|
|
SUDAH jauh mereka berjalan, tapi perjalanan yang dilalui oleh tiga anak muda ini masih belum meninggalkan impak yang besar kepada industri. Kalau betul meninggalkan impak kenapa pula ramai yang masih lagi yang tidak mengetahui siapakah gerangan mereka.
Ketika bertemu dengan mereka baru-baru ini, masing-masing begitu ralit menceritakan perjalanan karier seni mereka yang sudahpun hampir menginjak usia enam tahun.
Malah mungkin juga ramai yang tidak sedar yang kumpulan yang menggelarkan diri mereka O-TWO ini pernah menghasilkan album pertama pada tahun 2004 yang berjudul Radio Tanah Melayu.
Antara lagu yang popular termasuklah lagu Anak Merdeka yang cukup membanggakan mereka sehingga tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke 13, kategori Album Rock Terbaik.
Bagi sebuah kumpulan baru seperti mereka sudah pasti kejayaan itu membuka lebaran baru buat mereka. Tapi entah di mana silapnya Alan selaku volakis dan pemain gitar, One (bass) dan Aniep (drum) menyepikan diri selama dua tahun selepas itu.
“Bukan menyepikan diri, tetapi kami mencari meterial baru untuk dimuatkan dalam album kedua. Macam-macam yang telah kami lakukan termasuklah dilantik menjadi duta permainan online.
“Melalui permainan Jin Online itu kami berjaya menjual album mini sebanyak 25,000 unit yang mempertaruhkan lima buah lagu. Bagi kami ini adalah strategi perniagaan yang jarang orang lakukan tapi berbaloi.
“Untuk tahun 2010 ini, sudah pasti kami mengharapkan O-TWO akan memberikan impak yang besar kepada industri muzik tempatan. Biarpun banyak kumpulan-kumpulan lain yang hebat tapi kami tak gentar untuk bersaing,” jelas Alan mewakili rakan-rakan yang lain.
Kumpulan yang berasal daripada Perlis ini kini tampil dengan album baru yang berjudul Evolusi yang mengandungi 10 buah lagu ciptaan mereka.
Jika melihatkan perkembangan dunia muzik tempatan, sudah pasti ramai yang dapat melihat penguasaan kumpulan indie yang melatari atmosfera muzik tempatan sehingga menenggelamkan banyak nama-nama besar yang lain.
Bagi O-TWO, mereka juga beruntung apabila masih menerima banyak undangan membuat persembahan digig-gig dan persembahan lain walaupun masih ramai yang belum lagi mengenali mereka secara lebih dekat.
“Bertahun-tahun kami membuat persembahan dalam gig dan sehingga hari ini kami mengambil keputusan untuk berehat sebentar. Bukan apa hanya mahu menumpukan perhatian kepada album baru kami.
“Sebelum ini tak banyak lagu kami yang dimainkan di radio. Jadi kami mengambil kesempatan yang ada ini untuk membuat promosi seterusnya mahu lagu kami dimainkan di radio.
“Dulu orang tak tahu siapa O-TWO walaupun kami ada album penuh. Sesetengah stesen radio langsung tak pandang kami dan tak main langsung lagu kami walaupun lagu Anak Merdeka dijadikan lagu khazanah negara.
“Pengaruh radio cukup besar dan amat penting. Kalau mereka tak main lagu kami, macam mana nak meneruskan kerjaya seni kami. O-TWO juga tak mahu ada masalah seperti mana yang terjadi pada kami dan segelintir artis yang lain,” ujarnya lagi.
Sepanjang menyelusuri perjalanan sebagai anak seni, pasti banyak pengalaman yang pernah mereka lalui sebelum ini. Paling berbekas di hati mereka apabila membuat persembahan yang langsung tidak dihadiri orang.
Namun semua itu langsung tidak menjadi masalah kepada mereka. Pengalaman beraksi di atas pentas yang kosong itu langsung tidak mengecewakan sebaliknya menjadikan itu sebagai azimat untuk mereka berjaya.
Bercerita mengenai pengaruh muzik, ketiga-tiga mereka mengakui bahawa perubahan muzik itu sentiasa dan menyebabkan ramai yang tak mahu terikat dengan satu aliran semata-mata.
“Muzik kami selalu terkedepan. Inilah masalah yang berlaku pada kami sejak kali pertama menjejakkan kami dalam industri seni tanah air.
Kalau lihat kumpulan-kumpulan yang popular hari ini, mereka mainkan muzik yang sudah kami bawa enam tahun yang lalu.
“Tapi bila terlalu terkedepan, sudah pasti orang tak dapat nak terima dengan mudah. Mahu tak mahu O-TWO kena patah belakang balik dan ikut aliran masa kini asalkan tidak banyak berubah,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: