Thursday, May 24, 2012

Kreativiti hebat terserlah di pentas London

Koleksi Bernard Chandran (tengah) antara yang paling mendapat tumpuan tetamu.

CUACA pada musim bunga di kota London nampaknya tidak bersahabat dengan tetamu yang datang bagi memeriahkan Festival Fesyen Islam (IFF) yang berlangsung di The Natural History Museum pada 25 April lalu.

Hujan yang hampir setiap hari menyimbahi bumi London bagaimanapun tidak sedikitpun menjejaskan penganjuran festival yang telah masuk edisi ke-24 itu. Lebih mengujakan ini merupakan kali kedua IFF bertamu di London, selepas kejayaan kali pertama pada Julai tahun lalu.

Menjadi saksi kejayaan festival yang diasaskan dan dipengerusikan oleh Datuk Raja Rezza Shah adalah barisan tetamu kehormat yang terdiri daripada Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah yang diiringi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Festival kali ini dijayakan oleh tujuh pereka fesyen iaitu Datuk Bernard Chandran, Datuk Tom Abang Saufi, Melinda Looi dan Syaiful Baharim selain Ghea Panggabean (Indonesia), Souad Chraibi (Morocco) dan Nickie Nina (Pakistan).

Sambil menikmati hidangan makan malam, tetamu disajikan dengan himpunan busana muslimah yang nampaknya 'lari' jauh daripada apa yang biasa dipertontonkan kepada umum.

Sungguhpun warna hitam amat sinonim dengan Abaya yang menyarung tubuh wanita Arab masih menjadi pilihan, namun padanan warna lain bersamanya meletakkan rekaan Melinda Looi dalam kelas tersendiri.

Melinda menampilkan gaya era Edo dalam sejarah Jepun. Bertemakan The Enchanting Edo Era, beliau bijak memadankan warna hitam dan merah dalam koleksinya yang hebat.

Dipengaruhi gaya pahlawan Jepun, shogun dan samurai serta keanggunan geisha, Melinda selesa menyesuai padankan fabrik bertemakan bunga kekwa dengan kimono dan tali pinggang obi yang diperbuat daripada kulit.

Jika pada IFF tahun lalu, Ghea menampilkan koleksi Enchanting Heritage, kali ini beliau mempertaruhkan koleksi bertemakan warisan juga, iaitu Romantic Heritage.

Ghea memang dikenali sebagai pereka yang memiliki identiti tersendiri dalam mengetengahkan aspek budaya dan warisan dari negara kelahirannya, Indonesia. Kesemua aspek itu menjadi inspirasi dalam menghasilkan rekaan terbarunya.

Kali ini fabrik yang dipilih mempunyai pengaruh masyarakat Cina, selain sulaman, batik dan songket dari Sumatera.

Warna pilihannya pula adalah merah hati, pastel dan kuning emas yang digarap pada kaftan, skaf tunik yang disambung dengan gaun dan seluar labuh. Kesemuanya nampak mewah dengan limpahan kilauan sulaman yang diperbuat daripada manik dan labuci.

Pentas terus 'hangat' dengan kreativiti Tom yang menampilkan warisan budaya masyarakat Bumi Kenyalang.

Peluang kedua berada di pentas IFF London digunakan sepenuhnya bagi menonjolkan keunikan koleksi Borneo. Ini dapat dilihat pada pilihan batik tenun tangan dalam koleksinya yang mana imej suku kaum asli Sarawak seperti ukiran kayu dan tiang totem jelas terpapar pada setiap koleksi.

Memperkatakan tentang sentuhan Souad pula, jelas beliau ia menonjolkan ciri-ciri kisah seribu satu malam dalam setiap helaian rekaannya.

Koleksi terhad One Thousand and One Nights menampilkan ciri-ciri tradisional masyarakat negaranya, termasuk kaftan dan djellabas. Kesemuanya diadun sempurna bagi menonjolkan ciri-ciri mewah, ringkas, moden dan berani.

Kemewahan rekaannya dapat dilihat pada sentuhan fabrik dan warna yang dibawa khas daripada nama-nama besar dalam dunia fesyen seperti satin daripada Jacob Schleffer dan fabrik khas daripada Christian Lacroix serta Chanel.

Ketika para tetamu asyik berbicara tentang rekaan berikutnya, Syaiful muncul bersama para jelitawan yang memperagakan koleksi yang dinamakan Sartorial Hijab.

Biasanya hijab dikaitkan dengan pakaian bersaiz longgar dan labuh menutupi keseluruhan bentuk tubuh wanita. Potongan seperti itu masih dikekalkan tetapi telah dipermodenkan supaya lebih bergaya.

Membezakannya dengan hijab yang berwarna hitam, Syaiful memilih fabrik songket dan batik tenun tangan berwarna biru nila, putih gading dan merjan (batu karang merah).

Sementara itu, Nickie mempertaruhkan koleksi Jasmine. Beliau yang begitu mengagumi bunga melor berkata, bau yang harum itu merupakan syurga wanita, selain menampilkan sifat romantik.

Justeru, tidak hairanlah jahitan manik, labuci dan sekuin menyerupai bunga menjadi motif pada fabrik pilihannya iaitu sifon, sutera dan broked.

Apa yang dapat dilihat, setiap helaian rekaannya sarat dengan taburan manik, labuci dan sekuin. Untuk menghasilkannya, katanya, memakan masa lama demi mendapatkan koleksi klasik dan kontemporari.

Ketika tetamu terpaku melihat setiap koleksi yang ditampilkan, tiba-tiba kedengaran perkataan wow! Begitulah reaksi pertama tetamu tatkala peragawati jelita yang menyarung busana rekaan Bernard muncul di pentas.

Tepukan gemuruh dan suara yang saling berbisik pastinya memuji kreativiti yang ditampilkan oleh pereka tersohor tanah air itu.

Menampilkan rekaan yang eksklusif, elegan dan bergaya mewah, ternyata sentuhan kreativiti Bernard dalam memperincikan potongan dan pilihan fabrik yang tepat bersesuaian dengan konsep yang ditampilkan, Abaya Abaya.

Kehebatan rekaan beliau dapat dilihat apabila himpunannya kali ini menampilkan gaya mewah sang puteri yang diadaptasikan daripada gaya Permaisuri Iran, Farah Diba, Permaisuri Rania dari Jordan dan Sheikha Mozah dari Qatar.

Tidak lengkap busana Muslimah tanpa tudung yang menutupi kepala. Tanpa mahu bermain dengan rekaan tudung yang labuh, Bernard lebih selesa memadankan pakaian rekaannya dengan turban yang berwarna sedondon. Antara warna pilihan beliau adalah merah cili, merah jambu, kelabu dan hitam.

Selepas kejayaan IFF London 2012, kemungkinan besar edisi berikutnya akan diadakan di Monaco. Apa yang diharapkan daripada penganjuran ini adalah setiap helaian busana muslimah yang diperagakan bakal 'menghapuskan' stigma masyarakat dunia yang takut terhadap Islam selepas kejadian 11 September.

Kreativiti yang ditonjolkan menerusi busana muslimah itu, diharap dapat membetulkan tanggapan negatif masyarakat dunia khususnya Barat terhadap Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: