Thursday, May 24, 2012

1,850 basikal untuk kegunaan pengunjung, sukarelawan


AHMAD SHABERY (lima dari kanan) dan Razali (enam dari kanan) bersama wakil daripada pelbagai pertubuhan yang menerima basikal di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Sebanyak 1,850 buah basikal disediakan untuk kegunaan sukarelawan dan pengunjung Himpunan Jutaan Belia yang bermula di sini semalam.

Kesemua basikal itu ditaja oleh 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, basikal-basikal tersebut akan memudahkan sukarelawan yang terdiri daripada ahli badan bukan kerajaan dan pelajar institusi pengajian tinggi awam menjalankan tugas masing-masing.

"Pada masa yang sama pengunjung juga boleh menggunakan kemudahan tersebut dengan kadar sewa yang rendah iaitu RM2 untuk kegunaan selama sejam.

"Kita mahu Putrajaya menjadi bandar yang dipenuhi basikal sekali gus memupuk budaya hidup sihat dalam masyarakat di negara ini terutama golongan belia," katanya pada Majlis Penyerahan Basikal oleh 1MDB di Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini semalam.

Ahmad Shabery menerima tajaan basikal tersebut daripada Pengarah Operasi Yayasan 1MDB, Jofa Hilmi.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Antara yang menerima basikal itu ialah Pengakap Malaysia, Majlis Belia Malaysia, BN Youth, Pink Village, Persatuan Bulan Sabit Merah, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: