Tuesday, October 21, 2014

Tidak tertekan status janda



GURUH yang melingkari awan hidup Izreen Azminda Aznam sepanjang tiga bulan lalu kini diakhiri dengan pelangi. Barangkali bulan Oktober menjadi titik baharu buat dramatis yang kembali menggetar populariti menerusi drama Kerana Terpaksa Aku Relakan itu.
Ironi daripada judul drama lakonannya yang mendapat hit hingga diolah dan dibikin lagi dalam, bentuk telefilem yang sudah pun bersiaran pada 5 Oktober lalu, Izreen, 29, akur dengan ketetapan yang sudah diaturkan sempurna oleh Yang Maha Esa.
“Saya bersyukur kerana semuanya sudah selesai dan segala perkara negatif yang datang saya abaikan sahaja. Orang sekeliling akan terus bercakap sampai bila-bila dan saya tidak menegah pun, asalkan saya gembira itu sudah memadai.
“Sekarang pun saya sudah dapat apa yang saya mahukan dan saya sudah tenang,” kongsi luahan hati Izreen yang ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Skrin 2014 di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Berita mengenai keretakan rumah tangga pelakon itu mula tersebar sekitar bulan Mei lalu. Bekas suaminya, Muhamad Riza Baharudin didakwa telah melafazkan talak cerai pada 16 Mei di lokasi penggambaran Kerana Terpaksa Aku Relakan di Pulau Pinang selepas berlaku sedikit pertengkaran antara mereka.
Bagaimanapun, laporan sebuah akhbar pada 22 Mei lalu yang memetik kenyataan Izreen bahawa ikatan suami isteri pasangan itu sudah berakhir dinafikan sendiri oleh suaminya yang bertugas sebagai jurukamera bebas. Situasi tegang itu mengheret pasangan itu ke mahkamah sehingga disahkan bercerai pada 9 Jun lalu.
Menerima suratan takdir, pelakon kelahiran Kangar, Perlis itu menyifatkan situasi yang dilaluinya itu antara waktu paling sukar dalam hidup. Jelas Izreen, dia bersyukur diberikan bantuan moral teman-teman rapat sepanjang berlangsungnya kes tersebut.
“Tidak tahulah sekiranya orang lain berada di tempat saya. Mungkin sudah gila! Bayangkan ketika itu penggambaran drama sudah siap 70 peratus. Kalau ikutkan hati, saya akan merisikokan jadual penggambaran sembilan orang pelakon lain di Pulau Pinang.
“Tarikh tayangan juga sudah dekat dan saya akan menyusahkan produksi. Sama ada mahu atau tidak, saya harus korbankan hati, emosi, fikiran dan keadaan untuk memberikan yang komitmen terbaik ketika itu. Saya akui tanpa bantuan kawan-kawan di set penggambaran, pasti semuanya tidak berjalan lancar dan saya akan lebih tertekan,” katanya.
Izreen AZMINDA sempat menikmati alam berumah tangga selama hampir dua tahun sahaja.


Tekanan gelaran janda
Bercerita mengenai tekanan, selepas melalui fasa penceraian Izreen menempuhi alam baharu yang lebih besar cabarannya. Menggalas status janda dan ibu tunggal itu sendiri mengundang pelbagai persepsi negatif dan stereotaip serong masyarakat sekeliling.
“Orang sekarang sudah moden, kalau dahulu memang benar orang akan memandang serong wanita berstatus janda. Janda sekarang sudah maju dan itu sekadar gelaran, orang pun tidak akan meletakkan sebarang label atau memandang serong lagi.
“Sejak bergelar ibu tunggal, saya mampu mengawal tekanan yang datang daripada segala sudut, cuma komen-komen negatif orang yang tidak tahu cerita sebenar itu yang banyak menguji kesabaran saya,” tambahnya.
Ujar Izreen, tiada banyak perubahan dalam rutin harian dan kerjayanya selepas bercerai malah dia kini sudah mampu menguruskan kehidupannya dengan optimum.
“Tiada apa cabaran yang dahsyat pun datang menimpa saya. Kalau dahulu ada suami yang membantu serba sedikit tapi sekarang banyak perkara yang saya lakukan sendiri. Pada permulaannya memang sukar tapi sekarang saya sudah semakin stabil dan mampu menguruskan banyak hal sendirian,” jelas lulusan Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) itu.
Kompromi bekas suami
Selepas perceraian, Izreen dan suaminya masih berhubung sebagai kawan begitu juga soal kompromi dalam hak pemberian nafkah serta penjagaan anak.
Susulan daripada kes perceraian pasangan itu, mahkamah pada 30 September lalu memutuskan hak penjagaan penuh diberikan kepada Izreen. Bekas suaminya hanya dibenarkan melawat anaknya, Muhamad Adrian Umar yang baru berusia setahun tiga bulan tanpa kebenaran untuk bermalam.
“Hak penjagaan diberikan sepenuhnya kepada saya dan saya berterima kasih kepada pihak bekas suami saya kerana memberikan kerjasama yang baik untuk melancarkan proses tersebut. Buat sementara waktu, anak saya diletakkan di bawah jagaan saya dan bekas suami hanya dibenarkan melawat sahaja dan tidak boleh bermalam.
“Pada hemat saya, dia (bekas suami) akan sentiasa sibuk dan tiada masa untuk memberikan tumpuan kepada anak kami. Jadual jurukamera tidak sama seperti artis dan dia perlu berada di set penggambaran sepanjang masa.

IZREEN bertegas, hubungannya dengan Amar Baharin sekadar kawan dan mereka rapat sebelum dia berkahwin lagi. Foto kredit: Instagram Izreen.


“Buat masa sekarang biarlah anak kecil itu tinggal dengan saya jadi makan minumnya terjaga. Malah, kalau saya bekerja pun tanggungjawab itu diambil alih ibu saya. Saya bukan mahu bergaduh dengannya tapi saya fikirkan demi kebaikan anak,” katanya yang akan memberikan bekas suaminya hak untuk bermalam dengan Muhamad Adrian Umar apabila anaknya itu berusia empat tahun.
Dalam soal nafkah pula, Izreen hanya menuntut nafkah untuk anaknya sahaja manakala tuntutan nafkah untuk dirinya hanya dibuat sepanjang tempoh idah kerana memikirkan kemampuan bekas suaminya itu.
Ditebak kemungkinan untuk kembali ke sisi bekas suaminya, jawab Izreen, perkara itu adalah mustahil baginya.
“Tidak! Saya sudah nekad, namun, kalau sudah tertulis bahawa saya akan berbalik kepadanya, saya tidak tolak kerana itu kuasa jodoh. Tapi, kalau ditanya pada saya sendiri, hal itu tidak mungkin berlaku kerana sebaik-baiknya kami lebih selesa berkawan,” tegasnya.
Ruang hati
Pendirian Izreen kukuh. Dia tidak akan membenarkan ruang hatinya terbuka untuk sewenang-wenangnya disakiti lagi. Pinta Izreen, berikan ruang dan sedikit masa untuknya merawat luka yang sedang berdarah.
“Dalam masa terdekat ini, saya tidak akan benarkan orang menyakiti hati saya. Berkawan itu ramai dan tidak dinafikan ada yang mahu mencuri perhatian saya tapi soal hati bukan keutamaan waktu sekarang. Kes saya pun baru sahaja selesai. Saya mahu beri tumpuan membesarkan anak dan kerjaya.
“Kalau ada yang mahu mendekati saya, mereka perlu menerima saya seadanya. Saya datang dengan pakej bersama anak,” ujar Izreen.
Menjelaskan hubungannya bersama hero drama Kerana Terpaksa Aku Relakan, Amar Baharin, dia memberitahu, ikatan persahabatan yang wujud antara mereka tekah terjalin sebelum dia mendirikan rumah tangga.
“Amar itu kawan rapat saya. Kebetulan pula kami menjadi duta untuk mempromosikan acara Jom Kahwin yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober depan, di Pusat Konvensyen Shah Alam. Dia antara teman yang banyak memberikan sokongan kepada saya dan tidak meninggalkan saya terkontang-kanting sendirian ketika di Pulau Pinang.
“Kami berkawan rapat sejak saya belum berkahwin dan saya tidak kisah digosipkan dengan dia kerana saya tahu kebenaran serta kesahihan cerita itu. Melainkan kami cuba lari dan orang akan lebih syak wasangka.
“Saya rasa tidak salah pun untuk kami bergambar bersama-sama dan di luar set penggambaran pun kami masih berkawan cuma sebelum ini tidak diberikan perhatian kerana kami sekadar watak pembantu sahaja,’ katanya.
WATAK Cikgu Zakiah dalam drama hit Juvana antara kerja lakonan Izreen Izminda yang masih diingati ramai.


Harapan Anugerah Skrin 2014
Sementara itu, selepas memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013 menerusi drama Perempuan Itu Ibuku, pelakon itu sekali lagi tercalon untuk dua buah drama lakonannya tahun ini menerusi Perjalanan dan 7 Suami.
Dia tidak meletakkan sebarang harapan sekiranya kemenangan tidak berpihak kepadanya kali ini.
“Seperti biasa saya tidak meletakkan sebarang harapan. Tercalon pun sudah cukup untuk saya bersyukur. Kalau ada rezeki, Insya-Allah.
“Kedua-dua naskhah drama itu ada kekuatan tersendiri, namun saya akui drama Perjalanan banyak menguji kemampuan fizikal dan mental apabila perlu meletakkan usia saya lebih tua daripada usia sebenar,” ujar Izreen.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: