Monday, May 7, 2012

'Batik mewarnai kehidupan kami'

PASANGAN Wan Mohd. Ariffin Wan Long dan Noor Hijerah Hanafiah bahagia melayari bahtera rumah tangga sejak 32 tahun yang lalu.

NOOR ARFA, sebuah syarikat pengeluar batik terbesar di negara ini dan juga suatu jenama produk batik yang dikenali meluas termasuk di luar negara dengan mutu yang diyakini dan mempunyai prestij yang tersendiri.

Ia bermula lebih tiga dekad lalu melalui usaha pasangan suami isteri, mengharungi suka duka, merangkak dan bertatih dalam dunia perniagaan yang rencam sehinggalah mereka mula dilihat sebagai usahawan bumiputera yang berjaya dan boleh dibanggakan.

Kompleks batiknya di Cendering, Kuala Terengganu dengan reka bentuk seni bina Melayu bukan sahaja menjadi simbol kepada perkembangan suatu yang dikaitkan dengan warisan bangsa tetapi kukuh dan semaraknya hubungan pasangan ini, Wan Mohd. Ariffin Wan Long, 56, dan Noor Hijerah Hanafiah, 55,

Tidak ramai yang menyedari bahawa nama Noor Arfa muncul hasil gabungan nama mereka berdua yang telah melayari bahtera perkahwinan sejak 32 tahun lalu.

Kali pertama menemui pasangan suami isteri ini, kemesraan jelas terpancar dan tahulah mengapa mereka terus menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga yang berpanjangan.

Sifat rendah diri, bersyukur dengan apa yang ada, sentiasa sedia bertolak ansur, saling menghormati malah gemar menegur kesilapan yang dilakukan secara berhemah dengan terbuka membolehkan sinar kebahagiaan terpancar pada wajah pasangan usahawan ini.

Wajah Noor Hijerah atau lebih mesra dipanggil Kak Noor kelihatan berseri semasa meminta izin daripada suaminya apabila kami meminta untuk menyingkap kisah silam mereka.

Menurutnya, pertama kali beliau bertemu dengan suaminya ketika berusia 18 tahun apabila berhijrah ke Kelantan untuk mengikuti satu kursus anjuran Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia (LKKM) pada akhir tahun 1970-an yang mana Wan Mohd. Ariffin merupakan salah seorang tenaga pengajar.

"Saya sebenarnya memang minat dalam seni lukisan dan ketika tamat belajar sekolah menengah, saya dapat tahu dengan mengikuti kursus latihan batik ini, saya berpeluang ke Jepun.

"Ya...lah, ketika itu masih muda, jadi memang ghairah untuk pergi ke luar negara, namun apabila telah mengikuti kursus itu, tiba-tiba kami dimaklumkan peluang itu sudah tiada.

"Memang kecewalah ketika itu dan dalam pada masa yang sama juga, saya tahu suami yang ketika itu menyukai saya, namun saya tidak mahu balas perasaannya, sebab masa itu saya lebih bersemangat untuk cari duit sendiri dahulu dengan bekerja," katanya.

Tambahnya, setelah tamat latihan itu kira-kira enam bulan, Noor Hijerah pulang ke kampung di Alor Setar, Kedah untuk menamatkan pelajaran di tingkatan enam dan perlahan-lahan rasa sayang bersemi apabila suaminya mengutus surat saban minggu.

Pun begitu, sambil tersenyum beliau menceritakan perasaan juga diburu bimbang jika menerima Wan Mohd Ariffin kerana kehidupan masyarakat di pinggir pantai Terengganu sering dimomokkan dengan kisah perlu 'menunaikan hajat' di tandas yang dibina di luar rumah.

"Saya memang... kalau boleh tak mahu suami dari negeri Terengganu kerana perkara itu. Namun kerana jodoh kami bertemu dan bersatu. Selama empat tahun saya menguji kesetiaan cinta suami walaupun ketika awal perkenalan lagi dia sudah ajak untuk berkahwin," ujarnya sambil ketawa.

Ujar Noor Hijerah, suaminya tidak banyak kerenah dan lebih mementingkan kesederhanaan di dalam apa jua perkara, malah beliau lebih gemar makan di rumah bersama keluarga berbanding makan di kedai.

Sifatnya yang pemalu dan pendiam juga menyebabkan Noor Hijerah lebih banyak berbicara dengan pelanggan.

"Dia memang kurang bercakap. Namun dari hari ke hari saya ajar dia bagaimana berkomunikasi dengan pelanggan kerana sebagai peniaga kita kena ada kemahiran itu dan bagi saya kami saling lengkap-melengkapi," katanya.

Bagi Wan Mohd. Ariffin pula, isterinya seorang wanita yang sangat berdikari serta mempunyai semangat yang kuat kerana amat tegas dalam memutuskan sesuatu perkara sama ada mengenai kekeluargaan, perniagaan mahupun rumah tangga.

Akuinya, memang di sebalik kejayaan Noor Arfa kini, isterinya menjadi tulang belakang beliau sehingga ke hari ini.

Tambah beliau, isterinya merupakan wanita yang sangat kuat bekerja dan tidak kenal erti putus asa, malah sering menyokong apa sahaja keputusan yang beliau buat demi kejayaan syarikatnya ketika itu.

"Dulu ketika saya mahu ajak dia kahwin, saya 'tipu sunat' pada dia bahawa saya ada sebuah kilang perusahaan batik besar di Terengganu. Terpaksa 'menipu' supaya dia yakin dengan saya dan rasa selamat jika berkahwin nanti, padahal saya hanya mengusahakan perusahaan batik di rumah nenek dan ketika itu saya hanya buat dua hingga tiga helai kain sahaja.

"Selepas berkahwin, saya bawa ke rumah dan dia sangat terkejut melihat bengkel buruk sahaja, namun dia sedikit pun tidak menyesal malah dia yang banyak membantu saya sebelum syarikat Noor Arfa ini ada.

"Saya ingat lagi ketika itu dia baru lepas pantang melahirkan anak sulung kami, dia sanggup bekerja seorang diri kerana kami tidak mampu mengupah pekerja. Dia yang mencanting batik, membasuh, menjemur dan menjual ke pasar-pasar sendirian," jelasnya.

Bagaimanapun ujar Wan Mohd. Ariffin, kejayaan yang dikecapi itu adalah datang daripada-Nya dan ia harus disyukuri.

Mereka telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Wan Mohd. Azwan, 31, Wan Mohd. Affiz, 28, dan Wan Mohd. Affendi, 23, sebagai pelengkap yang mewarnai corak kehidupan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: