Saturday, May 5, 2012

Biomas tarik RM3.5 bilion

PERJELAS...(dari kiri) Leong bersama Dr Ahmad Zaharudin dan Penolong Pengurus Besar Perbankan Komersial Bank Rakyat, Roslan Hussin pada sidang media.
PERJELAS...(dari kiri) Leong bersama Dr Ahmad Zaharudin dan Penolong Pengurus Besar Perbankan Komersial Bank Rakyat, Roslan Hussin pada sidang media.

INDUSTRI biomas di Malaysia dijangka mampu memberi platform baru dalam menjana ekonomi lebih kukuh berikutan mempunyai banyak sumber yang boleh diperoleh di negara ini.

Penasihat Teknikal kepada Inisiatif Pengeluaran Lestari Biomas EU-Malaysia (Biomass-SP), Datuk Leong Kin Mun berkata, sektor biomas juga mampu menarik dua pelaburan asing langsung besar yang berpotensi bernilai RM3.5 bilion dalam tempoh terdekat ini.


“Terdapat dua syarikat yang berpotensi dan bakal menyuntik pelaburan AS$300 juta (RM921 juta) iaitu daripada syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang mahu mewujudkan kilang biogula di sini.

“Manakala satu lagi syarikat dari China turut meninjau untuk melabur RM2.5 bilion dalam kilang kuasa biomas di negara ini,” katanya pada sidang media sempena dengan Persidangan Amalan Terbaik dan Kerjasama Perniagaan Biomas EU-Asia 2012, Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, kedua-dua syarikat terbabit sudah melahirkan hasrat untuk membina kilang mereka di negara ini terutama di bawah program Biomass-SP dan syarikat juga kini sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak yang terbabit untuk menjayakannya.


“Tiada tempoh khusus untuk projek ini bermula kerana terdapat banyak isu perlu diteliti sebelum niaga janji dimuktamadkan dan ini termasuklah bekalan sumber yang mampan.

“Bagaimanapun, syarikat dari AS adalah peneraju dalam bidang kimia mampan manakala syarikat dari China pula adalah Wuhan Kaidi Holding Investment Co, menerusi unitnya, Wuhan Kaidi Electric Power Co,” katanya. Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai niaga janji itu bulan depan dan syarikat juga sudah mengatur pertemuan syarikat dari China itu dengan kerajaan Sabah, Terengganu dan Perak.


“Mereka sudah pun mengemukakan kertas cadangan kepada Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA),” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Pengerusi Biomass-SP, Tan Sri Dr Ahmad Zaharudin Idrus berkata, persidangan itu dijangka dihadiri lebih 500 delegasi dari 25 negara seluruh dunia dan akan diadakan mulai 7 hingga 10 Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: