Tuesday, October 21, 2014

Pikat sejuta pendengar di seluruh negara



MENYAJIKAN lagu-lagu irama nasyid sebagai halwa telinga antara faktor yang membantu stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) menjadi pilihan pendengar khususnya masyarakat Muslim di negara ini sejak penubuhannya pada tahun 2001.
Selepas 13 tahun berlalu, radio yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad itu kini menjadi stesen radio terkemuka dalam kalangan pendengar setia radio di negara ini.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai rintangan yang perlu diharungi oleh pengendali IKIMfm khususnya para penyampai dalam menangkap perhatian pendengar.
Berorientasikan penyampaian ilmu dan dakwah sebagai isi utama sebelum diselitkan dengan hiburan, radio ini berbeza dengan radio-radio komersial lain.
IKIMfm yang turut diiktiraf sebagai radio digital Islam pertama di Malaysia oleh The Malaysia Book of Records (MBR) kini didengar kira-kira sejuta orang termasuk di Singapura, selatan Thailand, Batam serta pendengar dalam talian seluruh dunia.
Selain pengisian yang menarik, celoteh para penyampai menjadi tarikan utama dalam memastikan siaran yang ke udara tidak sepi daripada sambutan pendengar.
Menjadi penyampai kepada sebuah stesen radio Islamik adalah cabaran yang besar bagi Fairuz Noordin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dalam bidang penyiaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Dikenali dengan nama konti sebagai DJ Fairuz, wanita berusia 38 tahun itu merupakan antara penyampai radio terawal IKIMfm.
Memulakan khidmat sebagai penyampai IKIMfm sebaik radio tersebut ditubuhkan, Fairuz bersyukur kerana dia berpeluang untuk mengharungi liku-liku perjuangan dalam arena penyampaian dakwah menerusi media penyiaran.
Biarpun bukan berlatarbelakang kan pendidikan agama, anak jati kelahiran Kedah itu tekad untuk meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio setelah mendapat tawaran temu duga IKIMfm ketika menjadi juruhebah sambilan di UiTM sebaik menamatkan pengajian.
Fairuz yang kini bertugas sebagai Penerbit Rancangan Kanan berkata, dia banyak bertanya dan membuat kajian tentang pelbagai isu, khususnya agama pada peringkat awal bertugas sebagai penyampai.
“Sebagai radio yang dikenali dengan imej agama, banyak perkara yang perlu diambil perhatian termasuk bagaimana sebutan untuk sesuatu perkataan seperti nama surah yang perlu disebut dengan betul mengikut ejaannya.
“Pada peringkat awal, saya juga berasa gusar tentang kebolehan diri untuk memikul amanah sebagai penyampai. Pastinya tidak mudah pada awal pembabitan kerana IKIMfm masih baru bertapak dalam arena penyiaran radio dan tidak mempunyai satu panduan khusus,” jelasnya.

WAJAH-WAJAH tenaga penggerak utama stesen radio IKIMfm.


Cabaran
Fairuz berkata, menjadi penyampai sulung IKIMfm menghadirkan satu cabaran besar buat dirinya dan rakan-rakan penyampai kerana bertanggungjawab mewujudkan satu identiti serta memperkenalkan kepada pendengar tentang IKIMfm.
Selain itu, Fairuz berkata, para penyampai menjadi imej atau ikon kepada radio tersebut dan perlu mewujudkan satu pandangan positif dalam kalangan pendengar.
“Peribadi saya banyak dibentuk oleh radio ini. Menjadi penyampai radio Islamik dan menjaga imej sebagai wanita Muslimah sangat bertepatan dengan status saya.
“Apa yang lebih penting, imej yang dibawa bukan sahaja pada suara dan pengisian ketika ke udara tetapi perlu dikekalkan walaupun berada di luar konti,” jelasnya yang rindu untuk ke udara seperti awal-awal pembabitannya sebagai penyampai.
Kini, Fairuz lebih banyak bekerja di belakang tabir dan jarang ke udara. Peluang untuk bersiaran sekali-sekala menjadi pengubat kerinduannya untuk bersapa dengan para pendengar.
Bagi Mahathir Shaharuddin, 39, pula, kehendak dan harapan pendengar adalah suatu keperluan yang wajib dipenuhi oleh IKIMfm.
Salah seorang penyampai senior IKIMfm, dia berkata, dalam memenuhi kehendak tersebut, para penyampai perlu bijak mengisi slot supaya kehendak berkenaan tidak lari daripada objektif penubuhan IKIMfm sendiri sebagai radio Islamik.
Pelajar lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah itu menjelaskan, sebagai penyampai, dia dan rakan-rakan bertanggungjawab untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
“Melalui penyampaian dan pengisian ilmu dalam konti, secara tidak langsung kami boleh membentuk masyarakat dan menyeru kepada kebaikan.
“Kreativiti penyampaian sangat diperlukan ketika bertugas kerana pengisian kami penuh dengan ilmu dan nasihat. Hanya suara yang didengar dan tiada visual yang dipaparkan. Besar cabarannya untuk menarik minat pendengar.
“Dalam ruang lingkup yang terbatas, kami perlu garap kreativiti dalam bahan dan rancangan yang diterbitkan,” kongsinya yang kini bertugas sebagai Pengurus Program Radio.
Ketika ditanya tentang pembabitannya dalam IKIMfm, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu memberitahu bahawa dia tidak pernah terfikir untuk bergelar penyampai radio.
Mahathir berkata, biasanya pelajar lulusan Syariah sepertinya akan menjadi ustaz atau pegawai agama bertepatan dengan kelulusannya.
Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1999, dia pernah bekerja di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam media penyiaran sebelum menghadiri temu duga sebagai Penerbit Rancangan Sambilan IKIMfm.
“Namun, selepas menghadiri temu duga dan terpilih sebagai keluarga IKIMfm, saya menemui minat yang baharu.
“Bidang ini sangat seronok untuk diteroka. Saya dapat memberi sesuatu kepada masyarakat dan berinteraksi dengan pendengar,” jelasnya yang menyertai IKIMfm pada Jun 2003.

JELAJAH Selawat Perdana yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak baru-baru ini.


Pengalaman
Mahathir yang kini bertugas di belakang tabir, bertanggungjawab menyelaras semua rancangan di samping memantau rancangan yang diterbitkan dan jadual penyampaian para penyampai.
Katanya, selain faktor usia, sedikit kemahiran dan pengalaman yang ada sebelum ini dapat digunakan untuk dikongsi dengan masyarakat melalui penyampai-penyampai lain.
Mahathir bersiaran di konti sehingga tahun 2008 dan kini banyak bertindak sebagai penerbit rancangan.
Sementara itu, penyampai slot Warna Pagi, Norhayati Paradi, 33, mempunyai cerita yang berbeza tentang penglibatannya sebagai penyampai IKIMfm.
Siswazah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM dengan pengkhususan dalam bidang pengiklanan itu bertugas sebagai tenaga penggerak di belakang tabir di IKIMfm selama tiga tahun sebelum memberanikan diri untuk menghadiri temu duga sebagai penyampai.
Ketika menghadiri temu duga, Norhayati bertugas sebagai Eksekutif Trafik Udara IKIMfm yang berperanan menjaga penjadualan iklan radio. Dia mula bekerja pada tahun 2007 sebelum ditawarkan menjadi penyampai pada tahun 2009.
Dipilih menjadi penyampai radio tersebut, wanita manis itu menjelaskan bahawa banyak perubahan yang berlaku kepada dirinya.
Anak jati kelahiran Johor itu berkata, IKIMfm banyak membentuk kerjayanya.
“Kerjaya sebagai penyampai membentuk diri saya yang sekarang terutama luaran dan dalaman. Sangat berbeza berbanding dahulu.
“Sebagai penyampai radio Islamik, saya menjaga imej penyampai dan wanita Muslimah. Imej ketika di dalam dan di luar konti tetap sama. Apa yang lebih penting, penyampai perlu menjadi diri sendiri,” jelasnya.
Norhayati yang sudah tujuh tahun bersama IKIMfm mula meminati bidang penyiaran selepas menjadi penyampai.
Katanya, dia banyak belajar daripada pengalaman sendiri untuk meningkatkan kemahiran sebagai penyampai, selain turut menghadiri kursus-kursus.

NIK ROSKIMAN (kiri) memberi penerangan kepada Fairuz (tengah) sambil diperhatikan oleh Mahathir.


Pengikut
IKIMfm kini mempunyai pendengarnya tersendiri. Buktinya, terdapat lebih 500,000 pengikut di laman Facebook, selain bilangan pendengar yang semakin bertambah.
Pengarah Pusat Media IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad berkata, IKIMfm bukan sahaja mahu menarik para pendengar dari dalam konti.
“Sebaliknya, IKIMfm telah melakukan pelbagai aktiviti turun padang untuk menemui masyarakat seperti Karnival Mahabbah yang diadakan saban tahun di lokasi berbeza.
“Para pendengar boleh berjumpa dan melihat secara terus para pendengar, tetamu jemputan dan mengenali IKIMfm dengan lebih dekat,” jelasnya.
Dalam pada itu, pendengar setia IKIMfm sejak awal penubuhannya, Rahmatiah Al-Faruqy M. Sujuthi, 26, berkata, sejak di bangku sekolah lagi dia jatuh cinta dengan IKIMfm.
Katanya, radio tersebut menjadi pilihan kerana mempunyai identiti sendiri dan penuh dengan pengisian ilmu di samping menyajikan lagu-lagu nasyid sebagai halwa telinga.
“Wujud situasi menang-menang ketika mendengar IKIMfm. Kita diberikan dengan pelbagai informasi berguna yang meliputi pelbagai aspek, diselitkan dengan bacaan puisi-puisi lama dan pelbagai lagu yang sedap didengar.
“Bukan hanya mendapatkan hiburan semata-mata tetapi kita boleh belajar sesuatu sambil berhibur,” kata pelajar Sarjana Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah itu.
Rahmatiah berkata, suara penyampai yang ke udara turut memainkan peranan dalam menarik perhatian pendengar di samping slot-slot yang diisi dengan penceramah yang berwibawa.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: