|
|
SEBUT saja little black dress pasti kita membayangkan koleksi gaun malam mahupun dres koktel yang lazimnya berpotongan ringkas, pendek dan berwarna hitam. Menyorot kemunculan pakaian little black dress, dalam persada fesyen antarabangsa, ia mula dipopularkan oleh ikon fesyen yang paling disegani, Coco Chanel pada tahun 1920.
Sebelum ini pakaian yang berasaskan rona hitam sering dikaitkan dengan upacara pengebumian dan berkabung. Padahal, dalam dunia fesyen kebanyakan pereka sentiasa menasihatkan orang ramai supaya tidak prejudis terhadap warna.
Pilih saja warna pakaian mengikut mood dan cita rasa, asalkan ia tampak menawan membaluti tubuh badan serta sesuai dengan tempat dan tema majlis yang dihadiri.
Mengambil kira daripada faktor berkenaan, Coco yang merupakan tunjang utama di sebalik jenama Chanel, mengambil inisiatif menghasilkan himpunan busana hitam yang mempesonakan. Menariknya, rekaan baju yang berasaskan warna hitam itu cantik digayakan ke majlis formal, parti ataupun acara karpet merah.
Ternyata usaha Coco tidak sia-sia memandangkan pada hari ini gaun labuh atau dres pendek rona hitam masih relevan dan mendapat permintaan ramai. Kemunculan palet warna-warna baharu dan moden sedikitpun tidak melenyapkan nuansa hitam yang disifatkan membantu menyuntik ilusi bentuk badan ramping dan elegan.
Gaun elegan
Buktinya, pada malam gala Costume Institute Benefit 2012 yang berlangsung di Institut Seni Kostum, Muzium Metropolitan, New York, Amerika Syarikat rata-rata selebriti, model dan sosialit yang hadir selesa menggayakan busana warna hitam.
Penyanyi Beyonce Knowles, antara personaliti yang paling mencuri tumpuan ramai terutamanya dalam kelompok jurufoto pada malam itu. Ibu kepada bayi perempuan, Blue Ivy tersebut melangkah anggun di karpet merah dalam persalinan gaun hitam yang mengikut potongan badan.
Selain menggunakan kain renda Perancis motif flora dan dihiasi perincian batu permata, keunikan gaun rekaan Givenchy Haute Couture terserlah dengan juraian bulu-bulu lembut warna hitam dan ungu.
Sama seperti Beyonce, pelakon komedi, Amy Poehler turut memilih konsep gaun ala duyung yang memiliki bulu-bulu lembut.
|
|
Sementara itu, penyanyi muda Rihanna pula tampil elegan dengan gaun ketat nuansa hitam rekaan pereka kelahiran AS, Tom Ford. Dres yang diperbuat daripada kulit buaya itu terdedah pada bahagian belakang badan dan kaki. Pada acara kali ini, nampaknya selebriti berusia 24 tahun tersebut lebih selesa tampil 'hitam' dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Bagi supermodel terkenal Gisele Bundchen, menyarungkan gaun rekaan Riccardo Tisci daripada rumah fesyen Givenchy Haute Couture merupakan pilihan yang tepat. Bentuk badannya yang langsing dan tinggi dibaluti dres labuh yang berkorset. Menambahkan seri penampilan, Gisele memadankan bersama tas genggam, tali pinggang dan kasut bertumit nuansa hitam.
Penampilan pelakon Christina Ricci juga memukau pandangan hadirin dengan dres potongan lurus separa lutut. Gaun konsep vintaj itu menggabungkan kain renda warna hitam dan fabrik polos rona pic.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: