dantes turut memaklumkan bahawa Rivera ada membelikan dia sebuah motosikal berkuasa tinggi, Ducati berwarna hitam.
"Hadiah itu antara barangan paling berharga yang diberikan kepada saya, tapi malangnya motosikal itu hanya mempunyai sebuah tempat duduk. Barangkali perlu ada penambahbaikan untuk memuatkan dia bersama supaya saya boleh membonceng dia juga," tambah Dantes.
Hati siapa yang mampu bertahan melihat buah hati tercinta bermadu kasih bersama insan lain, biarpun sekadar bermain filem. Hal ini juga diakui sendiri oleh Dantes yang kadangkala cemburu melihat Rivera beraksi intim dengan aktor lain.
"Tipu kalau saya cakap tidak terdetik perasaan cemburu melihat dia di samping pelakon lelaki lain, tapi kepercayaan adalah tonggak sesebuah perhubungan," getus Dantes lagi.
Sepanjang tiga hari berada di Kuala Lumpur bermula 27 April hingga 29 April lalu untuk mempromosikan drama terbaharunya, Endless Love, dia ternyata sentiasa berhubungan bersama si jelitawan itu walaupun hanya menerusi Twitter.
Antara kata-kata romantis yang ditulis aktor tersebut menerusi Twitter @iamdongdantes miliknya:"Marian, saya amat merindui kamu ketika ini dan kamu harus melihat wajah-wajah gembira hasil sentuhan lakonan kita di sini. Kamu pemberian terbaik untuk saya!"
|
|
Gay
Pemenang pelakon lelaki terbaik Festival Filem Metro Manila Ke-37 pada tahun lalu itu mempunyai tekad dan resipi sendiri untuk memacu kerjayanya dalam bidang lakonan.
Jika usia dalam industri belum cukup untuk mematangkannya bergelar seorang sutradara, masih ada baki lakonannya yang ingin digapai di samping faktor usia yang semakin bertambah.
"Saya belum pernah melakonkan watak gay dalam mana-mana filem atau drama sebelum ini, itu pastinya sesuatu yang ditunggu-tunggu," katanya mengenai matlamat kariernya sebagai pelakon.
Ibarat pepatah ikut resmi padi, makin menunduk makin menjadi, rukun yang sama dipandu oleh Dantes saat ditanya mengenai definisi populariti.
"Saya gemar bekerja dan sentiasa cuba memberikan nilai terhadap mutu lakonan saya, segala apa yang saya lakukan sama ada dalam kerjaya mahupun kehidupan adalah apa yang benar-benar saya inginkan," tutur Dantes merendah diri.
Malah, dia tidak sesekali meletakkan halangan untuk terus menuntut ilmu biar usia kini sudah menjengah angka 31 tahun.
Faktanya, tahun depan kata Dantes, dia akan menamatkan pengajian peringkat ijazahnya dalam bidang Pengurusan Tekno di Universiti West Negros, Bacolod, Filipina.
Katanya: "Seronok untuk bergelar pelajar lagi sekali, sememangnya pelajaran itu berkuasa!"
Romantik
Industri filem atau drama di Filipina secara puratanya menekankan elemen romantis sebagai sebuah eskapisme penduduknya dan hal itu diakui oleh Dantes.
Dia melihat industri seni di negaranya banyak menampilkan karya yang sarat elemen romantik dan cinta berbanding aksi atau seram.
"Mungkin kerana permintaan daripada penonton mendorong kebanyakan drama atau filem dibikin berformat romantik.
"Tapi kebanyakan karya diolah dengan gaya yang artistik atau berbeza jika disadur daripada negara-negara lain seperti Thailand dan Korea," jelas Dantes serius.
Berbicara mengenai drama terbaharunya, Endless Love, ujar Dantes, dia tidak perlu terlalu mencipta hubungan kimia bersama Rivera memandangkan cinta itu datang secara semulajadi.
"Kami sudah sedia mengenali satu sama lain, jadi sepanjang penggambaran selama empat bulan, tidak ada kesukaran untuk bermain dengan watak. Yang penting semua seronok!" cerita Dantes.
Endless Love sudah mula disiarkan pada 9 April 2012 setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 3 petang di slot Telenovela, TV3.
|
|
Drama bersiri 38 episod terbitan GMA Network, Filipina itu merupakan adaptasi daripada drama bersiri Korea, Autumn In My Heart yang mengisahkan hubungan akrab Johnny (Dantes) dan Jenny (Rivera) yang membesar sebagai abang dan adik namun bertukar cinta selepas identiti Jenny terbongkar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: