KUMPULAN nasyid Hijjaz bukanlah satu nama asing dalam persada seni negara. Sejak lebih 12 tahun lalu, pelbagai koleksi lagu dakwah mereka telah menjadi halwa telinga para pendengar yang mencari ketenangan diri sekali gus menghimpun peminat tersendiri.
Terbaru, kumpulan yang dianggotai oleh empat ahli itu terus mengorak langkah ke hadapan dalam mengembangkan sayap mereka dengan memilih perniagaan emas.
Bersama rakan niaga, Keris Emas Resources Sdn. Bhd. yang berpengalaman dalam urusan perniagaan emas sejak 1999, kumpulan nasyid popular itu menjalinkan kerjasama dengan menubuhkan syarikat Hijjaz Gold Sdn. Bhd. (HGSB).
Ketua kumpulan Hijjaz, Isman Nadim Isam berkata, penglibatan mereka dalam perniagaan tersebut adalah di atas dasar rakan kongsi selepas lebih setahun merancangnya.
“Apa yang penting, rakan kongsi yang dipilih benar-benar mengenali emas dalam erti kata sebenarnya. Lantaran itulah kami amat yakin bahawa bisnes ini boleh memberi pulangan yang baik seterusnya menjana ekonomi setiap ejen, syarikat serta negara keseluruhannya.
“Sebelum ini, kami pernah melalui banyak pengalaman pahit dalam dunia perniagaan. Justeru, kami bertekad menjadikan pengalaman lalu sebagai landasan terbaik untuk terus maju,” jelas Isman sambil memberitahu, pihaknya akan menggunakan medium laman sosial Facebook mereka yang mempunyai hampir 100,000 ahli untuk mempromosikan perkara itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HGSB, Md. Zamri Mohamad Nazir pula menjelaskan konsep yang dibawa bukannya kaedah pelaburan, tetapi lebih kepada teknik bimbingan secara teori dan praktikal bagi melahirkan generasi celik dan bijak emas.
“Dalam usaha menggalakkan masyarakat belajar dan menceburi bidang perniagaan emas, HGSB akan memberi ruang kepada mereka mendalami ilmu berkenaan melalui Akademi Hijjaz.
“Dengan mengikuti kelas atau kursus yang disediakan, mereka akan lebih mengetahui selok-belok perniagaan emas terutama melibatkan teknik pembelian dan penjualan emas terpakai, jualan emas baharu, cara promosi perniagaan serta mengetahui harga pasaran semasa,” ujar Zamri.
Sebagai permulaan, pihak HGSB telah mengatur pelbagai program untuk mereka yang benar-benar ingin terlibat dalam urusan jual beli emas. Konsep mudah untung yang dibawakan juga dilihat mampu membuka ruang kepada usahawan bumiputera melibatkan diri dalam perniagaan emas tulen.
Bagi peminat yang ingin terbabit dalam perniagaan emas ini, mereka perlu menjadi ahli atau ejen yang sah dengan modal permulaan sebanyak RM1,000 dan mereka akan menerima wafer emas seberat 1 gram. Sebarang pertanyaan sila hubungi pegawai syarikat di talian 019-252 7575 (Zamri) dan 016-217 1148 (Azman) atau layari laman web www.hijjazgold.com.my.
utang dengan org2 yang kena tipu pasal nak gi umrah dah setel ker?
ReplyDelete