Sunday, July 10, 2011

Pemburuan berakhir

MAUT... anggota polis mengawasi mayat lelaki yang ditembak mati selepas diangkat masuk ke dalam sebuah kenderaan polis.
MAUT... anggota polis mengawasi mayat lelaki yang ditembak mati selepas diangkat masuk ke dalam sebuah kenderaan polis.

GEORGETOWN: Selepas dua tahun diburu kerana aktif melakukan kegiatan jenayah, seorang lelaki akhirnya maut selepas ditembak polis di Relau, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, lelaki berasal dari Indonesia dan berusia lingkungan 20-an itu pada mulanya dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dan berkeliaran di kawasan Relau dengan memandu kereta.


Polis yang menerima maklumat kemudian mengekori lelaki terbabit sebelum meminta dia berhenti ketika berhampiran lampu isyarat, namun lelaki itu terus memecut kenderaannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zaruddin Abdullah berkata, polis kemudian mengejar lelaki berkenaan tetapi suspek tiba-tiba bertindak di luar dugaan apabila melepaskan beberapa das tembakan.


“Menyedari suspek bertindak agresif, polis membalas tembakan untuk mempertahankan diri sebelum lelaki itu memberhentikan kereta dan selepas diperiksa, lelaki terbabit didapati meninggal dunia akibat terkena tembakan,” katanya.


Menurut Zaruddin, pemeriksaan lanjut dalam kereta suspek turut menemui sepucuk pistol revolver .38 dan beberapa ketulan ganja mampat.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes samun, pecah rumah dan curi di sekitar Pulau sejak dua tahun lalu.


“Kita tidak menolak kemungkinan suspek bergerak bersama kumpulannya untuk melakukan jenayah dan siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, suspek juga menggunakan kereta Proton Wira yang diubahsuai, dipercayai bagi memudahkannya memecut ketika melakukan kegiatan jenayah atau terserempak dengan pihak berkuasa.


“Pemeriksaan awal mendapati kereta terbabit didaftar menggunakan nama seorang penduduk tempatan dan polis turut menemui kad pengenalan dipercayai palsu,” katanya.


Menurutnya, mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: