TAHAN...pendatang tanpa izin dikumpulkan di kawasan rumah kongsi berhampiran Flora Damansara, malam tadi.
SEMBUNYI...dua wanita yang menyorok di dalam lubang di bawah reban ayam (duduk kiri) dan lantai rumah ditahan anggota Rela.
KUALA LUMPUR: Pendatang Indonesia tanpa izin sanggup melakukan apa saja untuk mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa termasuk menggali gua di bawah reban ayam bagi dijadikan tempat persembunyian.
Kegiatan menggali gua persembunyian ini terbongkar selepas pasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen menangkap seorang wanita yang cuba menyorok ketika serbuan di rumah kongsi di Flora Damansara dekat sini, malam tadi.
Wanita yang seakan-akan hilang pertimbangan diri apabila meronta, menangis dan meraung meminta dilepaskan itu antara 92 warga asing yang ditangkap dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan dengan kekuatan 32 anggota dan dibantu 25 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan lima anggota Jabatan Pertahanan Awan Malaysia (JPAM), kira-kira jam 11 malam.
Dalam serbuan itu, taktik menggali lubang seakan gua itu turut dikesan di bawah rumah kongsi di mana penghuninya akan berdiam diri dalam gelap bagi mengelakkan dicekup anggota keselamatan.
Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, James Musa Singa, berkata pihaknya sudah melakukan intipan selama seminggu di kawasan terbabit selepas menerima aduan orang ramai.
“Pemeriksaan membabitkan seramai 216 orang terdiri 186 lelaki, 54 wanita dan 21 pemegang kad pengenalan merah sebelum kami menahan 92 orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Daripada 92 orang yang ditahan, seramai 34 lelaki dan 13 wanita Indonesia, 40 rakyat Bangladesh dan lima orang Myanmar,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas operasi berkenaan.
James berkata, tapak rumah kongsi terbabit mempunyai lima blok kontena dua tingkat dan empat rumah kongsi kayu dengan keseluruhan 50 bilik.
“Kebanyakan mereka yang ditahan melakukan kesalahan tiada permit kerja di negara kita dan mereka semua dibawa ke Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan di Jalan Duta untuk tindakan lanjut.
“Kami akan berusaha menemui majikan mereka dengan mengenal pasti pemilik tapak rumah kongsi ini. Lokasi ini hanya menjadi tempat tinggal warga asing dan mereka bekerja di tapak pembinaan di sekitar Damansara.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen dan Akta Pemerdagangan Orang (Atip),” katanya.
Beliau berkata, hasil serbuan turut mendapati ramai yang tidak mendaftarkan diri Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) walaupun tempoh diberikan cukup panjang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: