|
KECOH apabila Malaysia dipersalahkan kerana didakwa mengklasifikasikan batik sebagai warisan negara. Kenyataan itu mengundang kemarahan kebanyakan rakyat Indonesia yang melihat warisan tersebut sebagai hak hakiki negara mereka.
Perdebatan dua negara itu terus memuncak membabitkan pelbagai adat warisan lain. Kefahaman dan idea yang disuarakan pula bersifat berat sebelah dan dinilai berdasarkan kerakyatan.
Wujud kumpulan yang bersetuju batik datang dari Iran (dahulu dikenali sebagai Parsi) dan ada pula beranggapan ia dibawa dari India. Batik dalam bentuk cebisan kain juga pernah ditemui pakar arkeologi di Mesir dan dipercayai menjadi pakaian masyarakat peradaban itu.
Kelompok pengkaji akhirnya bersetuju bahawa batik berasal dari Kepulauan Melayu. Penyebaran kesenian itu dipercayai berkembang sehingga ke Timur Tengah melalui India.
Bukti bagi mengukuhkan kenyataan itu disokong teknik penghasilan batik yang menggunakan lilin. Ia merupakan warisan Melayu yang tidak diguna pakai oleh mana-mana masyarakat dunia lain.
Di Malaysia, penerokaan konsep batik lebih tertumpu di kawasan Pantai Timur. Masyarakat Terengganu dan Kelantan mendominasi rangkaian pengeluar batik tempatan. Keaslian dan kehalusan ciptaan pelbagai jenis batik negara itu menarik minat pelancong asing.
Jenis-jenis batik seperti batik tulis (canting), batik skrin, batik blok dan batik pewarnaan asli memberi variasi kepada pencinta karya klasik itu. Keistimewaan setiap batik itu bergantung pada teknik, penggunaan warna dan motif yang ditampilkan.
Dalam jangka masa yang panjang, batik telah menakluk etika pemakaian kebanyakan individu. Di negara ini, kakitangan kerajaan diwajibkan mengenakan baju batik pada setiap hari Khamis. Peraturan itu berkuat kuasa pada awal tahun 2008 bagi menggantikan syarat pemakaian baju batik dua kali sebulan.
Persepsi stereotaip
Rasional di sebalik keputusan itu adalah bagi memastikan warisan yang disanjung itu tidak lenyap dek kemodenan. Kaum Adam turut tidak ketinggalan dikaitkan dengan batik. Fabrik tersebut seringkali dilihat membaluti tubuh badan mereka ke acara rasmi.
Lelaki usia pertengahan dan sedikit berumur lebih condong menggayakan baju batik ke majlis perkahwinan dan acara makan malam. Golongan muda pula seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada memakai batik di khalayak kerana mempunyai persepsi ia ‘baju orang tua’.
Mengubah stigma itu tidak mudah. Tambahan lagi dengan persaingan persalinan moden yang dibawa Barat menyukarkan perjalanan batik untuk meresap ke dalam jiwa lelaki muda.
Pemilik jenama Zizi Design, Mohd. Azizi Hassan menggalas cabaran itu dan perlahan-lahan, usaha beliau mula menampakkan hasil.
“Adaptasi dan pengolahan semula batik canting yang saya lakukan memang ditujukan khas untuk anak-anak muda. Warna-warna pastel digabungkan dengan fabrik yang tidak berkilat agar ia tampak ringkas.
“Remaja dan lelaki muda tidak gemar baju batik yang berkilat, berwarna terang dan bercorak sarat. Potongan yang dihasilkan juga mengikut bentuk badan bagi menyerlahkan sosok tubuh yang sasa.
“Lelaki muda menolak baju batik yang menggeleber kerana ia tidak nampak terletak pada badan mereka. Jadi kita reka baju mengikut cita rasa mereka,” terang Azizi atau lebih dikenali dengan nama Zizi.
Memandangkan anak-anak muda menolak batik yang terlalu berkilat, Zizi perlu berhati-hati dalam memilih fabrik. Material seperti sutera spandeks dirasakan sempurna bagi memenuhi kriteria batik moden yang diinginkan.
|
|
Pengurangan motif pada batik jejaka berusia lingkungan 20-an penting bagi mengelakkan ia kelihatan terlalu tradisional. Tidak dinafikan klasik itu lebih baik, namun tidak bermakna batik perlu duduk ditakuk yang lama.
|
|
Cita rasa individu kian berubah mengikut peredaran masa. Zizi peka tentang kenyataan itu dan mahu batik jejaka dilihat sebagai busana mewah.
Batik dan jean
Bagi menukar stereotaip bahawa batik tidak boleh dimodenkan, Zizi mencadangkan kepada kelompok belia agar tidak takut bereksperimen. Tolak kebiasaan menggabungkan kemeja batik bersama celana pejabat kerana imej tersebut sudah jemu dan tidak urban.
Jean potongan sendat dan langsing pasti menawan apabila disatukan dengan baju batik. Padanan warna juga penting agar penampilan tidak kelihatan terlalu suram atau terang. Kesederhanaan diutamakan ketika memakai apa jua busana batik.
“Lelaki yang lebih berseni pula boleh memadankan kemeja batik dengan seluar palazzo atau etnik. Ia bakal menonjolkan sisi kreatif si jejaka dalam berpakaian.
“Kasut yang betul juga perlu diberi perhatian. Jika khuatir penampilan dicacatkan akibat kasut yang salah, pilih jalan tengah dengan memakai sandal yang sesuai,” saran Zizi yang menyasarkan koleksi batik moden rekaannya kepada mereka berusia 18 sehingga 35 tahun.
Penterjemahan lelaki moden menerusi batik juga boleh dilihat pada mereka yang berani mengenakan jubah bermotif. Corak ringkas batik canting yang menghiasi jubah ciptaan Zizi mampu menyemarakkan aura maskulin si pemakai.
Pilih mengikut kehendak anda sama ada mahu berjubah pendek atau labuh. Lelaki yang sukakan kelainan digalakkan mencuba jubah pendek yang perlu dipadankan bersama seluar senada. Jubah labuh pula sesuai dikenakan ketika sambutan hari raya atau jika berani, pakai pada majlis santai yang sesuai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: