Monday, May 7, 2012

Carmen serasi bidang chef

Chef Carmen turut menghasilkan sebuah buku resipi bertajuk My Venezuelan Cuisine.

Dalam memilih kerjaya pilihan, ada segelintir daripada kita bertukar kerjaya dari bidang yang dipelajari di peringkat universiti ke bidang lain selepas melangkah ke alam pekerjaan.

Begitu juga dengan Chef Carmen Rawstron, 45, yang bertukar haluan dari bidang guaman ke kulinari.

Berasal dari Caracas, chef jemputan khas dari Pejabat Kedutaan Venezuela di Malaysia ini ditemui S3 ketika minggu hidangan Venezuela diadakan di Hotel Renaissance Kuala Lumpur.

Selaku graduan undang-undang, Chef Carmen berpendapat kerjaya chef merupakan suatu pekerjaan yang menyeronokkan.

"Selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang, saya sempat bekerja dalam bidang guaman.

"Namun saya dapati bidang masakan lebih serasi dengan naluri keibuan dan bidang ini mampu memberikan kepuasan berbanding dengan bidang lain," katanya.

Perkenalkan hidangan Venezuela

Chef Carmen berkata, minat untuk bekerja sebagai chef bermula sejak dari kecil lagi.

"Saya mempunyai keluarga yang suka kepada makanan dan kami gemar menjamu selera bersama ahli keluarga.

"Selain itu, nenek saya banyak mengajar saya kerana beliau juga merupakan pemilik sebuah kedai roti dan pastri di Venezuela.

"Dengan pendedahan awal yang diberikannya itu, ia banyak membantu saya dalam kerjaya sebagai seorang chef," jelasnya.

Beliau berkata, gaya masakannya banyak dipengaruhi oleh masakan Itali tetapi selaku chef yang berasal dari Venezuela, beliau lebih gemar memperkenalkan hidangan dari kampung halamannya.

"Hidangan Venezuela amat jarang di Malaysia. Sebab itu, saya ingin memperkenalkan hidangan ini kepada penduduk tempatan," ujarnya.

Bagi Chef Carmen, sesuatu hidangan perlu dimasak sepenuh hati, barulah masakan itu boleh menambat cita rasa pelanggan.

"Makan suatu hidangan yang menyelerakan mampu menghilangkan tekanan, lebih-lebih lagi jika berpeluang menikmati juadah tersebut bersama keluarga," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan masakan Venezuela, Chef Carmen berkata hidangan ini menawarkan pelbagai rasa yang unik.

"Setiap hidangan memberikan cita rasa berbeza kerana hidangan Venezuela dipengaruhi oleh pelbagai gaya masakan gabungan (fushion) seperti Sepanyol, Eropah dan Asia.

"Bahan yang banyak digunakan dalam hidangan Venezuela adalah seperti kacang hitam dan tepung jagung," ujarnya.

Antara hidangan istimewa yang disajikan oleh Chef Carmen di Hotel Renaissance Kuala Lumpur adalah Pabellon Criollo dan Tequenos.

"Pabellon Criollo ini nampak seperti nasi lemak, cuma bezanya hidangan ini dimasak bersama kacang hitam manakala Tequenos pula dimasak bersama keju dan susu kambing.

"Keju tersebut digoreng dan bagi mereka yang menikmati hidangan ini, pasti dapat merasai lapisan rangup di luar, manakala lapisan dalaman pula lebih cheezy.

"Pilihan keju yang sesuai perlu dibuat sebelum hidangan ini disediakan kerana keju seperti Mozarela tidak sesuai digunakan dalam hidangan ini kerana ia memerlukan keju yang lebih keras untuk digoreng sehingga berwarna keemasan," jelasnya.

Tambah Chef Carmen, antara hidangan tempatan yang disukainya termasuk Nasi Lemak, Nasi Kerabu dan Laksa Perlis.

"Saya tidak makan hidangan yang terlalu pedas kerana rasa pedas di bahagian lidah saya boleh menghilangkan sumber rasa yang lain.

"Kalau saya makan cili padi, saya tidak dapat menikmati rasa yang lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: