WALAUPUN hanya berkapasiti 1.6 liter, pemanduan penulis menggunakan Proton Preve dirasakan begitu ‘kencang’ seperti model 2.0 liter.
Maaf cakap meskipun melebihi had laju di lebuhraya, penulis mampu mencatatkan kelajuan sehingga 200 kilometer (km) dalam pandu uji model terbaru Proton itu ke Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Malah terdapat beberapa rakan media lain yang turut sama dalam Program Merasai Pengalaman Proton Preve anjuran Proton ‘memecut’ laju sehingga 230km.
Penulis merupakan antara 36 wakil media serta empat stesen televisyen yang menyertai program uji pandu bagi model berkenaan sehingga ke Club Med Cherating, Kuantan.
Perjalanan hampir 300 km yang bermula dari Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam sehingga ke Club Med Cherating begitu mengujakan.
Walaupun melalui tujuh perhentian bagi penukaran model varian transmisi manual kepada automatik dan giliran pemandu (setiap kereta diwakili dua media) namun pemanduan kekal bertenaga dalam sesi uji pandu model baru Proton ini.
Penulis berpendapat Proton Preve sewajarnya sesuai untuk dijadikan pilihan untuk generasi muda dan mereka yang menggemari pemanduan berprestasi tinggi.
Ia juga amat bersesuaian dengan pilihan seisi keluarga kerana modelnya mempunyai ciri-ciri mesra keluarga, yang begitu luas dan selesa.
Pendek kata, ia sesuai untuk mereka yang mementingkan keselesaan kerana ruang kabinnya turut memiliki banyak tempat meletak barang.
Proton Preve didatangkan dalam tiga varian iaitu model Executive menggunakan transmisi manual berharga RM59,990 seunit, model Executive CTV (Continuous Variable Transmission) pada harga RM62,990 seunit.
Kedua-duanya menggunakan enjin Campro IAFM+.
Bagi model tertinggi Proton Preve pula ialah Premium CVT yang menggunakan enjin Campro CFE yang berharga RM72,990 seunit.
Bersesuaian dengan konsep model kereta global, Proton Preve menandingi kereta jenama antarabangsa kerana turut mempunyai ciri mewah bagi kenderaan itu.
Bagi model Premium CVT, ciri mewah yang dimaksudkan ialah butang menghidupkan enjin, sistem pengesan hujan dan cuaca iaitu dengan menyalakan lampu apabila gelap.
Ia turut mempunyai ciri pengelap cermin automatik, auto cruise, lampu LED dan mempunyai penukar gear pada kemudi stereng.
Selain model transmisi manual, penulis turut menguji pemanduan Proton Preve bagi varian Premium CVT secara automatik dan mengalihkannya ‘secara manual’.
Peralihan kedua-duanya mengikut keadaan sepanjang perjalanan yang bertujuan untuk melancarkan lagi pemanduan.
Varian Premium CVT begitu lengkap dengan ciri keselamatan, dengan beg udara bagi pemandu dan penumpang serta beg udara sisi.
Ini termasuk ciri lain dengan ABS dan EBD, BA dan Traction Control dipasang standard serta ciri keselamatan penting pada Preve ialah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESP).
‘Rahsia’ pemanduan bertenaga Proton Preven khususnya bagi varian Premium CVT dibongkarkan dengan kuasa generasi baru enjinnya iaitu enjin Kecekapan Bahan Api Tercas (CFE) berciri soft-turbo dengan kapasiti 1.6 liter.
Model tertinggi bagi Proton Preve itu mempunyai transmisi tujuh kelajuan ProTronic.
Bukan sekadar kuasa pemanduan dan ciri keselamatan serta keupayaan enjinnya, Proton Preve turut diperhebatkan lagi dengan reka bentuk yang bergaya dan kontemporari serta ciri aksesori berteknologi.
Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam pertemuannya dengan wakil media di Club Med Cherating meluahkan dengan bangga bahawa Proton Preve merupakan model yang terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton sejak lebih 26 tahun dahulu.
“Kami bersedia untuk berkembang, melakukan perubahan juga mengadaptasi dan Proton Preve disifatkan sebagai kereta baru kami yang terbaik sejak beberapa tahun lepas," katanya, sambil menyatakan bahawa Proton Preve akan terus berkembang sehingga ke luar negara.
"Kami akan memulakan (pasaran) dengan Indonesia dan diikuti Thailand pada pertengahan tahun ini dan menjelang akhir tahun, kami akan memasarkannya pula di Australia,” kata Syed Zainal lagi.
Kata-kata Datuk Seri Syed Zainal sememangnya benar dalam mempamerkan sisi cemerlang Proton dalam meneraju industri automotif negara.
Dan tidak hairanlah Proton Preve merupakan model proton yang pertama menerima pengiktirafan lima bintang dalam Progam Penilaian Kenderaan Malaysia (MyVAP) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Proton Preven pasti menjadi pilihan ramai kerana pakej lengkapnya memenuhi keperluan dan cita rasa hari ini, seiring dengan penjenamaannya sebagai model kereta global.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: