Thursday, May 24, 2012

Berniaga dari bangku sekolah

Manje dengan koleksi baju Manje Fabulous miliknya.

Dia sentiasa kelihatan riang sepanjang beberapa jam sesi penggambaran dilakukan di sudio Utusan Malaysia. Tidak memerlukan arahan-arahan tambahan daripada jurugambar, liuk-lintuk tubuhnya mengiringi setiap perjalanan lensa kamera dan sentiasa pandai beraksi di hadapannya.

''Saya memang suka bergambar," katanya jujur apabila ditanya akan kebolehan beraksi sepanjang sesi penggambaran berkenaan.

Siti Nuraida Syd Mostapa, gadis genit berlesung pipit yang menjadi tetamu Mega kali ini, baru berusia 21 tahun.

Dalam usia sementah itu dia sudah mempunyai sebuah bilik pameran sendiri koleksi pelbagai baju dan aksesori bersama dapur khas untuknya membuat pelbagai jenis coklat dan candy yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.

Dinamakan Manje Fabulous, selain dipamerkan, baju-baju berkenaan juga untuk jualan. Bilik pameran umpama butik itu juga menawarkan perkhidmatan penyewaan kepada orang ramai yang mahu menyewa baju-baju untuk pelbagai majlis.

Siti Nuraida yang senang dengan panggilan Manje merupakan anak keenam daripada tujuh adik-beradik.

Sepanjang hidup, bidang perniagaan memang menjadi minatnya. Sejak di sekolah rendah lagi dia telah berniaga menjual coklat dan gula-gula.

''Saya menjual gula-gula dan coklat pada rakan-rakan di sekolah sehinggalah saya dewasa. Saya kini menceburi apa sahaja bentuk perniagaan. Tumpuan saya kini ialah berniaga baju-baju, aksesori dan segala jenis kek dan coklat buatan sendiri.

''Saya memang didedahkan dalam bidang perniagaan sejak kecil apabila ibu dan ayah membuka restoran.

''Coklat, candy dan sebagainya itu saya sendiri yang membuatnya mengikut tempahan yang diterima,'' katanya yang benar-benar mula berniaga pada usia 18 tahun.

Selain berkemahiran membuat kek, coklat, candy, mufin, apam polka dot dan sebagainya, gadis ini juga menyediakan kelas kepada mereka yang berminat untuk belajar membuat kek.

''Jangan sangka orang macam saya tidak tahu memasak. Kek fondant pun saya boleh buat sekiranya ada tempahan," katanya.

Pernah menyertai kursus membuat kek, gadis ini memberitahu, dia mempunyai beberapa pembantu sekiranya menerima banyak tempahan.

Apabila berbicara mengenai baju-baju jualannya, dia memberitahu semua stok diperoleh dari Jakarta, Indonesia. Terdapat beberapa baju yang dia reka sendiri dan kemudian meminta pembantunya jahitkan untuk disewakan kepada orang ramai.

''Antara baju yang dijual ialah baju kurung, kaftan, sutera yang berharga antara RM70 hingga RM150 sehelai.

''Selain baju-baju ini diletakkan di bilik pameran, Manje juga melakukan operasi jualan secara bergerak di tempat yang bersesuaian mengikut permintaan pelanggan.

''Mereka yang berminat juga boleh menghubungi saya di talian 012-9444049 dan melayari saya di Facebook BB 2863A831 aidamanje untuk pertanyaan dan mendapatkan perkhidmatan membuat coklat," kata anak jati Kuala Lumpur itu.

Bertekad menebarkan sayap perniagaannya dalam bidang francais masakan kek dan coklat satu hari nanti di samping menubuhkan cawangan butik miliknya di semua negeri, Manje berkata, semua itu pastinya akan berlaku sekiranya dia bekerja dengan kuat dari sekarang.

Sementara itu koleksi aksesori yang dibuatnya sendiri juga cukup mengagumkan.

Diilhamkan daripada idea dan kreativitinya, aksesori berbentuk gelang tangan, utas rantai, perhiasan kepala dan rambut itu juga menjadi antara yang terbaik dalam rantaian perniagaannya.

Biarpun ramai orang berkata, dunia perniagaan penuh dengan cabaran dan asam garam, namun Manje bersyukur kerana dia sentiasa dilindungi daripada orang-orang yang berniat tidak elok kepada dirinya.

''Setakat ini Alhamdulillah, perniagaan saya berjalan dengan lancar malah apa yang saya hendak buat semuanya dapat dilakukan dengan jayanya," katanya yang gemar dengan makanan pedas dan minum air suam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: