|
|
HARI ini, masyarakat di Sabah akan menerima kehadiran empat orang legenda muzik tanah air untuk mengisi dahaga hiburan kepada penduduk di negeri tersebut, khususnya di Kota Kinabalu.
Mereka iaitu Datuk Sheila Majid, Amy Search, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin akan menghiburkan peminat mereka dalam siri The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya di Kota Kinabalu bermula pukul 9 malam ini.
Menurut Pengarah Urusan Afro Inang Worldwide, Angelina Asmawi, The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya yang dianjurkan bersama Research Venture Lab itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
“Kalau melihat penjualan tiket untuk konsert di Kota Kinabalu, jualannya sangat memberangsangkan terutama menerusi tempahan. Walaupun konsert ini akan berlangsung di lima venue, tetapi kami lebih fokus kepada jualan tiket bagi konsert yang pertama.
“Boleh dikatakan peminat yang akan menonton konsert ini bukan dari Sabah sahaja, malah kami turut menerima tempahan dari Brunei. Apa yang kami tahu ada ejen di negara tersebut yang menjual tiket konsert beserta tiket kapal terbang menerusi pakej,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, tiket-tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan dijual dengan harga RM600, RM300, RM200 dan RM100. Ujarnya juga, tiket-tiket untuk semua venue konsert iaitu di Pulau Pinang (19 Mei), Johor Bahru (26 Mei), Kuching (23 Jun) dan Kuala Lumpur (30 Jun) sudah mula dijual dan promosi giat dijalankan di radio.
“Buat masa ini kami akan memberikan tumpuan terhadap konsert yang akan berlangsung di Kota Kinabalu terlebih dahulu. Saya yakin konsert ini mendapat sambutan hangat dan dinantikan ramai peminat kerana ia menampilkan empat orang penyanyi bertaraf legenda,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Amy Search yang berkesempatan hadir ke Kota Kinabalu dan Tawau, dua minggu lalu untuk mempromosikan konsert tersebut berharap konsert yang membariskan empat nama besar dalam industri hiburan itu akan mendapat sambutan baik.
Malah melalui respons yang diperoleh sewaktu beliau melakukan promosi, ramai peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan mereka beraksi memandangkan Amy, Sheila Majid, Zainal Abidin dan Jamal Abdillah tidak pernah bergabung dalam sebuah konsert sebelum ini.
“Kami mahu memberi hiburan yang terbaik buat peminat di Sabah,” ujar Amy yang memberitahu setiap penyanyi akan tampil untuk durasi 40 minit dalam setiap slot persembahan mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: