PETALING JAYA: Pelakon Rosyam Nor (gambar) akan bertemu pihak media hari ini untuk menjelaskan tuduhan kononnya dia menipu pelanggan dalam pelaburan perniagaan jualan langsung (MLM) di bawah syarikatnya Rosyam Nor Group (RNG).
Rosyam yang dihubungi di Singapura semalam berkata, sidang media itu akan diadakan di hotel One World, di sini, pukul 10 pagi ini.
Kata Rosyam, dia akan menjelaskan segala masalah yang selama ini menjadi persoalan orang media terutama mereka yang sudah melabur melalui syarikat tersebut.
Tambahnya, dia kecewa apabila dituduh sebagai individu yang cuba memperdayakan orang lain dengan menggunakan kelebihannya sebagai seorang pelakon.
Ahad lalu sebuah akhbar mingguan menyiarkan keluhan seorang pelabur perniagaan berkenaan yang mendakwa Rosyam telah menipunya dengan memberi janji-janji palsu.
Pengirim e-mel berkenaan mendakwa tidak mendapat pulangan berbentuk wang tunai selepas membuat pelaburan melalui syarikat RNG itu sedangkan mengikut perjanjian, keuntungan akan diperoleh di antara dua minggu sehingga sebulan.
Malangnya selepas dua bulan, individu tersebut mendakwa tidak mendapat apa-apa pulangan dan akhirnya dia merasakan telah tertipu.
Ujar Rosyam, dia tidak mahu masyarakat memberi persepsi buruk terhadapnya dan perlu mengambil pendekatan untuk menjelaskan perkara sebenar kepada umum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: